BAB 27

40 9 2
                                    

BIBIR muncung sedepa. Kaki dipaksa berpijak di bumi yang nyata. Topi keledar kuning di kepala sengaja Izara lambat-lambatkan tanggal, dengan harapan Amar Nael hanya bergurau dengan menghantarnya pulang ke rumah dari kampus. Bila Nael kata mahu menjemputnya sesudah kelas, dia sangka Nael mahu membawanya bersiar-siar di petang hari. Tak perlu lama. Sejam, dua pun sudah memadai untuk menggembirakan hatinya. Alih-alih, angannya musnah. Nael menghantarnya terus ke rumah sesudah kuliah.

            "You busy ke malam ni?" Tanya Izara.

            Mendengar pertanyaan itu, Nael memutuskan untuk membuka visor topi keledarnya. Mendedahkan sepasang mata coklat gelap yang gugup. Dia tak pasti bagaimana untuk menjawab pertanyaan Izara. Dia tak sibuk... tapi berharap dia akan sibuk.

            "Nevermind." Izara menyerah kalah sebelum tahu jawapannya. "Terima kasih sebab hantar balik."

            "Sama-sama." Itu kali pertama Nael bersuara sejak Izara duduk di atas motornya.

            "I masuk dulu." Izara tertunduk sedikit.

            Topi keledar bertukar tangan tetapi Izara kekal di tempat untuk beberapa saat lebih lama. Masih berharap Nael sebenarnya bergurau saja dengan menghantarnya pulang sebelum jarum jam menuding ke nombor tujuh. Setelah kewarasan menamparnya kembali ke realiti, menyuruhnya agar jangan pernah berharap lebih, tumit pun dipalingkan daripada jejaka itu.

            Nael memerhatikan belakang gadis itu. Meski wajahnya tak kelihatan, bahasa tubuhnya jelas menunjukkan perasaannya; sedih, kecewa dan kesal. Nael menghela nafas panjang. Orang dungu saja yang tak dapat membaca fikiran Izara dan dia bukan seorang dungu. Dia tahu apa yang Izara mahu dia lafazkan tetapi lidah terasa berat dan mahu kekal melekap di lelangit mulut.

            Telefon yang diselit di dalam poket jaket kulitnya bergetar hebat. Lantas perhatiannya teralih ke telefon pintar itu. Pemberitahuan daripada sosial medianya masuk berduyun-duyun. Separuh pemberitahuan 'suka', separuh lagi komen yang ditinggalkan di bawah foto motosikalnya yang baru dia muatnaik petang tadi, sebelum menjemput Izara di kampus.

            Ibu jarinya meleret ruang pemberitahuan, sampailah ke pemberitahuan terawal hari itu, iaitu ucapan selamat pagi daripada Izara. Dalam puluhan pemberitahuan hari itu, tetap saja tiada nama gadis yang tak pernah meninggalkan fikirannya. Mendengus kasar, visor topi keledar diturunkan dan enjin motosikalnya mengaum hidup. Telefon disimpan semula ke dalam poket jaketnya dan dia menunggang pergi Yamaha GT50nya.









SUASANA dalam bangunan Wildlife Guardians, tempat kerja Amar Nusayr, jauh berbeza bila malam menjelma. Dua orang gadis yang bertugas di kaunter hadapan dalam ruang legar utama sedang bersiap-siap untuk pulang ke rumah di penghujung syif mereka. Sapaan mereka buat Nusayr juga tak bersemangat seperti pagi tadi. Fahamlah mengapa, sudah seharian duduk di tempat yang sama dan mengulangi sapaan yang sama, siapa saja yang tak lelah? Atas sebab itu, Sephia menghadiahkan senyuman manis buat mereka dan mereka sambung dengan senyuman ramah berserta anggukkan.

            Sephia berlari terkedek-kedek untuk menyamakan langkahnya dengan Nusayr kerana tadi perhatiannya terganggu sebentar. Tetapi tak lama begitu, langkah Nusayr sepertinya lebih kecil berbanding tadi. Sephia menjongket kening. Ah, mungkin itu cuma khayalannya saja! Nusayr boleh saja menunggunya di dalam lif nanti. Untuk apa Nusayr mengecilkan bukaan langkahnya? Untuk apa... Nusayr seromantis itu kepadanya?

            Di dalam lif, punat nombor '6' Nusayr tekan. Sephia yang berdiri di belakangnya membulatkan mata. Kafeteria terletak di Aras 3 tetapi Nusayr tidak membawanya ke situ. Lalu Nusayr mahu membawanya ke mana? Takkanlah... Nusayr mahu membawanya terus ke makmal untuk latihan amali eksperimen? Dia baru semester satu. Belum sehebat Nusayr lagi. Mana mungkin dia boleh melakukan eksperimen tanpa membuat kesalahan yang besar.

OVERRATEDHikayelerin yaşadığı yer. Şimdi keşfedin