BAB 5

66 14 0
                                    

"NAEL!"

Jejaka berjaket denim itu menoleh bila namanya dilaung daripada belakang. Bila mata bertembung dengan empunya gadis berambut kuncir kuda berkembar, senyuman mekar di bibirnya. Tetapi di mata Sephia, langsung tak kelihatan seperti senyuman. Fikirnya, mata Nael yang tiba-tiba sepet itu hanya kerana silau matahari; seperti selalu.

"Aku nak minta maaf."

Nael tahu mengapa harus ada kata maaf daripada Sephia tetapi baginya, itu bukanlah hal besar. Mungkin akan jadi hal besar jika orang lain yang mengatakannya, tetapi ini Sephia. Mana mungkin dia akan pernah terasa hati dengan apa saja yang dikatakan Sephia. Dia cukup kenal gadis itu. Sephia kadang memang suka cakap main lepas tetapi hatinya tak jahat.

"Aku tak bermaksud nak—"

"Nak aku maafkan kau?" Cantas Nael sebelum Sephia mula membuka kisah hidupnya.

Sephia mengangguk dan rambut keritingnya ikut mengangguk sama. Hampir saja Nael tertawa melihatnya. Bukan nak mempersendakan, cuma... comel. Bagi Nael, Sephia comel. Sukar untuk dia menahan senyum bila Sephia begitu; wujud seadanya tetapi seadanya saja sudah sempurna.

"Boleh." Nael mencapai topi keledar berwarna kuning dengan corak batu karang berwarna ungu lalu dihulurkan kepada Sephia. Ada parap nama 'S' tetapi bukan untuk Spongebob Squarepants; melainkan untuk Sephia Jane. "Jom, aku hantar pergi kelas."

Sephia ketawa mengekek. Senang hati kerana Nael mahu memaafkan tetapi lebih senang hati kerana dia tak perlu naik pengangkutan awam hari itu untuk ke kelas. Mungkin... sudah tiba masanya untuk dia mengambil lesen kenderaan. Bukan tak mahu, tapi paranoid berlebihan. Baru pegang stereng dah ketar. Belum tekan pedal minyak lagi.

"Jom!"




DI kawasan meletakkan kenderaan dua roda kampus, ada sekumpulan mahasiswa penunggang motosikal sedang berbual sesama mereka. Ada yang masih menunggang motosikal, ada yang topi keledar masih tersarung di kepala dengan visor ditolak ke atas, ada juga yang bergelut menanggalkan sarung tangan. Topik perbualan mereka semestinya pameran motosikal klasik yang akan diadakan tak lama lagi; merancang bila mereka hendak ke sana untuk mencuci mata.

Perbualan mengasyikkan mereka tergendala bila kedengaran deruman enjin motosikal Yamaha GT50. Dari kejauhan, kelihatan dua orang yang menaiki motosikal klasik itu. Tak perlu ada tanda tanya. Di kampus mereka, cuma ada seorang saja yang memiliki motosikal jenis itu. Siapa lagi kalau bukan peminat nombor satu motosikal klasik, Amar Nael?

Bab motosikal, tak perlu tanda tanya tapi bab penumpang di belakang motosikal, yang itu perlu ada tanda tanya. Belum lama sejak mereka menjejakkan kaki ke alam sarjana muda, takkanlah Amar Nael yang mengaku bujang dan belum berpunya hatinya sudah dimiliki? Cepat betul dia tapis calon-calon yang sibuk mengejarnya keliling kampus setiap hari.

"Siapa?" Tanya salah seorang daripada mereka kepada Nael.

Gadis yang dibonceng oleh Nael itu menjejakkan kedua kakinya ke jalan bertar. Topi keledar dia tanggalkan sendiri sebelum sempat Nael membantunya; meletakkan lengkungan ke bawah di bibir Nael. Wajah sekumpulan lelaki itu berkerut seribu bila melihat wajah gadis pilihan Nael. Bukan nak burukkan, cuma... dari ramai gadis yang mencuba nasib untuk memenangi hati Nael, rasanya... gadis di hadapan mereka saat itu agak... jauh ketinggalan dari segi rupa.

