Bab 17

20 2 0
                                    

Sarah menyandarkan tubuh ke dinding di belakang blok sekolah. Hari pertama kembali ke sekolah selepas bercuti panjang semenjak serangan Puteri pada malam hari raya lalu, cukup melelahkannya. Bandar Cermai Jaya tempat kediaman mereka itu merupakan sebuah bandar kecil berbanding kota metropolitan seperti Bandar Bintang. Berita peristiwa serangan di kediaman mereka tersebar dengan cepat dan sekelip mata ianya diketahui ramai. Akhbar-akhbar tempatan melaporkan perkembangan berita hampir setiap minit terus ke I-Ran penduduk yang melanggan.

Meskipun ibu bapa mereka merupakan antara orang yang disegani di kalangan masyarakat, perkara yang paling menyusahkan Sarah adalah abangnya sendiri; Luqman Hakim. Ini adalah kerana Luqman Hakim merupakan seorang pelajar yang menjadi idola ramai pelajar perempuan. Sama ada pelajar daripada sekolah sendiri ataupun pelajar daripada sekolah berhampiran.

Tiada pelajar di Sekolah Menengah Bandar Cermai Jaya yang tidak mengenali Luqman Hakim. Pelajar tingkatan lima itu merupakan seorang pelajar contoh. Dia merupakan pelajar cemerlang dalam akademik dan juga aktif bersukan. Kedudukannya sebagai Ketua Pelajar juga menambahkan merit yang ada disamping sifat yang sopan dan baik budi. Tambahan pula, putera sulung kepada seorang yang bergelar Dato'. Terdapat sekumpulan pelajar yang menubuhkan kelab peminat Luqman Hakim dan mengikuti setiap perkembangan pemuda itu. Berita serangan di kediaman mereka yang mengakibatkan Luqman Hakim tercedera parah sehingga terpaksa dirawat di unit rawatan rapi tentulah menjadi berita besar di kalangan peminat-peminatnya.

Meskipun tidak kelihatan di wajah, trauma daripada serangan itu masih menyelubungi. Acapkali Sarah didatangi mimpi ngeri, mengigau dan terjaga di tengah malam sehingga dia hampir menghidap insomnia. Atas saranan kaunselor, Sarah hadir ke sekolah untuk mengembalikan rutin harian dan mempercepatkan proses pemulihan. Namun Sarah tidak pernah menjangka dirinya akan diserbu oleh semua orang bertanyakan perihal Luqman Hakim. Tanpa seorang pun yang peduli keadaan fizikal dan mental Sarah.

Beberapa hari selepas serangan, selain menghabiskan masa di hospital, dia berada di bawah jagaan pihak polis. Tiada siapa yang boleh mendekati atau merapati Sarah selain daripada orang tertentu yang dibenarkan oleh pihak polis. Kini, Sarah mendapati dirinya belum bersedia untuk kembali ke alam sebenar.

Meski dinasihati guru supaya tidak memberati Sarah dengan soalan, pemuja-pemuja Luqman Hakim terus mengerumuni Sarah. Soal seorang pelajar perempuan, "Bagaimana keadaan Luke?"

Berkelip-kelip mata Sarah cuba memproses soalan yang dikemukakan. "Siapa Luke?"

"Luke... Oh tuhan, Luqman! Luqman Hakim! Adakah dia sihat? Oh Luke kesayangan saya. Bagaimanakah keadaan dikau?" pelajar itu memeluk tubuh dan mulai hilang dalam anganan.

"Siapa kesayangan kamu? Lucky itu kepunyaan saya! Terukkah kecederaannya?" Celah seorang pelajar lain pula. Pelajar yang pertama tadi ditolak ke tepi. "Khabarnya dia masih koma."

"Lucky? Blueh!" Seorang yang lain pula menjuihkan bibir. "Teruknya nama yang kamu berikan? Kamu sangka Hakim itu haiwan peliharaan kamu?" Pelajar itu buat-buat tersenyum manis. "Adakah saya boleh melawat Hakim?"

"Uuhh... Hakim? Namanya Luqman tahu! Mengapa kamu semua memberikan dia nama gelaran yang... uhhh!!!" Seorang pelajar lagi mencebikkan mulut. "Adakah dia telah tersedar dari koma?"

Belum sempat Sarah menjawab, seorang yang lain muncul di hadapannya. "Di mana Luqman ditempatkan? Apabila mengetahui berita serangan itu, saya terus datang ke hospital untuk melawat. Tetapi pihak hospital enggan memberitahu apa-apa!" Gadis itu menangis teresak-esak.

"Eh, kamu pergi ke hospital? Luqman tidak mahu bertemu kamulah! Oh, sebab itu agaknya jururawat itu tidak membenarkan saya masuk?" Marah seorang yang lain.

Virus L-2Where stories live. Discover now