Bab 19

17 2 0
                                    

Sarah membelek rakaman yang dibuat menggunakan I-Ran. Uniform sekolah telah ditukar kepada pakaian kasual biasa. Sebelum memulakan perjalanan, mereka singgah ke rumah Sarah untuk mengambil pakaian serta beberapa barang keperluan.

“Kami telah tiba di Bandar Ciku 4! Bandar ini kecil sahaja dan mempunyai kapasiti penduduk sekitar 30 000 orang. Kebanyakkan mereka merupakan generasi peneroka yang mengusahakan pelbagai jenis tanaman. Tanaman utama mereka merupakan padi dan pisang.”

Kamera dihalakan ke arah pemandangan di luar kereta.
“Meskipun tidak semoden kebun jagung datuk, saya dapati mesin yang digunakan oleh mereka tidak kurang hebatnya! Perbezaan ini berlaku mungkin disebabkan saiz ladang mereka yang jauh lebih besar serta jenis tanaman yang berbeza.”

Nailofar yang duduk di tempat duduk bahagian hadapan menoleh ke arah Sarah. “Oh, Datuk Sarah tanam jagung?”

Mengangguk. “Kebun datuk diuruskan sepenuhnya oleh mesin. Hanya kerja-kerja pengkelasan jagung sahaja yang perlu pantauan khusus. Kerja menanam, menyiram, membaja semuanya dilakukan oleh komputer. Sistem yang digunakan berbeza dengan sistem di rumah atau di sekolah. Menurut ayah, dahulu datuk menggunakan sistem TANI versi 1.4.5.0. Kemudian, datuk menaik taraf sistem beberapa kali sehingga versi terkini iaitu 11.3.7.”

“Oh, sistem itu sudah dipertingkat sehingga versi kesebelas?” Celah Tengku Amir.

“Pakcik tahu tentang sistem TANI?” Soal Sarah sambil menukar fungsi rakaman I-Ran kepada fungsi neutral.

“Pakcik pernah dengar berkenaan sistem ini suatu masa dahulu. Namun begitu, oleh sebab keluarga pakcik tidak menceburi bidang pertanian, kami tidak mempunyai pengetahuan yang mendalam berkenaan sistem ini.”

“Keluarga pakcik menceburi bidang apa?” Sarah kelihatan berminat untuk mengetahui lebih lanjut.

Tengku Amir tertawa kecil. “Bukankah kamu telah memeriksa latar belakang pakcik? Kamu tentu mengetahui apakah bidang yang kami ceburi.”

“Saya tidak membaca info itu. Saya berhenti membaca latar belakang pakcik pada maklumat yang menyatakan bahawa pakcik merupakan seorang banduan yang telah selesai menjalani hukuman penjara 20 tahun atas kesalahan menggodam dan menyebabkan kerosakan harta benda.”

Tawa Tengku Amir semakin kuat. “Kamu sangat jujur!” Nailofar turut tertawa mendengar pengakuan Sarah. Shankar yang sedang memandu hanya tersenyum. Sesekali dia melihat ke cermin belakang untuk melihat kedua penumpangnya itu.

“Keluarga pakcik banyak terlibat dalam bidang kejuruteraan.”

“Oh, sebab itu keluarga pakcik boleh mencipta android seperti Puteri?” Potong Sarah tanpa sempat Tengku Amir menghabiskan kata-katanya.

“Ya, Puteri itu dicipta oleh syarikat kami. Ia sepatutnya android yang hebat pada zaman itu. Namun, pakcik juga yang memusnahkan reputasi Puteri. Tidak perlulah pakcik mengulangi cerita dua puluh tahun lalu. Kamu tentu sudah sedia maklum.”

“Kejadian itu ada diceritakan dalam buku sejarah yang kami pelajari.” Sarah mencari nota Sejarah yang tersimpan dalam I-Ran lalu ditunjukkan kepada Tengku Amir.

Tengku Amir tertawa kecil apabila melihat wajahnya dua puluh tahun lalu. “Kacak juga saya ya? Mengapa ketika itu saya tidak menjadi kasanova?” Lelaki itu segera membelek nota-nota lain berkenaan peristiwa itu. “Oh, mereka melabelkan saya sebagai penagih tegar?” Tengku Amir berpura-pura kecewa. Filem yang ditonton sebelum ini telah menjelaskan persepsi orang terhadapnya.

Berkerut dahi Sarah. "Pakcik bukan penagih dadah? Saya baca ketika perbicaraan berlangsung, pakcik telah pengsan akibat mengambil dos yang berlebihan?”

Virus L-2Where stories live. Discover now