Bab 7

30 3 0
                                    

Suasana di ruang menunggu Lapangan Terbang Antarabangsa Bandar Bintang itu agak sibuk dengan orang ramai. Ada yang berbual-bual sesama mereka. Ada juga yang tidak putus menjenguk ke arah pintu ketibaan dengan kad nama di tangan. Tengku Zahiruddin mengambil tempat di salah sebuah bangku yang disediakan sambil memerhati jam entah kali ke berapa. Dia kelihatan gelisah dan tidak senang duduk. Soalnya kepada Rahimi, "Mereka akan tiba pada hari ini bukan?"

Soalan itu dijawab oleh Rahimi dengan anggukan. "Saya dah periksa dengan kaunter penerbangan. Katanya penerbangan yang dinaiki oleh mereka terpaksa berlepas lewat, kerana cuaca yang buruk di sana."

"Saya bimbang jika kita tidak sempat menyelamatkan pakcik saya." Tengku Zahiruddin lalu berjalan mundar-mandir dengan pandangan silih berganti di antara jam di tangan dan pintu ketibaan. "Rahimi, dah dapat lokasi terkini Tengku Amir? Dia masih berada di sana?"

"Seperti yang saya maklumkan kepada Tengku semalam, Tengku Amir menginap sementara di sebuah hotel kecil di Bandar Cermai Jaya. Dua gadis yang berbual dengan Tengku Amir itu juga telah diketahui identiti mereka."

Kening Tengku Zahiruddin terangkat seketika apabila mendengar maklumat terbaru itu. "Oh, siapakah mereka? Adakah mereka juga terlibat dengan kes Puteri?"

Rahimi menggeleng. "Bukankah saya telah menghantarkan foto mereka kepada Tengku semalam? Mereka terlalu muda untuk terlibat dalam kes Puteri. Seorang berusia 28 tahun, manakala seorang lagi berusia 15 tahun."

Riak wajah tegang Tengku Zahiruddin kelihatan mengendur. Dia tidak lagi memandang ke arah pintu ketibaan. Orang ramai yang lalu-lalang turut tidak dipedulikan. Tengku Zahiruddin melabuhkan punggung ke kerusi menunggu. "Oh, lebih muda setahun berbanding saya? Bagaimana dengan ibu bapa mereka?"

"Setelah diselidiki, didapati bahawa mereka berdua bukanlah adik-beradik. Remaja perempuan itu, bernama Siti Sarah. Anak kedua Dato' Asyraff iaitu salah seorang pengarah dalam Kumpulan Binari. Kumpulan Binari ini merupakan kumpulan syarikat yang menjadi antara pemain utama bidang teknologi maklumat dan juga sekuriti di beberapa buah negeri. Ibu pejabat mereka di Bandaraya Bintang. Mereka juga terlibat dalam pembangunan perisian untuk I-Ran."

"Manakala wanita yang seorang lagi itu adalah Syafii, anak sulung Encik Saiful, penolong pengarah Kumpulan Binari. Dato' Asyraff dan Encik Saiful bersama isteri serta ibu bapa mereka telah berangkat untuk menunaikan haji, hujung minggu lalu."

Nama Dato' Asyraff itu seakan mencetuskan suatu idea kepada Tengku Zahiruddin dan membuatkan wajahnya sedikit bercahaya. Sambil mengangguk-angguk, Tengku Zahiruddin berkata, "Menarik maklumat yang kamu sampaikan. Ada kebarangkalian Dato' Asyraff terlibat dalam kes Puteri?"

"Agak sukar untuk menyiasat Dato' Asyraff, kerana beliau menghadkan maklumat dalam pangkalan data pusat. Jika berdasarkan rekod, nama Dato' Asyraff tidak termasuk dalam senarai orang yang terlibat dalam kes tersebut."

Tengku Zahiruddin terjeda sebelum menyambung, "Sungguhkah Dato' Asyraff tidak terlibat dua puluh tahun lalu?"

Balas Rahimi, "Jika diambil kira teori Joga yang mengandaikan ada pihak lain yang terlibat, profil Dato' Asyraff sangat menepati."

Sambung Rahimi, "Kalau kita andaikan Dato' Asyraff terlibat dalam kes Puteri dua puluh tahun lalu, maka soalan mengapa Tengku Amir menuju ke Bandar Cermai Jaya, sebuah bandar yang tidak pernah dijejakinya, akan terjawab. Selama beberapa hari saya mengekori Tengku Amir, saya dapati Tengku Amir hanya berlegar-legar di sekitar Bandar Cermai Jaya. Semasa di Bandar Cermai Jaya, beliau cuma berhubung dengan gadis-gadis itu sahaja."

"Bagaimana pula dengan isteri Dato' Asyraff?"

"Datin Normi merupakan suri rumah sepenuh masa. Tiada maklumat lanjut yang kami ketahui berkenaan Datin Normi. Seperti yang saya maklumkan sebentar tadi, maklumat keluarga mereka agak sukar untuk diperolehi."

Virus L-2Where stories live. Discover now