BAB 10

47 10 1
                                    

BEG yang digantung di penyangkut pada pintu kubikel tandas ketiga dicapai dan sandang ke bahu. Hujung jari baru saja menyentuh kunci pintu bila telinga menangkap namanya meniti di bibir seseorang, diikuti dengan derapan tapak kaki yang tak seirama. Sephia kaku di kubikel ketiga itu, memasang telinga.

"Korang rasa dia dengan Nael adik-beradik kandung ke?" Tanya satu suara yang tak dia kenali.

"Kenapa? Bukan ke Nael sendiri yang mengaku Sephia tu adik dia?"

"Sebab peliklah. First of all, Nael dengan dia sebaya. Second, rupa diorang sikit pun tak sama. Nael tinggi, rambut lurus lebat. Dia pula... tak adalah cantik mana. Biasa-biasa je." Jawab suara yang pertama tadi.

"So kau nak cakap yang rambut keriting Maggi dia tu buat dia nampak tak cantiklah?"

Kedengaran tawa meledak, bergaung di tandas yang terletak di aras tiga Fakulti Sains Alam Sekitar & Kelestarian. Tangan Sephia jatuh ke sisi. Dia tak mengeluh tetapi pandangannya kosong. Seharusnya, dia sudah lali mendengar kata-kata seperti itu. Dia membesar dengan kata-kata itu. Tak terhitung berapa kali dia dibandingkan dengan jejaka itu; dari bangku sekolah menengah sampai ke alam universiti. Tiada yang berubah.

"Maybe she should really fix that hair."

"And makeup. Okay, at least pakailah tinted lip balm. Ini langsung tak ada. Pucat dah macam mayat hidup je aku tengok."

"Biasalah tu. Some girls just want to be different." Kedengaran bunyi semburan dan wangian vanilla meresap ke partikel di udara. "Oopsie, I think we're going to be late. Jomlah."

"Tapi aku nak pergi toilet."

"Alah, nanti jelah! Dah lambat dah ni!"

Derapan tapak kaki berlalu pergi mengembalikan keheningan. Pintu kubikel nombor tiga dikuak dari dalam. Pantulan gadis berambut keriting menatap gadis yang berdiri di sebalik kubikel nombor tiga tadi. Mereka saling bertatapan lama. Ruangan kekal hening, tetapi kritikan di kepala bising sekali.

Rambut keriting Maggi, kening ulat bulu, misai lebat macam lelaki, muka pucat macam mayat hidup... dia sudah dengar segala-galanya. Mengapa dunia tak pernah adil buat seorang perempuan? Sentiasa ada saja penanda aras yang perlu dikejar. Rambut harus lebat dan berkilau, alis harus terukir cantik tetapi alami, philtrum yang dalam dan ronanya sekata, pipi merah muda seurna bunga sakura... terlalu banyak yang perlu diperbaiki.

"Sephia, Sephia, Sephia!"

Sephia tersentap dari lamunannya. Dia tertunduk, melihat ke tangan yang meraih lengannya. Perlahan-lahan, dia menoleh ke belakang. Di hadapan bangunan Fakulti Sains Alam Sekitar & Kelestarian ternyata ada sekumpulan gadis sedang menunggu kemunculannya tetapi mereka tak datang dengan tangan kosong; bekas makanan yang hangat, kotak berisi coklat yang dibalut 'emas' dan sampul surat ditulis tangan.

"Kalau berani, jomlah race!"

"Okay! Boleh!"

Suara garau kedua itu membuatkan Sephia menoleh ke arah tempat meletakkan kenderaan pacuan dua roda. Di sana, ada jejaka berjaket kulit coklat sedang menyarungkan sarung tangan kulitnya. Bergurau-senda dengan rakan dunia motornya.

"4X400m, ada berani?"

"Ini nak lumba lari pass baton ke macam mana?" Amar Nael tertawa.

"Memang nak ajak lumba lari pun." Rakannya menyengih malu mengerling Y15ZR yang diboncengnya. Manakan mungkin boleh mengalahkan motosikal berkuasa tinggi seperti yang milik Nael.

Sephia menghela nafas. Pandangannya kembali ditalakan ke tiga orang gadis yang sedang menantinya membalas sapaan mereka. Senyuman mereka... dapat dilihat palsunya dari jarak 400 meter. Hanya baik bila ada mahunya.

"Nak bagi kat Nael ke?" Tanya Sephia.

"Ha'ah! Boleh ke?"

Tanpa berkata apa, Sephia mengambil hadiah-hadiah yang mereka siapkan buat Nael. Tanpa berkata apa lagi, dia terus mengatur langkah ke tempat jejaka berjaket kulit coklat itu meletakkan motosikalnya.

"Amar Nael."

Nael menoleh dan bukk! Kotak coklat yang keras menghempuk dadanya. Mujur sempat dia menyambut sebelum Sephia melepas tangan. Alisnya bertaup. Menatap Sephia dengan mata terbeliak besar.

"Kau ingat aku ni courier peribadi kau ke?" Sephia mengetap gigi.

"Aii? Nama pun adik. Adik kenalah jadi courier peribadi abang!" Seloroh salah seorang daripada mereka dan disambut dengan tawa yang gemuruh; termasuklah Nael.

"Adik?" Sephia mengeluh sinis.

Tawa Nael mati. Tiada riak bergurau lagi di wajahnya. Sementara mereka yang lain masih terhibur, Nael mula menyedari ada sesuatu yang berbeza. Mungkin ada kaitannya dengan rahang Sephia yang menonjol kerana gigi diketap kuat, atau mungkin ada kaitannya dengan air mata yang bertakung di tubir mata, atau mungkin juga ada kaitannya dengan jari-jemari yang digenggam sekuat hati sehingga buku jari sirna warnanya.

"Look at you—and look at me." Tak sedetik pun dia mengalihkan tatapannya ke arah lain. "Masuk akal ke kau abang, aku adik, dari pertalian darah yang sama—masuk akal ke?" Tawa kelatnya pecah.

"Phia—"

Akhirnya, wajah dikalih ke arah lain. Nafas dihela dalam. Lalu tanpa sepatah kata lagi, dia terus berlalu pergi dari situ dan Nael kaku di tempatnya. Hanya melihat gadis itu mengatur langkah, semakin lama semakin mengecil menjadi titik sebelum akhirnya, hilang.

"Apa yang adik kau merepek tadi? Korang bukan adik-beradik kandung ke?"

Nael tak menjawab. Pertanyaan terakhir Sephia masih terngiang-ngiang di telinganya. Adakah jalan keluar daripada masalah yang dia cipta kali itu?

OVERRATEDWhere stories live. Discover now