BAB 3

74 16 0
                                    

TANGAN Nael meraih bahu Sephia yang sudah selangkah di hadapannya. Gadis itu menoleh perlahan-lahan ke belakang. Bagaikan boneka bertali yang dikawal oleh jejaka yang sedang menantinya dengan pintu tempat duduk penumpang dibuka luas. Nael mengerutkan dahinya. Tak menyangka Sephia membuat keputusan itu.

Nael menanti Sephia untuk mengatakan sesuatu kepadanya. Dia tahu, Sephia tak kisah membonceng motosikal dengannya. Malahan, ketika mereka berada di bangku sekolah menengah, mereka seringkali bersiar-siar di kawasan kejiranan sambil membonceng motosikal milik Nael. Dia tahu, sama sepertinya, Sephia juga menikmati saat-saat itu.

"Aku..." Sephia diam sejenak. Bagaimana hatinya terasa berat untuk menghampakan Nael tetapi dalam masa yang sama, gembira bukan kepalang kerana dijemput oleh Nusayr? Dia bingung.

"Cuaca petang ni panaslah. Aku tak nak bontot aku terbakar." Bibir dijuihkan ke tempat duduk motosikal milik Nael yang sedang dijemur di bawah matahari yang menghampiri senja.

Garisan kerutan di dahi Nael bertambah. Dia semakin keliru. Dari cara Sephia teragak-agak saja, dia sudah dapat membaca isi hati Sephia; gadis itu langsung tak maksudkan apa saja yang dia baru bicarakan. Tetapi untuk apa Sephia menipunya?

"Aku balik dulu." Sephia menoleh ke Janice yang melambai ke arahnya lalu menghadiahkan senyuman kecil buat Izara yang entah mengapa, masih di situ.

Sephia berpaling lagi tetapi kali itu, Nael tak menghentikannya. Mata Nael mengikuti Sephia yang perlahan-lahan, hilang ke dalam perut kereta bersama jejaka bercermin mata, Nusayr. Masih dalam kekeliruan, dia membiarkan Sephia pergi bersama jejaka lain.




"DECEMBER" digantikan oleh "Wish You Were Here" setelah diputarkan hingga saat terakhir. Sekali lagi, mata Sephia tertala ke skrin monitor bersebelahan stereng kereta. Nama kumpulan "Neck Deep" tertera sebagai penyanyi kepada lagu bergenre pop punk itu. Alih-alih, dia mengeluarkan telefon pintarnya. Kata nama khas itu disimpan ke dalam nota digitalnya dengan senyuman kecil bermain di bibir.

"Kalau saya park dalam rumah saya, tak apakan?"

Sephia terkebil-kebil. Lambat-lambat, dia mengangguk. Telefon pintar disimpan semula ke dalam begnya. Pokok mangga setinggi bahunya muncul dalam pandangan mata. Itu selekoh terakhir sebelum mereka tiba di rumah mereka yang terletak bersebelahan. Tak lama kemudian, kereta yang dipandu oleh Nusayr berhenti membrek sepenuhnya. Sephia melontar pandangan ke rumah keluarganya, tiada pagar mahupun pintu yang memisahkan mana-mana perkarangan rumah di kejiranan itu.

"Terima kasih." Ucap Sephia seraya membuka tali pinggang keledarnya.

"Eh, kejap!" Nusayr mencapai sesuatu daripada tempat duduk penumpang bahagian belakang. "Nah! Rasanya ni awak punyakan?"

Sephia menyambut hulurannya. Lalu mulutnya melopong sedikit. Dia langsung tak menyedari buku itu tercicir dari dalam begnya. Terlalu sibuk untuk 'meneruskan hidup' agaknya. Hari orentasi pertama pun bukan main brutal lagi.

"Terima kasih." Ucap Sephia, tersipu malu.

"Oh, one more thing..." Nusayr mencapai beg kertas berwarna coklat. "Nah!"

Sekali lagi, Sephia menyambut hulurannya. Bezanya kali itu, dia malahan keliru dan bukannya lega. Beg berisi buku-buku setebal 300 mukasurat setiap satunya itu dia tatap lama sebelum perlahan-lahan, mencodak dan memandang Nusayr. Kurang pasti apa yang jejaka itu maksudkan dengan menghadiahkan buku-buku itu.

"Some of my favourites." Kata Nusayr seolah-olah itu menjelaskan segala persoalan dalam kepala gadis itu.

"Hah?"

"Buku-buku ni semua pasal wildlife and environmental science. I think you should give them a try."

"Oh." Sephia terkebil-kebil. "T-Tapi saya ni... slow reader. Tak apa ke?"

Nusayr tak tertawa tetapi dia tersenyum. Dia... senyum? Sephia berjaya membuatkan dia tersenyum?

"Take your time. Saya pun dah habis baca semuanya. Pulangkan jelah bila-bila awak dah habis baca."

"Oh." Sephia tunduk menatap buku-buku itu. Senyuman turut terbit di bibirnya. "Okay." Hembusnya.

"By the way, saya rasa kita belum perkenalkan diri lagikan?" Kata-kata Nusayr membuatkan Sephia mendongak semula. "Saya Amar Nusayr. Boleh panggil saya Nusayr. Awak... Sephia, kan?"

Sephia meneguk liur. Dia mengangguk.

"S-Sephia Jane. Panggil Phia je."

"Sephia Jane?" Nusayr termenung sejenak. "Hm. Okay... Phia."

Dalam senyap yang indah itu, Sephia merasakan hatinya berdebar-debar dengan laju. Matanya yang memandang jejaka itu dengan lembut membuatkan dia merasa seperti dunia ini hanya buat mereka berdua. Ketika tatapannya bertemu dengan mata jejaka itu, segala rasa gugur dan dia merasa bahagia yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Rasanya seperti bintang-bintang di langit malam yang bersinar terang hanya untuk mereka, dan dunia di sekeliling mereka tiba-tiba menjadi hening.

"Saya—Saya balik dululah. D-Dah nak Maghrib."

Nusayr mengangguk. Meski dia tak membantah atau mempelawa Sephia untuk kekal sesaat lebih lama, hatinya dalam tak sedar, menuturkan keinginan itu. Mulut terasa ringan untuk bertanya banyak hal soal Sephia, tetapi terpaksa menahan diri.

Sephia membuka pintu kereta. Alih-alih, tubuhnya kaku. Perlahan-lahan, dia menoleh semula ke Nusayr yang ternyata, masih melihatnya. Tiba-tiba, tekak terasa kering. Beg berisi buku-buku dipeluk lebih erat ke dada. Entah mengapa dia berfikir itu dapat menyembunyikan pipinya yang bera sejak mata mereka saling bertaut.

"P-Pintu kereta dah okay." Nyata Sephia.

"Dah hantar pergi bengkel pagi tadi."

"Oh." Sephia diam sejenak. "So kenapa awak bukakan pintu untuk saya masa kat kampus tadi?"

Akhirnya, Nusayr mati kata. Tangan mahu naik menggaru kepala sendiri tetapi kerana tak mahu Sephia melihatnya menggelabah, dia pun berlagak selamba.

"Saja." Jawabnya sepatah.

"Oh." Sephia mengangguk sekali. "Saya balik dulu. Terima kasih sebab hantar dan... sebab pinjamkan buku-buku ni."

"Sama-sama."

Sebaik saja Sephia keluar daripada kereta, jari telunjuk Nusayr naik ke bibir. Entah untuk apa dia cuba untuk menyembunyikan senyumnya.

OVERRATEDWhere stories live. Discover now