Bab 11

29 2 0
                                    

Melalui dinding kaca itu, Adam Dennis dapat melihat Tengku Zahiruddin dan Luqman Hakim terbaring di dalam wad unit rawatan rapi. Pelbagai alat disambungkan kepada mereka. Tengku Zahiruddin tidak pulang untuk makan malam bersama pada malam hari raya. Dia hanya memaklumkan bahawa dia dalam perjalanan mencari Tengku Amir secara bersendirian. Rahimi yang sering menemani Tengku Zahiruddin pula dibenarkan pulang bercuti bersama keluarga.

Kemudian, larut malam itu mereka dikejutkan dengan berita serangan Puteri di kediaman Dato' Asyraff. Nama yang tidak termasuk langsung dalam senarai nama yang dipantau oleh mereka. Adam Dennis menggenggam erat penumbuk. Gumamnya menahan geram, "Saya akan hentikan semua ini. Saya tidak mahu ada insan yang tidak bersalah terus menjadi mangsa!"

Sebelum pulang, Adam Dennis menjenguk masuk ke wad yang menempatkan Tengku Amir. Meskipun kecederaan Tengku Amir tidak separah Tengku Zahiruddin dan Luqman Hakim, lelaki itu turut kehilangan banyak darah. Ketika tiba di wad, Tengku Amir yang telah diberikan ubat serta antibiotik, masih belum sedarkan diri.

Seorang lelaki lingkungan usia 50-an mengambil tempat di tepi katil. Memandang sayu Tengku Amir yang sedang lena. Perlahan-lahan Adam Dennis berjalan menghampiri. Lelaki tua itu menoleh apabila menyedari bahunya disentuh orang. Meskipun hujung mata kelihatan basah, lelaki itu cuba memberikan reaksi wajah seakan dirinya tidak apa-apa.

Ujar Adam Dennis lembut, "Usahlah Pakcik Akmal merasa bimbang. Kesemua mereka berada dalam keadaan selamat. Keadaan Zahiruddin dan remaja lelaki itu sudah pun stabil. Tiga orang gadis yang lain juga telah menjalani rawatan dan mereka kini sedang berehat di dalam wad."

Tengku Akmal berpaling ke arah Adam Dennis dengan bibir tersenyum nipis dan wajah yang meredup. Keluh Tengku Akmal, "Pakcik telah menjangka perkara sebegini akan berlaku, tetapi pakcik tetap tidak dapat menghalangnya."

"Esok, kita akan pindahkan Tengku Amir ke tempat lain. Meskipun Puteri berada di tangan polis, saya masih bimbang Mel akan bertindak menyerang hospital. Sekiranya perkara itu berlaku, ramai orang yang tidak bersalah akan terlibat."

Tengku Akmal mengangguk lemah. Semenjak kematian abang sulungnya, Tengku Akmal telah berusaha bersungguh-sungguh untuk menyatukan seluruh keluarga yang berpecah-belah, namun usaha itu seakan terlalu sukar untuk dilaksanakan.

"Dua puluh tahun dahulu, apabila mereka membuat keputusan untuk berpindah, pakcik tidak dapat menghalang mereka. Kemudian, mereka muncul kembali selepas sepuluh tahun, mengambil alih Empayar Tengku. Tanpa pakcik ketahui, mereka berusaha untuk mendapatkan semula Puteri daripada pihak berkuasa dengan menggunakan semua saluran undang-undang yang ada. Apabila pakcik mengetahui berkenaan pengubahsuaian serta pembaikan yang dilakukan terhadap Puteri, segala-galanya sudah terlambat. Pakcik telah kehilangan kuasa terhadap urusan Empayar Tengku." Suara Tengku Akmal kedengaran sebak.

Adam Dennis mengusap bahu pakciknya itu dan berkata dengan tenang, "Sebagaimana yang pakcik ketahui, kami telah membangunkan Moonlight, khusus untuk menentang Puteri. Berdasarkan simulasi yang telah dilakukan, kekuatan Moonlight sepatutnya melebihi Puteri. Namun begitu, Moonlight masih perlu diuji." Penerangan yang dibuat oleh Adam Dennis, membuatkan Tengku Akmal mengangguk.

"Ada satu perkara yang mengganggu saya." Adam Dennis menggaru-garu dagu. Kening hampir-hampir bertemu dek dalamnya berfikir.

"Apa perkara yang mengganggu kamu?" Soal Tengku Akmal.

"Saya telah melihat keadaan rumah itu. Meskipun mereka memberi penentangan yang hebat, ditambah dengan bantuan daripada gadis bertangan mekanikal itu, usaha mereka itu hanya boleh memberi sedikit kesan sahaja kepada Puteri. Perbezaan kuasa mereka terlalu jauh, ibarat semut melawan gajah. Tengku Amir tentu sangat memahami bahawa mereka langsung tidak mempunyai peluang untuk menang."

Virus L-2Where stories live. Discover now