Bab 27

7 2 0
                                    

Tengku Amir tersenyum melihat gari di tangannya. “Ah... keadaan ini seperti dejavu. Saya terbaring di hospital dengan tangan tergari ke katil serta seorang polis yang tampan berpeluk tubuh di tepi.”

Pesuruhjaya Azrul di tepi katil hanya tersenyum lebar.

“Apa khabar sahabat lama saya? Maafkan kami, kerana perlu menggari tuan ke katil. Ini adalah langkah berjaga-jaga agar tuan tidak melarikan diri daripada kami.”

Pesuruhjaya Azrul mengarahkan seorang pegawainya membuka gari di tangan Tengku Amir. Pegawai itu kemudiannya membantu Tengku Amir untuk duduk di kepala katil.

“Tuan jangan bimbang. Saya tidak mempunyai keperluan untuk melarikan diri lagi. Ketika itu, saya terpaksa lari kerana saya tidak mahu melibatkan ribuan nyawa yang tidak berdosa di hospital ini. Mereka sanggup menyerang dan mencederakan sesiapa sahaja. Mereka boleh mengebom atau melancarkan serangan bersenjata dan menjadikan semua orang di hospital sebagai tebusan.”

“Selepas kejadian lalu, pihak kerajaan telah mengkaji semula semua dokumen penyelidikan IPR dan mendapati, selain daripada penciptaan chimaera, mereka juga telah melakukan banyak perkara yang tidak beretika dan sangat merbahaya. Malangnya, ianya sudah terlalu lambat untuk diketahui. Kebanyakkan spesimen telah pun dimusnahkan.”

Pesuruhjaya Azrul terdiam seketika dengan mata tidak lepas daripada memandang Tengku Amir. “Benarkah Tengku Sharmila terbunuh dalam serangan itu? Kami tidak menemui mayatnya di mana-mana.”

“Sudah tentu kalian tidak akan menemui jenazahnya.”

“Sebab apa?”

“Dia dikhianati oleh orang kanannya, ditembak di perut dan mereka membawanya pergi bersama. Dia masih hidup ketika itu.”

"Jadi, dia dikhianati, tetapi dibawa pergi? Aneh.”

“Ah... apa yang anehnya? Mereka bercakap perihal memindahkan hakmilik harta. Mungkin dia masih diperlukan.”

“Cap jari Tengku Sharmila tidak akan laku. Hartanya telah disita dan akaun bank telah dibekukan.”

“Siapa tahu, apakah lagi kegunaan cap jarinya?" TengkuAmir menggaru-garu dagu yang tidak gatal. “Oh ya, tuan mempunyai tempoh kurang dari seminggu untuk menjejaki Komander dan saki-baki kumpulan mereka.”

“Kenapa? Kau ada sebarang maklumat yang saya tidak tahu?”

“Sebelum kebakaran, mereka berpakat untuk berkumpul semula selepas seminggu dan membangunkan kembali kumpulan. Saya tidak tahu di mana tempatnya.”

Pesuruhjaya Azrul mengangguk.

“Bagaimana dengan android yang bertempur dengan Puteri? Adakah tuan tahu siapa di sebaliknya?"

“Android yang bertempur dengan Puteri? Ada android selain Puteri?" Kali ini Tengku Amir pula yang terkejut.

"Kami namakannya ‘Nombor 2’, kerana kami tidak mempunyai sebarang rekod terhadapnya. Ia muncul secara tiba-tiba dan berlawan dengan Puteri. ” 

Sebuah video dipaparkan di I-Ran dan ditunjukkan kepada Tengku Amir.

Tengku Amir meminta visual itu dimainkan beberapa kali. Dia memerhati dengan teliti struktur tubuh android Nombor 2 serta pergerakannya. “Ini adalah kali pertama saya melihat android tersebut. Luarannya mungkin seperti robot industri biasa serta pergerakannya agak lincah. Namun begitu, saya yakin ia dibina berdasarkan model Puteri itu sendiri.”

“Oh?” Pesuruhjaya Azrul mengangkat kening. “Jadi, pembangun Nombor 2 adalah orang yang berkaitan dengan Puteri juga?”

Tengku Amir mengangkat bahu. “Boleh jadi. Mungkin ia dihasilkan oleh mantan saintis IPR, khusus untuk mengalahkan Puteri? Apa yang pasti, orang di sebalik Nombor 2 tentu kaya-raya, kerana kos pembangunan bukan murah.”

Virus L-2Where stories live. Discover now