Bab 29

20 2 0
                                    

“Saya cadangkan supaya tali pertunangan ini diikat selama tiga bulan sahaja. Tidak perlu terlalu lama, sempat untuk kursus dan persediaan majlis walimah. Tambahan pula, dua-dua sudah suka sama suka.”

Tengku Akmal tersenyum lebar sambil mengerling Tengku Zahiruddin yang hanya duduk membatu di tepi dinding dengan wajah kemerahan menahan malu. Bukan mudah untuk pemuda itu membuka mulut bercerita soal peribadi, terutama perihal jodoh. Tengku Akmal hampir-hampir tersedak apabila pada satu pagi Tengku Zahiruddin muncul di meja sarapan dan memberitahu bahawa dirinya ingin berkahwin.

Sebaik sahaja persetujuan dibuat oleh kedua belah pihak, doa selamat dibacakan. “Hah, apa yang kamu buat?” Tengku Akmal menepuk bahu Tengku Zahiruddin yang cuba mencuri pandang ke arah tunangnya. Hari itu Syafii mengenakan sehelai selendang putih di atas kepala, menutupi tudung berwarna ungu yang sedondon dengan baju kurung Riau bersulam indah. Wajah manisnya dioleskan sedikit warna untuk menambah seri. Gadis itu juga tertunduk malu sepanjang majlis berlangsung.

“Pakcik Amir!” Siti Sarah dan abangnya Luqman Hakim muncul secara tiba-tiba di khemah yang disediakan untuk tetamu. Mereka segera mengambil tempat di meja yang diduduki oleh Tengku Amir.

“Pakcik apa khabar?” Soal Luqman Hakim.

“Alhamdulillah, meskipun belum pulih sepenuhnya, keadaan pakcik semakin pulih. Bagaimana pula dengan keadaan Luqman?”

“Saya juga semakin sembuh, tetapi mungkin perlu memakan masa yang lama untuk bermain bola sepak kembali.”

“Eh, kamu bermain bola sepak?”

“Saya bermain mewakili sekolah, tetapi nampaknya terpaksalah saya duduk di bangku simpanan sehingga benar-benar sembuh.” Wajah Luqman Hakim kelihatan sedikit kecewa.

“Janganlah bersedih hati. Kamu masih mempunyai tempoh yang panjang untuk bermain bola sepak. Jika tidak dapat bermain di peringkat sekolah, kamu masih ada peluang bermain di peringkat universiti. Apa yang penting adalah menjaga diri supaya benar-benar sembuh. Oh ya Sarah, adakah kamu berhubung dengan Nailofar lagi? Pakcik cuba menghubunginya beberapa kali, tetapi gagal.”

Siti Sarah yang sedang meneguk air daripada gelas yang dibawa, hanya menggeleng. “Selepas berpisah di stesen Seladang Kecil tempohari, saya tidak berjumpa lagi dengan Nailofar ataupun Shankar.”

“Nailofar itu wanita bertangan besi yang membantu kita ketika diserang Puteri bukan?” Soal Luqman Hakim. “Siapa pula Shankar?”

“Shankar itu adik-beradik angkat Nailofar. Shankar pernah datang ke hospital untuk bertemu dengan pakcik. Dia juga sedang mencari Nailofar.” Tengku Amir menguis nasi di pinggan di hadapannya. “Resepi apa yang dihidangkan hari ini?”

“Nasi hujan panas, ayam beriani, daging kurma, dalca dan acar timun,” jawab Luqman Hakim.

“Adakah kali ini kalian yang memasak semua hidangan?”

"Tidak!" Jawab Luqman Hakim dan Sarah serentak.

Tengku Amir tertawa kecil apabila melihat air muka kedua mereka kelihatan seperti baru sahaja melalui pengalaman ngeri. “Oh ya, bukankah rumah kalian telah musnah ketika serangan Puteri. Jadi, di mana kalian tinggal buat masa ini?”

“Oleh sebab bahagian yang hendak dibaiki terlalu banyak, ayah telah meruntuhkan seluruh struktur yang masih tinggal dan rumah kami akan dibina semula di atas tapak yang sama. Buat sementara waktu, kami tinggal di rumah yang disewa ayah sehingga tamat peperiksaan akhir. Selepas itu, kami akan berpindah ke rumah di Bandar Bintang dan tinggal di sana sehingga rumah kami siap.”

Tengku Amir mengalihkan pandangan ke arah keluarga Tengku Akmal yang asyik berbual dengan keluarga Syafii. Dia termenung seketika sebelum ditegur dengan soalan nakal daripada Sarah, “Giliran pakcik pula bila?”.

Virus L-2Where stories live. Discover now