"Adik." Suara feminin pula yang menjawab.

Sephia dan Nael menoleh ke arah suara itu. Seorang gadis yang mengenakan tudung corak geometri monokrom sudah berdiri di sebelah Sephia. Entah sejak bila memunculkan diri.

"Ohhhh." Balas rakan-rakan Nael serentak, terangguk-angguk.

"Hai. Ingat I lagi tak?" Tanya gadis itu kepada Sephia.

"Kak Izara, kan? Fasilitator orentasi hari tu."

Gadis bernama Izara itu tersenyum lega. "Panggil Izara je. Sebenarnya, kita sebaya. Cuma I dah semester dua."

"Ohhh." Sephia terangguk-angguk. "I'm Sephia. Boleh panggil Phia je."

"Phia nak pergi kelas dah ke?"

"Belum lagi. Kelas mula pukul 10. Saja je datang awal sebab nak jalan-jalan kat kampus, tengok apa yang menarik."

"Really? Kelas I pun mula pukul 10. I boleh give you a tour around campus kalau you nak."

"B-Boleh!" Sephia mengangguk laju, mengundang senyum Nael. "T-Tapi saya janji nak jalan-jalan dengan kawan saya. Boleh tak kalau dia ikut sekali?"

"Kawan you? Janice eh?"

Sephia kagum bila Izara masih ingat akan nama mereka berdua. Sekali lagi dia mengangguk laju. Nael menghembus nafas lega tanpa didengari oleh orang lain. Baguslah kalau Sephia ada kawan yang boleh diajak makan dan main bersama. Dia takut gadis itu akan kesepian kerana sejujurnya, Nael juga tak mampu berikan seluruh waktunya buat Sephia. Dia juga ada komitmen sendiri. Lagi pula... dia dan Sephia sekadar kawan. Dia juga tak rasa dia mampu memberi lebih daripada itu.

"Boleh je." Jawab Izara. "Kita tunggu dia kat lobi fakulti pendidikan nak? Kat situ sejuk sikit, ada tempat berteduh."

"Boleh, boleh!" Sephia menghadap Nael dan menghulurkan topi keledar kuning yang Nael beli khas untuknya. "Terima kasih sebab hantar! Balik nanti tak payah tunggu, tahu? Aku balik dengan Janice."

Nael mengangguk faham. Izara terus memaut lengannya dengan lengan Sephia, membuatkan pipi gadis berambut keriting itu berona merah. Mereka berdua berjalan bahu ke bahu sementara Nael memerhati daripada belakang. Senyumannya melebar.

"Adik kau ni baka apa eh? Reti pula ucap terima kasih. Kalau adik aku, hmph! Mulut puaka! Seumur hidup aku tak pernah lagi dia ucap terima kasih!" Getus rakan Nael, tak berpuas hati.

Nael tertawa kecil. Kepala digeleng.




GADIS berambut kuncir kuda berkembar tertawa riang seraya mempelawa diri masuk ke dalam kelas tepat-tepat sepuluh minit sebelum kuliah bermula. Pensyarah mereka untuk kelas pukul 10 pagi itu belum kelihatan tetapi sebaik saja Sephia melangkah masuk ke dalam, senyuman dan angin baiknya lesap sekelip mata.

Di tengah-tengah kelas, ada sebuah meja yang tak ditandai oleh sesiapa. Namun di atasnya, ada 'menara tinggi' diperbuat daripada kotak coklat dan hadiah yang berbalut. Bahunya sedikit jatuh. Lengan tak lagi berpaut dengan sahabatnya, Janice. Rahangnya longgar, melopong. Rakan sekelasnya semua menumpu ke arahnya.

Janice menuju ke meja itu. Tangannya mengambil salah satu daripada nota yang diselitkan di kotak-kotak hadiah itu. Dia membaca nota menggelikan hati yang ditulis dan tertawa. Namun bila dia menutup nota itu dan melihat muka hadapannya, mulutnya turut melopong.

"Untuk Amar Nael?"

Sephia mendongak. Mata dipejam dan gigi diketap. Ah, nampaknya 'sumpahannya' sudah bermula!

OVERRATEDWhere stories live. Discover now