BAB 7

47 13 0
                                    

DENGUSAN kasar tak pernah kedengaran daripada Sephia Jane bila disuruh menghantar lauk-pauk yang mamanya, Puan Michie, ke rumah jiran mereka. Malahan, semangatnya berkobar-kobar setiap kali disuruh. Sempat lagi bergegas naik ke bilik, meluangkan lima minitnya di hadapan cermin, menambah sedikit solekan ringan di muka. Pelembab bibir berwarna sudah beberapa kali menyelamatkan muka pucatnya.

            Belum sempat Puan Michie berkata apa, anak gadisnya itu lantas menyambar bekas berisi lauk yang ditutup sekembalinya dia ke dapur. Sekejap saja, gadis yang rambut keritingnya dibiarkan terurai ke bahu itu sudah meninggalkan rumah. Puan Michie menggeleng kepala; menyangka anak gadisnya teruja bertemu dengan sahabat dari kecilnya, Amar Nael. Andai saja dia tahu siapa sebenarnya yang membuatkan anak gadisnya seteruja itu; yang semestinya bukan Nael.

            "Assalamualaikum!" Ucap Sephia.

            Kalau bukan kerana kedua tangannya sedang memegang erat mangkuk tingkat itu, barangkali dia sudah menggaru kulit kepala di sebalik pintalan rambut keritingnya. Selalunya, akan ada Nael duduk di luar rumah. Membaiki atau 'memandikan' motosikal klasiknya tetapi petang itu, jangankan Nael, motosikal 'usang' itu saja tak kelihatan. Keluar ke mana agaknya?

            "Assalam—"

            Buku jari Sephia membeku di udara. Satu ketukan saja, pintu sudah terkuak. Sephia terkebil-kebil memandang tombol pintu. Rasanya tiada sesiapa yang membuka pintu dari dalam. Jangan-jangan, empunya rumah lupa mengunci pintu? Isy, bahaya betullah! Sephia menggeleng kepala.

            Dia berdehem dan memberi salam sekali lagi. Bila dia tiada yang menyahut, barulah dia menolak pintu lebih luas. Mempersilakan dirinya masuk ke dalam. Sebenarnya, Nael sendiri pernah memberitahunya di mana tempat rahsia kunci utama rumah, iaitu di bawah salah sebuah batu bundar yang palsu. Kata Nael, Sephia boleh masuk jika perlu. Cuma... setakat itu, dia belum pernah 'perlu' masuk ke dalam. Hari itu, kali pertama buatnya.

            Lampu chandelier malap membanjiri ruang legar rumah. Sephia membiarkan pintu utama rumah terbuka luas. Tak mahu ada sesiapa yang salah faham pula nanti. Dengan sekali lagi salam, dia mengatur langkah masuk lebih dalam. Mendedahkan ruang tamu dan kaunter dapur yang terletak berhampiran ruang tamu. Kebanyakan rumah moden memang dalamannya begitu. Ruang tamu dan dapur hanya dipisahkan dengan kaunter batu marmar setinggi paras perut saja.

            Sephia pun meletakkan mangkuk tingkat berisi lauk-pauk itu ke atas kaunter. Lalu cepat-cepat badan dipalingkan. Namun kaki tiba-tiba membatu. Lalu tanpa berfikir panjang, dia mempersilakan dirinya menjejak kaki ke dapur rumah yang kosong itu pula. Periuk nasi yang terletak berhampiran ketuhar dia lawat. Penutupnya dibuka. Sama seperti yang dia jangka, periuk itu kosong. Bahkan sebutir nasi pun tiada di dalamnya. Sephia mengeluh kecil.

            Kabinet dapur di bawah kaunter dia buka. Ada mesin yang diisi beras. Lalu dia membongkok, mengisi periuk yang kosong dengan beras. Pintu kabinet dapur ditutup semula dan dia beralih ke singki pula. Air dilalukan ke dalam periuk, membasuh beras. Proses yang sama diulang tiga, empat kali sampailah air beras berubah jernih dibandingkan basuhan pertama.

            "Datang sini sebab nak tolong tanak nasi ke?"

            Periuk di tangan hampir tergelincir menumpahkan isinya ke dalam singki. Mujurlah sebelah tangannya masih berpegang kuat. Sephia menoleh ke belakang. Bersandar pada pintu peti ais, ada seorang jejaka dengan buku bertajuk "Silent Spring" oleh Rachel Carson. Melihat daripada bagaimana jari runcingnya diselitkan di pertengahan buku, dia sudah membaca buku itu sejauh beberapa ratus mukasurat.

            "Sorry!" Sephia meneguk liur. "Saya—Saya nak hantar lauk je tapi pintu terbuka tadi."

            Jejaka dengan rambut menutup dahi itu pun menoleh ke arah kaunter. Baru menyedari ada mangkuk tingkat diletakkan di atas kaunter bersalut batu marmar itu. Keangkuhan di wajahnya padam begitu saja. Kepala diangguk tanda terima kasih bila bibir terasa sedikit berat untuk berucap. Lebih-lebih lagi dengan sakit kepala yang mencucuk-cucuk sisi dahinya.

OVERRATEDOnde as histórias ganham vida. Descobre agora