Bab 12

21 3 0
                                    

Sarah memandang ke langit membiru yang dihiasi beberapa tompokan awan berwarna putih. Matahari memancar terik dan bayu berpuput lembut menampar pipinya. Dia mengalihkan pandangan ke arah rumah yang menjadi kediaman mereka sekeluarga. Rumah yang mempunyai keadaan begitu kontras dengan suasana alam yang tenang di sekeliling.

Sesiapa sahaja yang melalui rumah itu pasti akan dapat melihat bahagian hadapan yang berlubang besar. Batu, kayu dan kaca bertaburan. Dinding yang masih teguh berdiri pula berwarna kehitaman bekas terbakar. Tali rentang yang bertulis 'Garisan Polis. Dilarang masuk' dipasang memagari rumah.

Ketika melangkah masuk ke dalam rumah, Sarah dapat melihat kesan-kesan darah kering di lantai dan dinding. Barang hiasan dan perabot tunggang-terbalik. Bau hapak darah yang kering menusuk hidung. Wajah separa tenang tadi, bertukar sugul. Air mata Sarah hampir sahaja tumpah apabila pegawai polis yang mengiringinya berpaling dan bertanya, "Di manakah memori AIDA rumah ini?"

Air mata cepat-cepat diseka. "Biar saya tunjukkan," jawab Sarah lalu berjalan mendahului pegawai-pegawai itu. "Mengapa kalian hendakkan memori Fly?"

"Kami perlukannya untuk mendapatkan maklumat berkenaan android bernama Puteri itu. Sebelum ini Puteri telah menyerang dan membunuh beberapa orang di sekitar Bandar Bintang. Namun begitu, sistem AIDA di kebanyakkan rumah mangsa mengalami kerosakan teruk dan tidak dapat memberikan maklumat yang memuaskan hati. Jadi, kami berharap dapat mencungkil sesuatu daripada AIDA rumah ini."

Rungut Sarah sedikit berbisik, "Jauhnya android itu bergerak daripada Bandar Bintang ke Cermai Jaya."

Bandar Bintang merupakan antara kota metropolitan utama negara. Kedudukannya yang berada di tengah semenanjung menjadikan Bandar Bintang sebagai pusat kegiatan ekonomi negara. Berbanding dengan Bandar Bintang, Bandar Cermai Jaya tempat kediaman mereka sekeluarga pula terletak berhampiran Bandar Kota Kundang. Sebuah bandar yang berada jauh di bahagian utara dengan sektor pertanian sebagai aktiviti utama.

Rungutan Sarah dapat ditangkap oleh Lans Koperal Idzhar Lim, lantas dia membalas, "Sudah tentu Sarah mengetahui siapakah sasaran mereka. Meskipun jauh beratus batu, mereka akan tetap menjejakinya."

Sarah terangguk-angguk sambil membawa kumpulan pegawai polis itu menuju ke stor kecil yang tersembunyi di antara ruang menonton televisyen dan juga bilik tidur utama. Selepas kejadian serangan tempohari, rumah mereka dikawal sepenuhnya oleh pihak polis. Selain bertujuan mengumpul bahan bukti, ia juga untuk mengelakkan pencuri ataupun penceroboh memasuki kawasan rumah.

Sarah menunding ke arah sebuah kotak yang dibalut dengan kertas pembalut hadiah bercorak arnab yang sedang menari dan meniup trompet, berwarna-warni serta dihias dengan riben warna senada. "Di sinilah tempat simpanan papan litar utama Fly dan memorinya."

Kening Lans Koperal Idzhar Lim bergerak-gerak seakan tidak dapat mempercayai kata-kata Sarah. "Oh, memori AIDA dalam kotak itukah? Puas kami menyelongkar semua tempat yang ada. Sedikit pun tidak terlintas pada fikiran kami, bahawa kotak itu mengandungi jantung dan memori AIDA rumah ini."

Bibir Sarah tidak tertahan daripada melukiskan segaris ceria. "Kotak, pembalut hadiah dan kedudukan di dalam stor, kesemuanya merupakan buah fikiran emak. Menurut emak, apabila kita mempunyai sesuatu yang tidak ingin disentuh oleh orang lain, meletakkan ia di tempat yang menonjol tetapi tidak terduga itu lebih baik. Berbanding menyembunyikannya dan menyebabkan kita mungkin terlupa di manakah tempat letak yang sebenar."

Penutup kotak itu dibuka dan isi kandungannya ditunjukkan kepada Lans Koperal Idzhar Lim serta pegawai yang lain. Sebuah kotak berona perak yang mengandungi papan litar utama, pemproses, memori dan semua komponen Fly terletak dengan baik di situ.

Virus L-2Where stories live. Discover now