Bab 10

27 3 0
                                    

Setelah Tengku Zahiruddin jatuh tersungkur ke lantai berlumuran darah, Puteri mara secepat kilat dan menghentikan langkah Tengku Amir. Syafii dan dua beradik itu terkaku di tempat mereka berdiri. Lutut mereka menggeletar kerana ketakutan. "Apa khabar pakcik?" Mel bersuara melalui Fly. Puteri terus merenung lelaki itu, menanti arahan seterusnya.

Meskipun berwajah sugul, Tengku Amir cuba tersenyum. Tengku Amir melihat anak saudaranya itu melalui ekor mata sebelum menumpukan pandangan kembali ke arah Puteri. Tengku Zahiruddin sedang bertarung dengan masa. Mata Tengku Zahiruddin terbeliak dan tubuhnya menggeletar. "Apa khabar Puteri?"

Tengku Amir melangkah menghampiri Puteri. Isyarat tangan diberikan kepada Luqman Hakim dan yang lain supaya segera membantu Tengku Zahiruddin. Luqman Hakim segera mengambil beberapa helai kain tuala kecil daripada laci kabinet dan cuba memberanikan diri mendapatkan Tengku Zahiruddin. Tuala-tuala kecil itu ditekap ke luka bagi mengelakkan darah daripada terus mengalir keluar.

Luqman Hakim mengerling ke arah Syafii dan Sarah. Keadaan Sarah jauh lebih baik daripada Syafii yang yang terus terkaku di pintu dapur, menangis tanpa suara.

Tangan digamit ke arah Sarah, "Mari bantu abang. Kita perlu segera atau Tengku Zahiruddin akan mengalami kejutan akibat kehilangan terlalu banyak darah dalam tempoh yang singkat." Suara Luqman Hakim kedengaran tenang, namun air mukanya tidak dapat menyembunyikan perasaan takut yang menguasai. Entah berapa kali tuala kecil yang dipegang, terlepas ke lantai, namun Luqman Hakim tetap berusaha membantu Tengku Zahiruddin.

Puteri kelihatan lebih berminat dengan Tengku Amir berbanding dengan Tengku Zahiruddin dan yang lain-lain. Apabila dua beradik itu menarik Tengku Zahiruddin lebih jauh, Puteri tidak memberi sebarang reaksi.

Setelah memastikan Tengku Zahiruddin selamat diuruskan oleh Luqman Hakim dan Sarah, Tengku Amir menyambung kata, "Adakah kamu merindui saya?"

"Aku tidak pernah merindui kau! Dua puluh tahun aku menanti saat ini! Hari ini nyawa kau akan tamat di sini!" Fly bersuara lebih tinggi dengan Mel berada di sebaliknya. Suara yang sarat dengan perasaan dendam kesumat.

Senyuman mengejek terukir di bibir Tengku Amir. Menambah sakit hati Mel yang memerhati dari jauh. "Maaf, saya tidak berkata kepada manusia yang berselindung di sebalik Puteri. Saya bertanya kepada Puteri sendiri." Tengku Amir memandang ke arah Puteri, seakan seorang Majnun memandang Lailanya. Pandangan yang dipenuhi dengan perasaan rindu. "Setelah dua puluh tahun berlalu, Puteri, adakah kamu masih mengingati Merah?"

"Aku benci kauuu!!!" Jerit Fly dan serentak dengan itu Puteri menghayunkan tangan menyerang Tengku Amir. Lelaki itu mengelak ke tepi dan melepaskan tendangan ke arah Puteri. Puteri cuba membalas kembali namun setiap serangannya berjaya dielakkan oleh Tengku Amir.

Walaupun sibuk menguruskan Tengku Zahiruddin, Luqman Hakim sempat memerhatikan pertarungan di antara Tengku Amir dan Puteri. Bisik Luqman Hakim kepada Sarah, "Sekiranya ia adalah android Puteri seperti yang tercatat dalam buku sejarah, Pakcik Amir tidak akan mempunyai peluang untuk menang!"

"Apa cadangan abang?"

"Ia adalah sebuah android, sebuah mesin. Kalau abang tidak salah menjangka, android ini yang telah mengambil alih Fly. Jika kita dapat mencapai semula sistem Fly dan melepaskan 'itu', android ini akan menerima kesan yang sama seperti Fly. Ia sepatutnya terhenti serta-merta. Sarah ada I-Ran di tangan?" Sarah mengangguk lantas mengeluarkan I-Ran dari poket baju dan ditunjukkan kepada Luqman Hakim. "Bagus! Boleh Sarah gunakan mana-mana komputer untuk mencapai sistem Fly?"

Sarah memegang kepala untuk menumpukan perhatian. Seakan tidak mahu perasaan takut menguasai diri. "Saya boleh cuba menggunakan Siti Khadijah. Harapnya Siti Khadijah tidak terpengaruh dengan android itu. Tetapi, adakah kita benar-benar perlu melancarkan 'ia'?"

Virus L-2Where stories live. Discover now