Bab 16

18 2 0
                                    

Seorang demi seorang pegawai polis masuk ke bilik persidangan itu. Unit perhubungan telah menghubungkan beberapa pegawai polis daripada bandar-bandar lain. Skrin yang memaparkan wajah ahli mesyuarat tersusun elok di tepi dinding mengelilingi bilik persidangan. Kumpulan Binari yang diwakili oleh Azlisham turut menyertai persidangan yang dipengerusikan oleh Pesuruhjaya Azrul itu secara maya. Tajuk mesyuarat mereka jelas terpampang pada skrin utama. Mereka memahami bahawa tujuan persidangan tergempar itu diadakan adalah berkenaan kes Puteri.

Mereka diberi penerangan serba ringkas berkenaan latar kes tersebut. "Selepas kejadian pembunuhan Dato' Sofea di Bandar Bintang, pembunuh itu telah menyerang kediaman Dato' Asyraff iaitu salah seorang Pengarah di Kumpulan Binari yang terletak di Bandar Cermai Jaya."

"Sasaran utama dalam serangan tersebut ialah Tengku Amir Ahmad dengan kod nama; Merah. Suspek utama dalam kes Puteri dua puluh tahun lalu." ASP Wong yang mewakili Bandar Cermai Jaya memberi penerangan. Skrin utama memaparkan sedutan klip video serangan Puteri di Bandar Bintang dua puluh tahun lalu. Skrin di sebelahnya pula memaparkan wajah terkini Tengku Amir Ahmad.

"Penyerang dalam kes ini serta beberapa kes sebelumnya telah dikenalpasti sebagai android DX-301 yang juga dikenali sebagai Puteri, keluaran Institut Penyelidikan Robotik (IPR). Android ini merupakan android yang sama dalam kes amukan dua puluh tahun lalu."

"Serangan yang berlaku pada malam hari raya yang lalu menyaksikan tiada sebarang kematian dicatatkan. Namun begitu, serangan tersebut telah menyebabkan anak lelaki Dato' Asyraff serta Tengku Zahiruddin; anak saudara Tengku Amir Ahmad mengalami cedera parah dan terpaksa dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Bandar Cermai Jaya. Kediaman Dato' Asyraff juga mengalami kerosakan teruk."

Para ahli sidang dipertontonkan dengan rakaman yang diperolehi daripada AIDA rumah Dato' Asyraff. Mereka dapat melihat keadaan kucar-kacir di rumah tersebut. Wajah-wajah mangsa yang kelihatan ketakutan serta berhempas pulas untuk hidup dapat dilihat dengan jelas melalui kamera pandangan AIDA.

"Tengku Amir Ahmad telah memilih rumah yang tepat untuk dilawati. AIDA di Rumah Dato' Asyraff telah dilengkapi sistem pencegahan pencerobohan. Apabila terdapat cubaan menceroboh, ia akan mengaktifkan sebuah program ringkas yang dipanggil Virus L-2 yang mampu memberhentikan keseluruhan sistem komputer yang berada dalam capaiannya sekelip mata sahaja, tidak terkecuali android bernama Puteri itu."

"Jadi, mereka terselamat kerana Puteri telah terhenti?" Soal seorang pegawai polis. ASP Wong mengangguk dengan bibir tersenyum lebar.

"Malangnya android itu telah dirampas kembali," keluh seseorang. Ahli mesyuarat yang lain sedia maklum berkenaan rampasan Puteri daripada Makmal Teknologi Kota Kundang baru-baru itu.

Senyuman ASP Wong semakin melebar. "Meskipun kita kehilangan Puteri, serangan di Makmal Teknologi Kota Kundang itu telah meleraikan pelbagai kemusykilan dan persoalan. Kini kita telah mengetahui siapakah dalang serta motif di sebalik pembunuhan dan serangan yang berlaku kebelakangan ini." ASP Wong mengalihkan pandangan ke arah skrin Azlisham. "Berita baik selanjutnya?"

"Sebaik sahaja Virus L-2 diaktifkan dan menjangkiti Puteri, ia telah menyimpan salinan dirinya sendiri dalam memori Puteri. Oleh yang demikian, apabila mereka cuba menghidupkan android tersebut, mereka turut mengaktifkan Virus L-2 buat kali kedua. Program yang dibuat khas untuk AIDA kediaman Dato' Asyraff ini juga telah ditetapkan supaya setiap kali pengaktifan berlaku, ia akan menghantar mel notifikasi kepada Datin Normi." Penjelasan Azlisham itu membuatkan Pesuruhjaya Azrul mengangkat keningnya.

"Adakah kita dapat mengesan kedudukan kumpulan pengganas itu berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada Virus L-2?" soal pegawai tinggi polis itu.

Virus L-2Where stories live. Discover now