Bab 9

25 2 0
                                    

Sekejap sahaja tetamu yang baru tiba itu menyesuaikan diri dan duduk selesa di meja makan. Puji Tengku Zahiruddin, "Oh, sedap sungguh juadah yang dihidangkan. Masakan chef di rumah juga tidak dapat menandingi kelazatan masakan ini!"

Luqman Hakim menjemput lelaki itu masuk apabila dia menyatakan hasratnya untuk mencari Tengku Amir. Mereka menjemput Tengku Zahiruddin untuk menikmati makan malam bersama-sama. Syafii mengambil sebuah pinggan dan sebuah gelas yang bersih untuk tetamu itu.

"Kenalkan ini adalah anak saudara saya, Tengku Zahiruddin. Zahiruddin, mereka adalah Syafii, Luqman dan Sarah yang menjadi tuan rumah makan malam ini. Semua juadah yang dhidangkan malam ini, disediakan oleh mereka menggunakan kaedah tradisional. Tambahan pula tukang masaknya seorang yang cantik, menjadikan makanan ini jauh lebih lazat," puji Tengku Amir sambil melirik ke arah Syafii. "Dia juga masih belum berkahwin!" Tengku Amir menyiku Tengku Zahiruddin sambil mengangkat-angkat kening.

"Adakah pakcik mahu meminang dia menjadi isteri pakcik?" Soalan Tengku Zahiruddin itu menyebabkan Syafii, Luqman dan Sarah hampir-hampir tersedak.

Tengku Amir tertawa besar sambil menepuk-nepuk bahu Tengku Zahiruddin. "Bukan untuk pakcik, tetapi sebagai pasangan hidup kamulah!" Kali ini Tengku Zahiruddin pula yang tercekik ketupat nasi. Wajah Syafii bertukar merah padam mendengar kata-kata itu.

Luqman Hakim segera menghulurkan segelas air kepada Tengku Zahiruddin. Soal Luqman Hakim, "Bukankah pakcik kata, keluarga pakcik telah berpindah ke luar negara?"

Tengku Zahiruddin memalingkan kepala ke arah Tengku Amir. "Pakcik, hanya keluarga Makcik Shaliza sahaja yang berpindah ke luar negara. Keluarga kami masih berada di sini. Malahan kami masih tinggal di rumah yang sama seperti dua puluh tahun lalu. Walaupun rumah itu telah melalui banyak penambahbaikan, pakcik sepatutnya masih boleh mengecam rumah kami. Adakah sebab itu pakcik tidak datang mencari kami?" Marah Tengku Zahiruddin sambil menyudu lauk tambahan ke pinggan.

"Mungkin juga rumah itu terlalu banyak melalui perubahan, sehingga pakcik tidak dapat mengecamnya." Tengku Zahiruddin terangguk-angguk memuaskan hati sendiri. "Bahagian hadapan rumah telah diruntuhkan pada lima tahun lepas dan direkabentuk baru. Bahagian dapur telah ditambah dan dibesarkan. Atap genting juga telah ditukar. Cat dinding pula sudah tidak terbilang berganti warna. Ya, rasanya rumah itu tidak lagi serupa seperti asal. Walaubagaimanapun, alamat rumah masih tidak berubah. Jadi pakcik sepatutnya masih boleh mencari kami."

"Tambahlah lauk lagi. Bukan senang hendak menemui masakan seenak ini di tempat lain." Tengku Amir menukar topik perbincangan.

Tengku Zahiruddin mengangguk bersetuju. Seakan terlupa dengan kata-kata yang baru diucapkan tadi, dia memuji-muji, "Masakan ini memang lazat! Masakan di restoran ternama juga tidak dapat menandingi keenakkan masakan yang kalian sediakan. Kamu semua boleh membuka restoran dan saya jamin, tentu ramai pelanggan yang akan menggemari masakan kamu!" Ibu jari diangkat dan ditunjukkan ke arah Syafii, Luqman Hakim dan juga Sarah.

Pujian melangit yang dituturkan Tengku Zahiruddin membuatkan Luqman Hakim menyeringai. "Sekiranya Kak Syafii membuka restoran, saya yakin para pekerjanya tentu tidak dapat bertahan lama."

Celah Sarah pula, "Mereka tentu melarikan diri selepas sehari bekerja!"

"Eh, kenapa pula?" Soal Tengku Zahiruddin sambil menyuap saki-baki lauk di pinggannya ke mulut.

"Masakan ini menjadi lazat kerana disediakan menggunakan alat-alat tradisional seperti lesung batu dan batu giling!" Balas Luqman Hakim.

Tengku Zahiruddin mengangkat kening. "Oh, patutlah rasanya lebih enak daripada biasa. Masakan ini mempunyai suatu perasaan yang sukar hendak digambarkan. Ah, tentu dapat menarik ramai pelanggan jika diwar-warkan penggunaan alatan tradisional sepanjang penyediaan juadah. Hari ini bukan mudah untuk menemui sesuatu yang asli seperti ini. Soal pekerja, ia merupakan perkara yang mudah. Berikan gaji yang berpatutan, bonus, serta pelihara kebajikan mereka supaya mereka terus setia kepada syarikat. Harga makanan juga boleh ditawarkan lebih tinggi berbanding biasa. Bersesuaian dengan kualiti makanan."

Virus L-2Where stories live. Discover now