Bab 3

68 6 0
                                    

"Saya ingin bertemu Puan Dahlia Ariffin." Lelaki berpakaian kemas dengan anggaran usia sekitar 40-an itu tersenyum lebar.

AIDA yang mengawal rumah tersebut mendiamkan diri seketika, menggelintar mencari sebarang maklumat yang ada di pangkalan data berkenaan lelaki di hadapan pintu masuk rumah tuannya. "Nama tuan?" soal AIDA itu selepas mendapati maklumat lelaki itu tiada dalam simpanan.

"Tengku Amir Ahmad."

"Tujuan?"

"Bertemu Puan Dahlia Ariffin, rakan lama."

AIDA itu senyap tanpa sebarang reaksi. Barangkali menyangka kehadirannya tidak dialukan, Tengku Amir pun berpaling untuk melangkah pergi.

Tiba-tiba pintu kecil di pagar dibuka oleh seseorang. Seorang pembantu rumah berkebaya putih dan berkain batik keluar. Rambut wanita itu disimpul kemas membentuk sanggul dan sekuntum bunga mawar diselitkan sebagai penyeri. Dia berkata, "Datin menjemput tuan untuk masuk." Wanita itu memberi isyarat supaya Tengku Amir menurutinya ke dalam.

Tengku Amir dibawa merentasi taman yang terbentang luas, menuju ke sebuah rumah yang dibina menyerupai rumah adat Minangkabau. Taman itu kelihatan indah dan dijaga dengan rapi. Meskipun pelbagai jenis tumbuhan dan herba ditanam di situ, pandangan Tengku Amir lebih tertambat kepada senibina serta kehalusan ukiran yang menghiasi rumah tersebut. Rumah itu dibina panjang dengan rabung berbentuk seperti tanduk kerbau. Dinding rumah diperbuat daripada batu, menggantikan binaan kayu tradisional. Sebahagian dinding dihias dengan ukiran kayu dengan pelbagai motif yang indah. Sebuah rumah yang sangat berbeza andai dibandingkan dengan binaan moden yang dibina berkotak-kotak, tanpa sedikit pun nilai seni. Mata Tengku Amir seakan tidak puas untuk menatap setiap butir perincian yang ada.

Pembantu rumah menjemput Tengku Amir untuk duduk di serambi di bahagian hadapan rumah, berhadapan dengan taman. "Datin akan tiba sedikit masa lagi." Tengku Amir hanya mengangguk dengan pandangan masih tidak lepas daripada menghayati kecantikan senibina saduran tradisional dan moden itu.

Belum lama Tengku Amir menanti, seorang wanita yang pernah dikenali suatu ketika dahulu muncul bersama-sama dengan seorang pembantu lain yang sedang menatang dulang berisi air minuman. Wanita itu mengenakan blaus berona biru muda bercorak bunga warna putih, berseluar panjang warna gelap dan tudung putih bersih menutupi kepala. Kontras dengan pembantu berpakaian tradisional.

Tengku Amir mengerutkan dahi lalu berseloroh, "Oh, saya sangka kamu akan muncul dengan mengenakan pakaian seperti tanduk lembu itu."

Wanita itu tertawa kecil, lalu mengambil tempat di kerusi berhadapan dengan Tengku Amir. Para pembantu diberi isyarat untuk meninggalkan mereka sendirian. "Adakah kamu maksudkan 'Tingkuluak'? Saya hanya mengenakan tingkuluak semasa hari perkahwinan saya sahaja dan bukan dijadikan pakaian harian." Wanita itu menghulurkan cawan berisi air. "Teh Oolong. Baik untuk jantung dan mengurangkan kolestrol." Tengku Amir menerima cawan teh itu dengan senang hati.

"Bila kamu keluar?" Soalan wanita itu menambahkan suasana janggal yang ada. Mereka tidak bertemu dalam satu tempoh yang sangat lama, tetapi wanita itu tidak pun bertanya khabar tetamunya itu.

Tengku Amir melemparkan pandangan ke arah taman sambil bibir mencicip teh oolong yang dihidangkan. Wajah Tengku Amir kelihatan bersahaja. Barangkali sudah menduga soalan itu akan dilemparkan kepadanya. "Baru sahaja dua minggu. Hukuman saya diawalkan kerana berkelakuan baik."

Tubuh disandarkan ke kerusi dan dia menyambung, "Saya masih belum putuskan apa yang saya mahu lakukan selepas ini. Tetapi sementara itu, saya ingin bertemu semula dengan kenalan-kenalan lama. Bertanya khabar dan bertukar cerita. Maklumlah, dua puluh tahun bukanlah tempoh yang singkat. Terlalu banyak perubahan yang berlaku. Malahan sistem komputer juga sudah jauh ke hadapan."

Virus L-2Where stories live. Discover now