Bab 6

33 3 0
                                    

"Jangan terlupa pula hendak beli barang-barang yang abang tuliskan dalam senarai pagi tadi," Pesan Luqman Hakim melalui I-Ran. Sarah yang masih dalam uniform sekolah berwarna kuning cair itu hanya mencebik.

"Abang pulang lambat sedikit, kerana ada latihan bola sepak. Foto barang-barang yang hendak dibeli, abang dah hantar ke I-Ran Sarah sebagai rujukan. Manalah tahu, Sarah tidak dapat bezakan antara kubis dan lobak!" Luqman Hakim ketawa besar.

"Abang sangka saya begitu jahilkah?" Talian terus diputuskan. I-Ran kepunyaan Sarah menyerupai I-Ran milik Luqman Hakim. Alat kecil itu mempunyai fungsi asas seperti alat komunikasi lain yang membolehkan pengguna membuat panggilan suara mahupun video. Ia juga dilengkapi fungsi lain seperti kamera dan melayari internet. Ruang storan yang besar, dapat memuatkan pelbagai jenis fail dalam satu masa.

Sarah membuka fail yang disisipkan oleh Luqman. "Oh, begini rupa sebenar kubis. Oh, ikan selar mempunyai jalur kuning di atas badan," Wajah Sarah berubah serta-merta apabila melihat foto terakhir yang mengandungi mesej berbunyi, 'Abang tahu, kamu pasti merujuk fail ini! Hahaha!'

"Bagaimana pula nak guna GPS pasaraya ini?" Aplikasi carian barang segera ditutup. "Tak membantu langsung! Lebih baik saya cari sendiri barang-barang ini!" Sarah berjalan menyusuri lorong barangan. Papan tanda di dalam pasaraya, banyak membantunya untuk mencari barang yang dikehendaki.

Jarang sekali Sarah menjejakkan kaki ke pasaraya. Dia lebih banyak melakukan pembelian atas talian, berbanding secara fizikal melangkah ke kedai. Apatah lagi untuk mencari barang dapur. Kebiasaannya, semua perkara akan diuruskan oleh ibu mereka.

Selama ini Sarah tidak pernah mengambil tahu hal-hal dapur, sehinggalah Luqman Hakim memberikan senarai barangan tersebut pada pagi sebelum ke sekolah. Meski dibantah berkali-kali, Luqman Hakim tetap bertegas. "Kamu semakin dewasa dan kamu haruslah belajar ilmu-ilmu asas seperti ini!"

Bentak Sarah, "Saya belum mahu berkahwin dan saya masih muda!"

"Abang juga tidak berharap kamu berkahwin pada usia muda. Namun begitu, pengalaman seperti ini sangat berharga terutamanya apabila kamu bekerja dan tinggal secara bersendirian kelak. Takkan nak makan makanan dalam tin setiap hari?" Luqman Hakim terdiam seketika sebelum menyambung, "Tambahan pula, siapa yang mahu berkahwin dengan technophilia seperti kamu?"

Technophilia itu merupakan satu sifat yang bertentangan dengan technophobia. Jika technophobia bermaksud seseorang yang takut akan teknologi, technophilia pula bermaksud seseorang yang obses dengan teknologi. Selepas mengetahui maksud kedua perkataan itu, Luqman Hakim sering menggunakannya untuk menyindir Sarah dan Syafii.

"Ah, abang itu sangat menyakitkan hati!" Gumam Sarah. Beberapa bungkusan sayuran dicampak ke dalam troli tanpa diperiksa terlebih dahulu. Setiap sayuran yang diambil, ditandakan oleh Sarah di I-Ran.

"Siapa yang menyakitkan hati?" Tengku Amir muncul secara tiba-tiba di sisi Sarah.

Hampir sahaja Sarah terlompat kerana terkejut. "Pakcik!"

Tengku Amir melihat-lihat barangan yang berada di dalam troli, "Banyaknya kamu membeli barang mentah. Apa yang kamu hendak masak?"

"Kenapa pakcik muncul secara tiba-tiba?" Sarah mengurut-urut dada. "Mujur saya tidak ada lemah jantung!"

Tengku Amir tersenyum sambil melihat ke sekeliling pasaraya. "Pakcik pernah ikuti kursus membaiki mesin domestik. Jadi, pakcik mahu membuka sebuah kedai. Pakcik sedang mencari ruang kedai yang bersesuaian untuk memulakan perniagaan pakcik. Kemudian, pakcik terlihat kamu sedang membeli barang dan membebel sendirian. Pakcik mengekori rapat di belakang sehingga melintasi lima buah pintu kedai sehingga sampai bahagian pasar basah ini. Kamu tak sedar?"

Virus L-2Where stories live. Discover now