Bab 21

14 2 0
                                    

Sebaik sahaja menerima arahan, setiap pasukan mulai bergerak mengikut arah yang telah ditetapkan. Operasi yang dikenali sebagai Operasi Vision itu melibatkan jumlah anggota polis dan tentera yang ramai. Sebahagian besar daripada mereka didatangkan daripada bandar lain. Setiap mereka dibahagikan kepada beberapa empat buah pasukan dan ditugaskan menghampiri Villa Biru Kundang daripada arah yang berbeza. Tiga daripadanya akan menghampiri dari arah gunung, manakala sebuah pasukan lagi akan menghampiri daripada arah hadapan.

Sebagaimana pasukan lain, pasukan yang diketuai oleh Inspektor Shahizam daripada Pejabat Polis Bandar Ciku 4 itu hanya menurut perintah, menyelusuri denai, melalui arah utara Gunung Yong Belar. Simat, orang asli tempatan yang menunjuk arah, berjalan mendahului mereka. Setiap daripada ahli pasukan itu dilengkapi dengan senjata api dan mereka sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga.

Matahari belum naik tinggi, ketika mereka memulakan operasi. Pesuruhjaya Azrul yang menjadi pegawai pemerintah operasi ini mengambil keputusan untuk memulakan langkah mereka selepas subuh.

“Berdasarkan serangan di Makmal Teknologi Kota Kundang, kumpulan Vision ini merupakan sebuah kumpulan yang sangat merbahaya. Beruntungnya kita, kerana markas mereka terletak agak jauh dari kawasan awam. Namun begitu, mohon semua anggota untuk berhati-hati. Kita tidak tahu sejauh mana lagi keupayaan senjata mereka.” Pesan daripada Pesuruhjaya Azrul masih terngiang-ngiang di telinga Inspektor Shahizam.

“Kita telah memasuki kawasan CAI Villa Biru Kundang,” ujar Simat. Inspektor Shahizam mengangguk dan segera memberi isyarat kepada ahli pasukan yang lain, supaya lebih peka dengan keadaan sekeliling.

Tinjauan yang dilakukan beberapa hari sebelum operasi, menemukan mereka dengan sebuah laluan masuk rahsia yang terletak di belakang gunung. Laluan itu kini menjadi sasaran pasukan mereka.

  “Aneh,” ujar Inspektor Shahizam.

“Kenapa tuan?” soal pembantunya, Sarjan Amri.

“Laluan rahsia yang akan kita tujui ini terletak tidak jauh daripada sempadan CAI mereka. Ia sepatutnya dikawal dengan ketat dan bukan dibiarkan tidak berkawal. Saya kurang selesa dengan keadaan ini,” balas Inspektor Shahizam sambil memegang erat senjatanya.

Simat yang pantas melangkah sebelum ini terhenti secara tiba-tiba. Lelaki berbangsa Senoi itu mengeluarkan sebilah parang yang tersisip di pinggang sambil tangan kanan memegang erat senapang ringan yang dibawa. “Kenapa?” soal Inspektor Shahizam.

“Saya tidak tahu ia jenis haiwan apa. Baunya seperti serigala, tetapi jauh lebih busuk.” Simat kelihatan tidak gembira. Hidungnya kembang-kempis, “Jumlahnya banyak, tuan.”

Serentak dengan itu, sayup-sayup suara haiwan melolong bersahut-sahut. Simat memberi isyarat supaya mereka bersedia dengan senjata mereka.  Tidak lama kemudian, bunyi lolongan itu berhenti dan alam menjadi sunyi-sepi. Tiada lagi bunyi burung berkicau atau nyanyian cengkerik. Suasana terlalu sepi, sehingga menerbitkan kegusaran di wajah mereka.

“Berhati-hati, ‘mereka’ sedang menuju ke sini,” bisik Simat.

Mereka dapat mendengar dengan jelas bunyi ‘sesuatu’ menuju ke arah mereka dengan pantas. Sekelip mata sahaja mereka dapat bertentangan mata. Terbeliak mata Inspektor Shahizam dan seluruh anggota pasukannya apabila melihat makhluk di hadapan mereka.

Haiwan itu mempunyai fizikal seperti campuran anjing, serigala dan hyena. Tubuhnya bersaiz empat kali ganda lebih besar daripada anjing biasa. Bahagian hadapan lebih bidang dan tegap. Bulu yang berada di kepala, sepanjang tulang belakang sehingga ke ekor, agak panjang dan berwarna beberapa tona lebih gelap. Wajah haiwan aneh itu menyerupai anjing, tetapi ia kelihatan lebih hodoh, gigi yang lebih tajam serta air liur sentiasa mengalir daripada lidah yang terjelir keluar.

Virus L-2Where stories live. Discover now