Bab 13

28 3 0
                                    


Tengku Amir berbaring memandang ke lelangit rumah itu. Perjalanan yang jauh menyebabkan dia benar-benar keletihan. Tambahan pula, dia masih belum benar-benar sembuh akibat daripada serangan Puteri.

Beberapa hari lepas, sebaik sahaja abangnya Tengku Akmal dan seorang pemuda kaukasian beredar, Nailofar muncul di bilik rawatannya. Turut bersama dengan Nailofar adalah seorang lelaki yang diperkenalkan sebagai Shankar. "Tinggalkan tempat ini bersama-sama dengan kami," ujar Nailofar dengan seluruh tubuh dipenuhi kesan luka dan lebam. "Hospital ini menempatkan ribuan pesakit, jururawat, doktor dan kakitangan sokongan yang lain. Kau tentu tidak mahu mereka datang mencari kau di sini dan melibatkan ramai orang yang tidak berdosa."

"Jika saya bersetuju untuk mengikut, ke mana kalian akan bawa saya?" Soal Tengku Amir.

Balas Nailofar, "Sebuah tempat yang jauh daripada orang ramai. Kita perlu bersembunyi buat sementara dan merancang bagaimana hendak melawan android bernama Puteri itu."

"Kita? Mereka hanya mencari saya. Kalian tidak terlibat dalam hal ini. Kenapa beria-ia hendak menentang mereka?" Tengku Amir memperbetul-betulkan duduknya. Sebuah bantal diletakkan sebagai alas untuknya bersandar ke dinding. 

Mata Nailofar kelihatan sayu. Dia menggigit bibir dan menggeleng, "Ada hutang yang perlu dijelaskan oleh mereka."

"Puteri atau orang di sebaliknya?"

"Kedua-duanya. Sudahlah, kita kesuntukan masa. Adakah kau mahu mengikut kami?" 

"Baiklah."

Shankar yang bertubuh sasa membantu mengangkat Tengku Amir ke kerusi roda dan menyeludup mereka keluar. Entah bagaimana caranya, seakan dipukau, pegawai polis yang ramai tidak dapat mengesan mereka. Sebuah kereta pacuan empat roda, telah siap menunggu di luar lobi hospital. Segalanya berlaku dengan pantas. Tengku Amir berbaring di tempat duduk belakang kereta itu. Nailofar di bahagian hadapan, bersebelahan dengan Shankar yang memandu dengan tenang. Melepasi kawalan di pintu pagar hospital, membawa mereka pergi dari situ.

Tengku Amir tidak menyedari berapa lama mereka berada di atas jalan raya, kerana belum jauh mereka meninggalkan hospital, dia telah hanyut dalam khayalannya. Dia hanya terjaga apabila dikejutkan oleh Nailofar, "Kita dah sampai."

Tempat itu kelihatan terlalu asingbuat Tengku Amir. Dia mengerling jam yang berada di bahagian hadapan kereta, "Oh, sudah 9.30 malam."

Sebaik sahaja keluar daripada kenderaan yang dipandu oleh Shankar, Tengku Amir dapat melihat sebuah banglo tersergam di hadapannya. Bulan yang bersinar terang, membantu dia melihat rekabentuk rumah yang terletak jauh daripada jiran-jiran. "Selamat datang ke rumah kami." Nailofar meminta Shankar untuk membantu Tengku Amir masuk ke dalam rumah.

"Kalian hanya tinggal berdua? Adakah kalian mempunyai pertalian darah?" 

Pertanyaan itu membuatkan Nailofar tertawa kecil. "Jika kau lihat kepada kulit dan paras rupa kami, kau sepatutnya tidak bertanya soalan itu. Shankar berbangsa India dan saya adalah campuran Filipina dan Arab. Kami tidak mempunyai sedikit pun pertalian darah." 

"Oh, kau mempunyai darah campuran? Ketika pertama kali kita bertemu, saya tertanya-tanya akan bangsa kau, kerana wajahmu tidak seperti wajah perempuan Melayu biasa. Adakah kalian merupakan suami isteri?"

Berkerut dahi Nailofar, "Kenapa kau tanya begitu? Shankar bukanlah suami saya. Malahan sebenarnya saya belum pun berkahwin."

Ujar Tengku Amir, "Kau berdua tidak mempunyai pertalian darah dan juga bukan suami isteri. Tidak sepatutnya kalian tinggal bersama dalam sebuah rumah. Begitulah yang saya pelajari dengan ustaz di penjara."

Virus L-2Where stories live. Discover now