BAB 19

46 6 2
                                    

KETIGA-TIGA gadis dengan buku nota dan teks masih di tangan bersandar pada sisi kereta milik salah seorang daripada mereka. Izara sekejap-sekejap mengerling tayar keretanya yang diapit dengan besi kuning, Sephia pula berpeluk tubuh melihat jalan yang sepi sementara Janice pula mengipas muka dengan buku teks setebal 500 mukasurat di tangan; sakit di pergelangan tangan dapat, angin tak dapat.

            Izara menggaru kepala. Memandangkan hari itu hari Jumaat, dia pun meletakkan keretanya di kawasan meletakkan kenderaan untuk staf universiti. Tahu-tahu sekembalinya dia ke tempat itu, tayar keretanya sudah diapit. Mahu tak mahu, terpaksalah bayar RM100 untuk pihak universiti membuka pengapit besi kuning itu. Salahnya juga kerana terlalu yakin.

            Janice pun sedikit menyesal kerana tak memandu ke kelas hari itu. Disebabkan dia menumpang kereta Izara, dia pun tinggalkan saja kereta miliknya di rumah sewa. Dalam banyak-banyak hari, mengapa harus hari itu peristiwa menjengkelkan seperti itu terjadi? Mengapa bukan kelmarin saat dia membawa keretanya yang baru saja dicuci luar dan dalam? Kalaulah dia membawa kereta ke kampus, tidaklah mereka bertiga tersidai di tengah panas seperti sekarang.

            Sedang mereka hanyut dalam fikiran masing-masing, tiba-tiba sebuah Volkswagen Golf GTI putih berhenti betul-betul di sisi kereta Izara. Izara dan Janice kedua-duanya mengangkat kening, tertanya-tanya jika empunya kereta itu mahu memberikan bantuan. Sementara itu, Sephia pula terkebil-kebil. Dia kenal kereta itu. Satu-satunya kereta berjenama Volkswagen yang dia tahu.

            Cermin kereta diturunkan dan segala persoalan terjawab. Jejaka yang selalunya muncul dengan helmet motosikal kesayangannya di tangan atau di kepala, hari itu memegang stereng kereta. Tanpa helmetnya di kepala, riak wajahnya lebih jelas terlihat. Tetapi entah mengapa dia kelihatan tak sesuai duduk di dalam kenderaan beratap dan berpendingin hawa seperti itu.

            "Kereta kena clamped ke?" Soal Nael.

            Izara maju ke hadapan dan membongkokkan badannya. Kepala hampir menjenguk sepenuhnya ke dalam pacuan empat roda yang dipandu oleh Nael itu.

            "Ha'ah."

            "Korang nak balik rumah ke?"

            Izara hendak menjawab pertanyaan Nael, tetapi alih-alih dia diam. Senyuman herot muncul di bibirnya dan dia menoleh ke Sephia dan Janice.

            "Ladies, this is our ride." Katanya.

            Janice menggigit bibir, teruja dan cepat-cepat berlari ke tempat duduk penumpang bahagian belakang sebelah kanan. Dia juga menggesa Sephia untuk masuk. Tanpa berfikir panjang, Sephia terus maju ke bahagian hadapan kereta tetapi tiba-tiba, ada tangan yang menyambar dulu pintu kereta tempat duduk penumpang bahagian hadapan. Izara mempersilakan dirinya untuk duduk di samping Nael dan tiada sesiapa yang mempersoalkan apa-apa.

            Terkebil-kebil, Sephia pun mengubah arah dan duduk di samping Janice; di belakang. Cepat-cepat dia mengusir pertanyaan mengapa Izara sesenangnya duduk di hadapan. Ah, lagi pula mereka sedang dalam buru-buru! Entah-entah, Izara pun tak perasan dia baru saja mengambil tempat Sephia.








MESKI sedang berada di dalam butik yang rata-ratanya mempamerkan gaun untuk perempuan, Nael juga membelek-belek gaun yang ada. Melihat dari kerutan di dahinya, sepertinya dia sedang menganalisis setiap rekaan. Yang tak mengenalinya pasti menyangka dia pelajar jurusan pereka fesyen. Mana taknya, serius semacam saja.

            Sephia mengerling ke arah Izara dan Janice yang berdiri jauh darinya dan Nael. Kedua-duanya bersilih ganti menyuakan gaun ke tubuh satu sama lain. Lalu pandangan Sephia tertala ke Nael. Tanpa dia sendiri sedari, jarak di antara bahu Nael dan tengkuknya tinggal beberapa inci saja.

OVERRATEDWhere stories live. Discover now