Bab 5

45 4 0
                                    

Tengku Zahiruddin meneliti berita pembunuhan Pengarah Pusat Sekuriti Negara, Dato' Sofea pada layar di hadapannya. Beberapa rakaman laporan daripada agensi berita yang berasingan turut ditayangkan.

Visual-visual itu membuatkan Tengku Zahiruddin termenung lama. Sebuah skrin ditarik dan dibesarkan. Senarai nama mereka yang terlibat dalam peristiwa Puteri dua puluh tahun lalu dipaparkan. Satu-persatu nama yang ada telah bertukar status menjadi, 'Meninggal dunia', termasuklah Dato' Sofea.

Perhatian Tengku Zahiruddin terganggu dengan isyarat masuk daripada pembantunya. "Ya Rahimi, ada apa-apa berita terkini?"

Skrin wajah Rahimi muncul di bahagian tepi. "Kami telah menemui Tengku Amir dan mengekorinya ke arah utara menuju Kota Kundang. Walaubagaimanapun, dia telah menghilang dan tidak tiba di Kota Kundang seperti sangkaan kami. Mohon maaf kerana cuai dalam tugasan kami."

"Tidak mengapa, Tengku Amir itu seorang yang licik. Mungkin beliau telah menyedari dirinya diekori orang." Tengku Zahiruddin bersandar ke kerusi lalu menyambung, "Satu persoalan, mengapa Kota Kundang yang menjadi destinasi? Apa urusan Tengku Amir di sana? Siapa pula yang ingin ditemuinya?".

"Kami telah memetakan semua rekod mereka yang terlibat dalam kes Puteri. Tiada seorang pun yang berkaitan dengan kes tersebut berada di Kota Kundang. Kami juga telah cuba memadankan rekod kenalan Tengku Amir tetapi hasilnya sama sahaja."

"Rekod kenalan." Tengku Zahiruddin menggeleng. "Bagaimana kita ingin tahu sesiapa yang dikenalinya? Di penjara sahaja, entah berapa ribu orang yang dikenalinya? Malahan dahulu, siapa sangka dia berkawan baik dengan pengedar dadah? Melepak bersama-sama dengan kumpulan Gothic Punk?"

Peta Bandaraya Kota Kundang yang terletak jauh di utara itu dipandang sekilas. Sebelum dihumban ke penjara, Tengku Amir tidak pernah keluar jauh daripada bandar kediamannya. Pergerakan Tengku Amir terbatas di antara rumah dan universiti semata-mata.

Oleh itu, apabila Tengku Amir terus bergerak menuju ke utara setelah menemui Datin Dahlia, tanpa berjumpa rakan-rakan lama yang lain, perkara itu menimbulkan banyak persoalan kepada Tengku Zahiruddin. Visual Kota Kundang dan kawasan sekitarnya dibuka sepintas lalu. Sebuah kota yang aman damai dan rendah kadar jenayah. "Tidak, orang ini bukan kenalan di penjara."

"Bagaimana Tengku begitu yakin?"

Apabila Tengku Zahiruddin hanyut dalam berfikir, Rahimi menambah, "Untuk pengetahuan Tengku, Joga telah mendapati bahawa rekod kes Puteri itu sebenarnya tidak lengkap. Selain daripada pihak berkuasa dan Skuad Siber, terdapat pihak lain yang turut terlibat dalam kes tersebut. Namun begitu, identiti dan butiran lanjut mengenai pihak lain itu, tidak direkodkan."

Laporan itu membuatkan Tengku Zahiruddin termenung buat seketika. Rekod Tengku Amir diperbesarkan.  Gumamnya, "Dia tidak pernah beritahu sesiapa, hukuman telah dipendekkan. Jika tidak, tentulah kita tidak perlu bersusah payah mencari ke seluruh negara. Hanya perlu menanti di luar pintu gerbang penjara sahaja."

Senarai nama tadi dibuka semula. "Siapa agaknya yang dicari?" Pandangan Tengku Zahiruddin terhenti pada rekod Dato' Sofea.  Soal Tengku Zahiruddin, "Adakah kamu bertemu dengan 'mereka'? Saya pasti, 'mereka' juga tahu bahawa Tengku Amir telah dibebaskan lebih awal daripada jangkaan. Tentu mereka sedang memburu dia. Saya tidak dapat menolak kemungkinan bahawa merekalah pihak di sebalik pembunuhan yang berlaku kebelakangan ini."

Balas Rahimi, "Saya pastikan 'mereka' tidak menyedari bahawa kita juga sedang mencari Tengku Amir. Saya harap kita dapat bertemu dengan Tengku Amir terlebih dahulu daripada mereka."

"Saya juga berharap sedemikian. Teruskan usaha untuk menjejaki Tengku Amir." Rahimi mengangguk lalu meminta diri. "Merdu, sila hubungkan saya dengan Dr. Ikhwan."

Virus L-2Where stories live. Discover now