Bab 24

4 2 1
                                    

ASP Guna yang mengetuai pasukan polis di bahagian pintu masuk Villa Biru Kundang dapat menyaksikan sendiri, kemunculan makhluk aneh yang mengerikan itu. Makhluk yang disangka tidak akan mati akhirnya dapat diuruskan dengan segera berdasarkan maklumat daripada Inspektor Shahizam yang mengetuai pasukan polis di bahagian utara. Pasukan yang dipimpin ASP Guna dapat masuk ke perkarangan villa dengan mudah.

Villa tersebut terletak di lereng gunung. Kewujudan villa yang dimiliki oleh kumpulan Empayar Tengku itu menyebabkan jalan yang sebelum ini hanya merupakan denai laluan orang asli dan pendaki gunung telah dinaik taraf bagi membolehkan pelbagai kenderaan melaluinya. Namun begitu, hanya kenderaan bersaiz kecil sahaja yang dapat naik ke villa. Ketika merancang operasi Vision, Pesuruhjaya Azrul meminta supaya kereta berperisai dibawa naik sebagai bantuan, tetapi keadaan struktur jalan membataskan dia berbuat demikian. Mereka hanya dapat membawa beberapa buah trak polis, tetapi tertahan oleh serangan makhluk aneh itu.

Belum sempat mereka merasa gembira atas kejayaan menghapuskan makhluk aneh tersebut, pasukan ASP Guna dikejutkan dengan kehadiran satu susuk tubuh. Seorang wanita berkot labuh dan berambut panjang.

“Puteri." Mata Pesuruhjaya Azrul terbuka luas. “Hati-hati! Wanita itu adalah android! Dia ialah Puteri!”

Tanpa berlengah, ASP Guna segera memberi arahan untuk anggotanya melepaskan tembakan. Suasana bingit dengan bunyi puluhan senjata api dihalakan ke arah android tersebut.

“Kubah diaktifkan.” Serta-merta sebuah kubah medan magnetik terbina mengelilingi Puteri. Setiap peluru yang dilepaskan seakan diserap dan jatuh ke tanah tanpa sebutir pun mengenai Puteri. Bunyi peluru bergemerincing, seakan irama keroncong. Namun keroncong yang ini langsung tidak menenangkan jiwa. ASP Guna dan anggota polis di bawah pimpinannya serta-merta kebuntuan. Tengku Sharmila yang berada di belakang Puteri tersenyum lebar.

Apabila melihat tembakan yang dilepaskan tidak berhasil, ASP Guna mengarahkan sebuah pasukan mara dan berhadapan dengan android tersebut. Sekumpulan sepuluh orang meluru ke arah Puteri dengan senjata seperti pedang, tekpi dan baton di tangan mereka. Setiap mereka dipilih kerana kemahiran mereka dalam ilmu mempertahankan diri. Ada di kalangan mereka juara judo. Ada pula yang mahir dalam taekwondo. Tidak kurang juga yang mahir dalam ilmu silat. Berdasarkan maklumat dari Makmal Teknologi Kota Kundang, mereka mengetahui bahagian yang menempatkan punca kuasa Puteri. Sepuluh orang itu faham bahagian mana yang harus disasarkan.

“Bertukar kepada mod tempur." Tengku Sharmila memberi arahan.

Puteri segera menyelaras lengan kanannya menjadi seperti pedang lalu meluru ke arah salah seorag anggota polis. Pedang dihayun pantas, namun anggota polis yang berpengalaman itu dapat membaca pergerakan Puteri lantas melompat ke belakang.

Polis itu bertindak balas dengan melibas pedang mengenai lengan kanan Puteri. Bunyi dentingan logam jelas kedengaran. Serangan itu hanya mampu mengoyakkan kot coklat yang dikenakan Puteri.

Puteri melompat ke belakang dan dalam sekelip mata melompat semula ke hadapan dengan pantas. Kali ini anggota polis tersebut tidak sempat bersedia. Pedang Puteri menusuk menembusi dadanya. “ARGHHH!!” Lelaki itu rebah ke tanah.

Anggota polis yang lain segera menyerang balas. Namun begitu, serangan mereka langsung tidak memberi kesan. Malahan Puteri seperti tahu bahagian mana yang menjadi sasaran. Setiap tusukan senjata ke arah punca kuasanya dapat ditangkis.  Polis-polis itu cuba memaut dan mengunci pergerakan Puteri menggunakan rantai.  "Cepat, kita cabut punca kuasanya!"

“BLAM!! BLAMM!! BLAMM!!” Tembakan dilepaskan dari arah villa, mengenai anggota-anggota polis yang berhadapan dengan Puteri. Seorang demi seorang tersungkur dan Puteri mengambil peluang tersebut untuk menikam mereka. ASP Guna mengalihkan pandangan ke arah villa, lantas memberikan arahan supaya anggotanya yang lain mengambil perlindungan dan membalas kembali tembakan.

Virus L-2Where stories live. Discover now