Bab 20

11 2 0
                                    

“Pihak polis telah mulai bergerak ke Ciku 4, bandar terhampir dengan Yong Belar. Beberapa buah kenderaan polis telah pun tiba ke bandar ini. Dijangkakan pihak polis akan melakukan serbuan dalam tempoh beberapa jam daripada sekarang.” Laporan daripada Rahimi membuatkan Tengku Zahiruddin mendiamkan diri. Kecederaannya masih belum pulih, tetapi Tengku Zahiruddin tetap berdegil untuk terus mengikuti perkembangan peristiwa. Oleh yang demikian, bapanya Tengku Akmal terpaksa menguruskan supaya Tengku Zahiruddin dapat kembali ke rumah untuk memantau keadaan semasa.

Pandangan dialihkan ke arah Luqman Hakim yang duduk di kerusi roda di sisinya. Pemuda itu juga dibawa ke rumah mereka setelah dia berkeras untuk menyertai mereka. Beberapa orang jururawat diupah untuk merawat dan mengawasi keadaan Tengku Zahirddin dan Luqman Hakim. “Bagaimana dengan Virus L-2 versi Luqman?”

Luqman  meletakkan I-Ran ke atas meja. “Tidak banyak yang saya buat. Saya hanya tambahkan beberapa senario dan ia telah bersedia untuk dilepaskan. Namun begitu, peringatan buat kamu juga....” Pandangan mata Luqman kelihatan serius.

“Moonlight?” Tengku Zahiruddin mengangkat kening.

   Ketika di hospital, Luqman Hakim telah bertemu dengan Adam Dennis dan mengetahui berkenaan Moonlight. “Ia akan menerima kesan yang sama jika ia memiliki keupayaan yang serupa seperti Puteri.”

“Maksud kamu, Moonlight akan terhenti sama seperti Puteri? Tidak mengapa. Misi utama kita adalah untuk menghentikan Mel. Bukan untuk memeranginya.”

“Baguslah jika begitu. Tetapi, bagaimana jika hanya Moonlight yang terhenti dan bukannya Puteri?” Soalan Luqman Hakim membuatkan Tengku Zahiruddin terjeda. Wajah Tengku Zahiruddin bertukar cemas secara tiba-tiba. Adam Dennis segera dihubungi untuk menjawab persoalan itu.

Adam Dennis masih berada di makmal apabila Tengku Zahiruddin menghubunginya. Maklumat berkenaan pergerakan pihak polis itu juga telah diketahui melalui Rahimi. Adam Dennis hanya tersenyum apabila Tengku Zahiruddin menyuarakan soalan yang sama seperti yang dikemukakan oleh Luqman Hakim. “Biar Wilhem yang menjawab soalan itu, kerana dia lebih arif daripada saya.”

Wilhem yang berada berhampiran Adam Dennis menarik muka masam, apabila skrin memfokus kepadanya. “Saya telah mempertimbangkan kemungkinan itu jauh lebih awal. Sudah tentu saya melengkapi Moonlight dengan pertahanan yang kukuh dan jitu. Firewall yang dipasang dalam sistem Moonlight tidak mudah dicerobohi. Saya tidak akan membenarkan buah hati kesayangan saya digodam dengan mudah!” Bentak Wilhem.

“Jika kalian mempunyai Virus L-2 sekalipun, bagaimana kalian hendak membolehkan ia menjangkiti Puteri?” Luqman Hakim menggaru kepala yang tidak gatal.

“Bagaimana?” Soal Tengku Zahiruddin. Tengku Zahiruddin sebelum ini merupakan seorang yang sentiasa tenang, tersusun dan teliti. Namun begitu, semenjak mengalami kecederaan akibat serangan Puteri tempohari, pemuda itu bertukar menjadi seorang yang mudah panik dan teragak-agak untuk membuat keputusan. “Bagaimana kita hendak membolehkan Puteri dijangkiti Virus L-2? Tentu tidak mudah untuk kita mencerobohi masuk ke sistem yang mengawasi Villa Biru Kundang itu bukan? Jika tersilap langkah, Moonlight yang akan berhenti. Arghhh... bagaimana? Apakah yang patut kita lakukan? Bagaimana? Bagaimana?” Tengku Zahiruddin mengetuk-ngetuk kepala.

“Hei... hei... Zahiruddin... bersabar... Luqman, tolong kawal Zahiruddin! Dia masih belum sihat sepenuhnya!” Adam Dennis pula kepanikan apabila melihat Tengku Zahiruddin tidak tentu arah. Luqman Hakim cuba menenangkan Tengku Zahiruddin apabila AIDA memaklumkan bahawa terdapat seseorang yang meminta izin untuk masuk ke bilik perhubungan itu.

“Maaf, adakah saya mengganggu?” Syafii muncul di muka pintu. “Saya telah menyediakan sup krim ayam dan cendawan untuk kamu berdua. Ia lebih baik dinikmati ketika masih panas. Walaubagaimanapun, jika kalian masih ada urusan, saya akan meminta pembantu rumah untuk menyimpannya dan dipanaskan kemudian.”

Virus L-2Where stories live. Discover now