BAB 8

76 12 2
                                    

OVERALL denim dipadankan dengan baju berlengan panjang bercorak garisan merah dan kuning berselang-seli tersarung di badan. Rambut keritingnya separuh ditutup dengan bucket hat berona sama dengan overall denim yang dia kenakan. Sebelah stokin berwarna merah, sebelah lagi kuning. Sudah jadi kebiasaan untuk memastikan setiap urna di tubuh harus ada pasangannya.

            Pesanan ringkas yang terpapar di skrin telefon dia renung lama. Tak lama kemudian, keluhan panjang dihembus. Seharusnya, Sephia dan Janice datang bersama ke pameran motosikal klasik yang dikendali Nael. Alih-alih, Janice membatalkan rancangan mereka di minit terakhir. Sephia pun sudah hampir sepuluh minit terpacak di hadapan bangunan galeri serba kelabu itu.

            Ikon kenalan dia tekan. Nama Nael dimasukkan ke dalam ruang carian. Nampaknya, malam itu, Nael hanya perlu menemani dia seorang sepanjang pameran. Tidaklah istimewa mana. Pameran-pameran sebelumnya pun sama seperti itu; hanya dia dan Nael berdua. Itupun sebab Nael yang rela hati mahu menjadi dosen buat Sephia.

            "Phia?"

            Sephia tak melatah. Hanya beberapa orang saja yang memanggilnya dengan nama panggilan itu. Salah seorang daripada mereka ialah Nael. Sephia pun menoleh dengan rasa tak berminat. Namun setelah melihat ke sampingnya, matanya malah membulat; menyedari jejaka yang mengenakan pelitup muka hitam itu bukanlah Amar Nael, jiran merangkap kawan sejak azalinya.

            Sephia mengerutkan dahi. Lama menatap sepasang mata yang sedang merenung hairan ke arahnya. Mata itu, bentuk dan warnanya ada iras empunya Nael tetapi postur dan figura badan mereka jauh berbeza. Walaupun Sephia berat hati mahu mengakui dengan lidah sendiri; badan Nael boleh dikatakan agak berotot. Macam mana tak perasan kalau rajin pakai jaket kulit yang sah-sah menunjukkan bentuk badannya? Tapi... jejaka di hadapannya itu lebih tinggi daripada Nael, badannya juga tak se-atletik Nael.

            "Siapa..."

            Jejaka itu tertawa kecil. Tangannya naik dan menarik pelitup mukanya ke bawah. Mata Sephia membulat dua kali ganda. Nafasnya tertahan. Patutlah mata iras empunya Nael; rupanya... abang kepada Nael. Amar Nusayr?!!!

            "Oh!" Kedua-dua tangan Sephia naik mencekup mulut sendiri.

            "Maaflah kalau buat awak terkejut." Nusayr menarik semula pelitup mukanya ke atas, menyembunyikan separuh wajahnya. "Ingatkan kalau saya pergi hari terakhir, takkan terserempak dengan orang-orang yang saya kenal. Awak pun fikir macam tu ke?"

            "Hah?" Sephia terkebil-kebil.

            "Awak datang hari terakhir sebab tak nak terserempak dengan kawan Nael yang lain?"

            "Oh!" Sephia meneguk liur dan perlahan-lahan, menyumbat semula telefonnya ke dalam beg. Berlagak seolah-olah dia tak pernah terfikir untuk membuat panggilan kepada Nael sendiri untuk menemaninya petang itu. "Ha'ah. Lebih kurang macam tulah." Sambungnya, menyengih.

            "Oh." Jejaka berpakaian serba hitam itu terangguk-angguk. "Sorry if I ruined your plan, tapi memandangkan kita pun dah bertegur sapa, nak tak kalau—"

            "NAK!"

            Nusayr hampir saja berundur selangkah ke belakang. Terkejut bila tenaga dan semangat Sephia meletus begitu. Membuatkan dia bingung seketika dengan mata langsung tak berkerdip. Tak mahu Sephia terasa, dia pun berdehem dan berdiri tegak semula dengan kedua tangan di dalam kocek celana. Kepala diangguk.

            "Shall we?"

            Sephia mengangguk laju. Di sebalik pelitup muka itu, ada senyuman yang mekar lebar buat pertama kalinya setelah sekian lama.








DI setiap sudut galeri, motosikal-motosikal yang memikat pandangan dipamerkan dengan penuh keanggunan. Ada aroma berbau lembut pelincir dan cat baru yang menggoda hidung, menghidupkan semula nostalgia dan sejarah di sebalik setiap enjin yang berkilauan. Kenderaan-kenderaan beroda itu kelihatan seperti artifak yang semakin berharga seiring zaman bertukar zaman.

