Bab 15

21 3 0
                                    

"Rachel, kamu mesti makan walaupun sedikit. Jika tidak, tubuh kamu akan semakin lemah. Ubat pun tidak akan dapat membantu kamu." Wanita tua itu menyuakan sesudu bubur. "Bubur oat ini saya tambahkan dengan sedikit madu, buah pic, beri biru kering serta sedikit serbuk kayu manis supaya rasanya lebih lazat. Cubalah walaupun sedikit."

Wajah Rachel kelihatan pucat dan tubuhnya kurus melidi. Tulang bahunya kelihatan tersembul, menunjukkan keadaan yang tidak semakin baik. Bibir yang kering dan hampir merekah itu cuba mengorak senyum. "Puan Ulrike, jika Tuhan takdirkan saya untuk menemui Tuhan lebih awal, saya mahu puan menjaga Adam. Gunakanlah semua harta yang ditinggalkan oleh saya dan arwah bapa Adam untuk memenuhi keperluannya. Berikanlah pelajaran dan didikan yang terbaik, supaya dia dapat membesar menjadi orang yang berguna."

Mangkuk berisi bubur itu diletakkan ke atas meja yang terletak di sisi katil. Ulrike mengambil kedua telapak tangan Rachel lalu digenggam rapat ke dada. "Usah berkata begitu Rachel sayangku. Kamu masih muda dan kamu sepatutnya hidup lebih lama daripada saya." Air mata dikesat dengan hujung lengan baju. "Saya mahu kamu sembuh dan sihat. Saya mahu melihat senyuman di wajah kamu dan Adam. Segala-galanya akan pulih seperti sedia kala."

Namun begitu, Rachel hanya menggeleng. "Puan Ulrike, saya beruntung kerana puan dan Wilhem menjaga kami berdua seperti ahli keluarga puan. Berjanjilah kepada saya, bahawa puan akan mengambil alih tanggungjawab untuk mendidik Adam Dennis, anak lelaki tunggal saya," rayu Rachel dengan air mata bercucuran membasahi pipi.

"Jangan menangis anakku. Saya berjanji untuk menjaga Adam Dennis sehingga nafasku berhenti. Saya akan menjadikannya insan yang akan kamu banggakan." Ulrike memeluk Rachel erat seakan tidak mahu melepaskannya. Wanita tua itu turut menangis.

Ulrike mengenali pasangan ibu dan anak itu, apabila mereka berpindah ke apartmen yang bersebelahan dengannya beberapa tahun lalu. Rachel yang bertugas sebagai kurator di muzium sentiasa tersenyum dan ceria. Pada hari cuti, Rachel sering muncul di hadapan rumahnya membawa kek ataupun biskut buatan tangan. Mereka akan berbual lama seakan saudara-mara yang terpisah jauh. Namun begitu, semenjak beberapa tahun kebelakangan itu, Rachel sering sakit-sakit. Kesihatannya jauh merosot lebih-lebih lagi selepas suaminya meninggal dunia.

"Saya kehilangan anak lelaki dan menantu saya secara tiba-tiba. Mereka meninggalkan Wilhem sebagai peneman dan penghilang kedukaan saya. Kemudian Tuhan bermurah hati memberikan saya ahli keluarga yang baru iaitu kamu dan Adam Dennis. Saya akan menjaga keluarga ini dengan sebaik mungkin," bisik Ulrike.

"Terima kasih Ul. Saya ada satu lagi permintaan." Ulrike mengangkat kepala memandang Rachel. "Saya mahu Adam Dennis kekal dalam agamanya. Saya mungkin tidak dapat mendidiknya dengan baik...." Rachel terbatuk-batuk kecil. Jelas sekali penyakitnya sudah terlalu parah.

"Jangan bercakap lagi," pujuk Ulrike.

"Tidak, masa saya semakin singkat." Rachel membetulkan letak punggung. "Semenjak dua tahun lalu, saya telah menghantar Adam Dennis ke pusat komuniti dan belajar dengan seorang imam di sana." Wanita itu batuk lagi berterusan untuk beberapa ketika. Ulrike mengurut belakang adan Rachel sehingga dia kelihatan lebih selesa. "Saya mahu puan pastikan pembelajarannya di sana tidak terhenti."

Ulrike terdiam seketika sebelum membalas, "Saya janji."

"Terima kasih Ul," balas Rachel sambil tersenyum.

Ulrike mengangguk. "Wilhem juga sepatutnya mendekatkan diri dengan gereja. Pastor Martin kerap bertanyakan Wilhem. Saya akan memaksa mereka berdua pergi ke rumah ibadat. Manusia tanpa agama sebagai pembimbing, akan mudah hanyut dalam hidup."

Meskipun usianya sudah lanjut, Ulrike merupakan seorang penganut Katholik yang taat. Setiap pagi Ahad, wanita itu akan berusaha untuk menghadirkan diri ke gereja di bandar mereka. Kerap kali dia menyatakan kebimbangannya berkenaan generasi muda yang semakin jauh daripada agama kepada Rachel. Ulrike berpegang bahawa sekiranya manusia sentiasa mengingati tuhan, mereka tidak akan melakukan jenayah dan perbuatan tidak bermoral yang lain.

Virus L-2Where stories live. Discover now