Bab 8

24 3 0
                                    

Luqman Hakim menarik muka masam dengan tangan terus menghayun lemah anak lesung. Menumbuk kacang tanah yang telah siap disangai oleh Syafii. "Berapa lama lagi saya harus menumbuk kacang tanah ini? Mengapa kakak tak gunakan mesin sahaja? Bukankah lebih mudah dan menjimatkan masa?" Rungut Luqman Hakim. Mereka telah bekerja dari awal pagi untuk menyediakan juadah hari raya di bawah seliaan Syafii.

"Kacang yang ditumbuk menggunakan lesung batu mempunyai rasa yang lebih sedap berbanding dikisar menggunakan mesin. Cepat tumbuk kacang-kacang itu. Selepas itu, giling cili kering pula. Kakak akan sediakan bahan lain untuk juadah hari raya," Ujar Syafii sambil mengasah pisau untuk menyiang ayam.

Seminggu sebelum itu, mereka telah menempah semua bahan untuk penyediaan juadah dengan pekedai yang biasa dengan mereka. Bahan-bahan itu dihantar oleh pekedai pada pagi sehari sebelum hari raya. Pada kebiasaannya, semua bahan dan rempah yang dijual telah siap dikisar dan dicampur. Pengguna hanya perlu memaklumkan jenis masakan yang ingin disediakan serta jumlah yang diperlukan. Pekedai akan membungkus rempah mengikut keperluan pengguna. Walaubagaimanapun, Syafii sengaja menempah bahan-bahan mentah kerana dia ingin menggunakan kaedah tradisional sepenuhnya dalam penyediaan masakan.

"Abang lupa, abang sedang berurusan dengan seorang technophobia? Saya berasa aneh semasa syarikat penghantaran datang secara tiba-tiba. Kasihan mereka berpeluh-peluh mengangkat bungkusan yang berat. Di mana kakak beli lesung batu dan juga batu giling itu? Bukan mudah untuk menjumpai kedua-dua alat memasak purba pada zaman kini," Soal Sarah yang dipertanggungjawabkan untuk mengupas bawang. Entah berapa kali dia bangun mencuci mata yang kepedihan.

"Alat purba?" Syafii tersengih lebar. "Bukan purbalah. Tetapi eksotik! Kakak terjumpa dalam satu kunjungan ke kedai barangan antik. Oleh sebab tidak mampu membawa kedua-dua barang ini menaiki kenderaan awam, maka kakak upahkan syarikat penghantaran untuk menghantar ke sini. Biarpun harga yang dikenakan sedikit mahal, tetapi ia sampai juga tepat pada waktu!"

Bantah Luqman Hakim. "Sepatutnya barang-barang ini tiba selepas hari raya!" Luqman Hakim baru sahaja selesai menumbuk kacang tanah seperti yang diarahkan Syafii. Bekas berisi kacang yang siap ditumbuk itu diletakkan di atas meja. "Adakah selepas ini saya perlu menggiling cili kering pula?"

"Cili kering telah pun kakak potong dan rendam. Teksturnya sudah lembut dan mudah untuk digiling."

Sarah yang sedang bergenangan air mata mengupas bawang, ketawa kecil melihat Luqman Hakim memicit bahu dan pinggang. Luqman Hakim menggeliat untuk memperbetulkan urat. Terbongkok-bongkok Luqman Hakim mengangkat batu giling yang berat dari tepi kabinet dapur ke ruang yang lebih selesa. Ejek Sarah sambil menjuihkan bibir, "Abang kelihatan seperti orang tua, berjalan seperti itu."

"Hah, cuba kamu duduk berlama-lama di lantai dan menumbuk kacang! Tentu kamu akan mengalami kesakitan yang lebih teruk daripada abang kerana kamu jarang sekali bersenam!" Cili kering yang siap direndam tadi diambil oleh Luqman dan diletakkan berhampiran dengannya. Syafii dan Sarah saling berpandangan sebelum ketawa besar melihat Luqman mulai menggiling cili kering meskipun mulut masih tidak berhenti membebel.

"Oh ya, dalam perjalanan ke sini kakak berjumpa dengan Pakcik Amir. Katanya dia telah temui sebuah kedai yang sesuai untuk memulakan perniagaan."

Wajah Sarah berubah serta-merta apabila mendengar nama 'Pakcik Amir' disebutkan. "Saya tak percayakan Pakcik Amir. Dia tidak kelihatan seperti orang yang baik! Dia sentiasa mengelak daripada menjawab soalan-soalan yang saya kemukakan!"

Cepat-cepat Syafii menegur, "Usahlah berburuk sangka dengan orang. Pakcik Amir itu baik orangnya."

"Kakak pula terlalu optimis! Dalam dunia sekarang, kita perlu sentiasa berhati-hati dengan sesiapa pun. Tambahan pula jika orang itu tidak kita kenali dengan rapat. Oh, saya terlupa mencari maklumat berkenaan Pakcik Amir! Sebentar ya kak, saya mahu uruskan sesuatu di bilik!" Pisau yang digunakan untuk mengupas bawang diletakkan ke atas meja. Sarah berlari naik ke bilik dengan tergesa-gesa. Syafii mengerling ke arah Luqman Hakim. Luqman Hakim hanya mengangkat bahu dan meneruskan kerja menggiling cili.

Virus L-2Where stories live. Discover now