            Suara-suara riuh rendah berbaur dengan penuh kagum terhadap keindahan seni motosikal yang terpampang di hadapan mata. Setiap detik, ada saja yang berhenti untuk mengamati dengan mata berbinar, fikiran menerawang ke dalam dunia yang penuh dengan cerita di sebalik setiap corak dan lekuk motosikal. Salah seorangnya, Sephia yang tak berganjak daripada sebuah motosikal yang disimpan di dalam sangkar kaca.

            Matanya jatuh ke nota kecil yang ditampal pada sangkar kaca itu. "2010 Harley-Davidson Electra Glide Ultra Classic" tertera pada nota itu bersama sejarah ringkasnya. Hujung bibir Sephia menjongket ke atas. Jadi itukah nama motosikal yang dia sering lihat di perkarangan rumah Nael beberapa bulan yang lalu?

Sementara menunggu semester pertama sarjana muda mereka bermula, Nael menghabiskan pagi, petang, dan malamnya menggilap motosikal itu. Tetapi baru hari itu Sephia mengetahui namanya. Tiba-tiba terfikir, mengapa dia tak pernah bertanya kepada Nael tentang nama-nama motosikal yang dia baiki di laman rumah? Walaupun sejujurnya dia tak berminat, bukankah pertanyaan seperti itu akan membuatkan Nael gembira?

"Jauh termenung." Tegur Nusayr yang berpatah balik setelah menyedari Sephia tidak lagi berjalan seiringan dengannya. "I'm guessing this is your favourite piece?" Soalnya, mengamati motosikal klasik dalam sangkar kaca itu.

Sephia menggeleng. "I don't have a favourite piece; but this one stayed the longest in front of your house. I think it's his favourite piece." Dia tersenyum kecil.

Nusayr mengangguk faham. Matanya tidak lagi tertala ke kenderaan dua roda itu, melainkan sedang mengamati wajah yang sedang merenung sangkar kaca itu; wajah gadis berambut keriting yang pandangannya kelihatan lembut dan penuh bangga.

"Awak dengan adik saya memang rapatkan?" Soalnya.

"Hah?" Sephia terkebil-kebil.

"Tapi saya selalu juga dengar korang berdua bergaduh kat depan rumah."

"Oh!" Sephia menyengih. "Alah, gaduh-gaduh manja je! Siblings have that kind of fight all the time, right?"

"Siblings?" Sebelah alis Nusayr menjongket. "Oh, awak nak cakap yang awak dah anggap Nael dan awak macam adik-beradik?"

Sephia menjongket bahu. Mungkin? Lagi pula dia dan Nael sudah mengenali satu sama lain sejak berusia 12 tahun lagi. Mereka bermain bersama, bergaduh bersama, belajar dan membesar bersama; sama seperti dua beradik.

"So does that make you... my little sister?"

Senyuman Sephia padam. Dia menatap lama wajah jejaka yang sedang tersenyum itu. Wujud satu perasaan yang tak dapat dia jelaskan; perasaan yang jatuh menghempap dasar hatinya. Perasaan yang dia tak inginkan.

"Hopefully, that's not the case." Sambung Nusayr, tertunduk bila bertutur.

"Hah?" Sephia bingung.

"It's getting late. I should probably go." Nusayr menukar topik perbualan mereka serta-merta.

"Oh." Lambat-lambat, Sephia mengangguk.

"By the way, pasal ni—"

"Saya janji saya takkan beritahu Nael apa-apa." Cantas Sephia, mengangkat tangan tanda ikrar. "Saya... tak tahu kenapa awak tak nak Nael tahu awak pergi setiap pameran dia, tapi... bukan tempat saya untuk bertanya. Saya janji saya akan tutup mulut—in exchange for buku-buku yang awak pinjamkan."

Nusayr tertawa kecil. "Saya ikhlas pinjamkan. Tapi terima kasih sebab faham."

Sephia mengangguk. Memaksa senyum untuk terbit di bibir.

Nusayr melihat sekelilingnya dan menghela nafas panjang. "Great exhibition like always, but I'm glad I have a company today. See you on the next exhibition... Sephia Jane."

Sephia kaku di tempatnya. Jejaka berpakaian serba hitam dengan wajah terlitup itu berlalu pergi dan tak menoleh semula ke belakang. Waktu terasa bergerak perlahan dan yang Sephia fikirkan hanyalah satu; namanya meniti di bibir jejaka itu dan itu cukup membuatkan detak jantung menggila.

*****

i know i cant be biased considering im the author tapi hmmmm ngl im team nusayr ASDFGHJKL

OVERRATEDWhere stories live. Discover now