Bab 14

23 4 0
                                    

"Apa yang telah berlaku? Emak dapat isyarat Virus L-2 diaktifkan. Bukan sekali, tetapi dua kali! Kemudian, emak cuba menghubungi kamu semua, tetapi tidak satu pun yang berjawab!" Marah Datin Normi. Wanita itu muncul di skrin dengan mengenakan pakaian kasual, tanpa pakaian ihram menandakan dirinya telah selesai menunaikan ibadah haji. Suaminya berdiri di sisi dan merenung tajam anak perempuan mereka.

Ayah kelihatan sangat kacak tanpa rambut di kepala!" Sarah cuba menukar topik perbincangan. Dato' Asyraff hanya merenung, tidak terusik dengan kata-kata Sarah.

"Sarah masih tidak menjawab soalan emak. Di mana Luqman Hakim? Di mana Syafii? Apa yang kamu semua telah lakukan?" Bentak Datin Normi. Mendengar nama abangnya disebutkan, air muka Sarah berubah serta-merta. "Apa yang telah berlaku?" Kali ini nada suara Datin Normi bertukar bimbang apabila melihat Sarah menangis teresak-esak di hadapan skrin.

"Biar saya yang berbicara." Seorang pegawai polis lingkungan usia 50-an menepuk bahu Sarah dan meminta laluan di hadapan skrin. Pangkat yang disematkan di bahunya menandakan orang itu mempunyai pangkat yang tinggi. Datin Normi baru menyedari bahawa Sarah tidak berada di rumah mereka dan dikelilingi oleh ramai orang. "Apa khabar puan? Nama saya Azrul dan pihak kami memerlukan bantuan daripada puan, berkenaan sesuatu."

"Adakah anak saya telah melakukan jenayah?" wajah Datin Normi menjadi lebih cemas.

Pegawai polis itu hanya tersenyum, lalu menggeleng. "Usahlah puan bimbang, anak-anak puan tidak melakukan sebarang jenayah. Puan telah mendidik mereka menjadi insan yang baik. Walaubagaimanapun...."

"Apa khabar Tuan Azrul. Sudah lama kita tidak bertemu." Dato' Asyraff menegur secara tiba-tiba. "Apabila seorang Pesuruhjaya Polis mengambil inisiatif untuk turun sendiri ke padang, pastinya telah berlaku sesuatu yang sangat serius?" Duga Dato' Asyraff

Pesuruhjaya Azrul tersenyum lebar. "Apa khabar Tuan Asyraff. Ya, sudah lama kita tidak bertemu. Kita sama-sama sibuk dalam membina kerjaya. Tuan Asyraff masih begitu tegas seperti waktu dahulu."

"Apakah yang telah berlaku sehingga melibatkan anak-anak saya?" soal Dato' Asyraff dengan wajah yang serius. Dia dan isterinya kelihatan kurang senang dengan apa yang bakal mereka ketahui. Perasaan resah gelisah tidak dapat disembunyikan dari wajah.

"Adakah tuan masih ingat berkenaan android bernama Puteri?"

"Puteri? Android yang hampir memusnahkan Bandar Bintang dua puluh tahun lalu? Mana mungkin saya terlupa berkenaan hal itu. Ia adalah beberapa minggu yang sungguh menyiksakan dalam hidup kami. Kami terpaksa bertungkus-lumus apabila kebanyakkan sistem kerajaan diserang oleh Merah. Setelah itu, Merah menggodam Puteri, lalu membiarkannya bermaharajalela ketika pameran perasmian di IPR. Kejadian itu menyebabkan ramai orang tercedera, termasuk sahabat saya serta keluarganya. Bandar Bintang hampir lumpuh apabila Puteri mulai mengamuk di jalanan." Ada ketegangan pada nada suara Dato' Asyraff. Sesekali beliau mengerling dengan ekor mata ke arah isteri di sisi. "Mengapa tuan membangkitkan soal itu?"

"Beberapa bulan lalu, Puteri telah muncul kembali. Ia mulai menyerang dan membunuh orang yang terlibat dalam peristiwa dua puluh tahun lalu. Tentu tuan masih mengingati Dato' Sofea?"

Dato' Asyraff mengangkat kening dan tertawa sinis. "Pengarah Pusat Sekuriti Negara, Dato' Sofea? Wira utama dalam kes dua puluh tahun dahulu."

Pesuruhjaya Azrul tidak dapat menahan daripada tersenyum mengejek. Namun begitu, air mukanya kembali serius. "Dato' Sofea telah dibunuh beberapa minggu lalu."

"Angkara Puteri?"

"Corak pembunuhan yang sama dan bukti daripada rumah terakhir yang diserang, mengesahkan ia adalah Puteri. Ia bukan sahaja membunuh orang yang berkaitan dengan kes ini, malahan juga ahli keluarga atau sesiapa sahaja yang ditemui dalam serangan yang dilakukan. Antara yang telah dibunuh adalah Prof. Dr. Said, ketua penyelidik di IPR, dua puluh tahun lalu."

Virus L-2Where stories live. Discover now