BAB 24

52 10 1
                                    

PAGI datang lagi dan Sephia Jane kembali ke wajah asalnya, seperti Cinderella yang kehabisan waktu untuk bersinar. Rambut keritingnya yang ditiup perlahan bayu pagi melalui tingkap dia tatap lama. Bibirnya yang pucat tanpa gincu merah pemberian Nusayr mengundang keluhannya. Kulit yang kusam, tompokan hitam di batang hidung, kelopak mata mono—tiada satu pun ciri wajahnya yang memungkinkan Nusayr untuk menoleh ke arahnya dan jatuh cinta seolah-olah itu kali pertama dia memandangnya.

            "Kalau semalam cantik macam bidadari pun dia tak layan, inikan muka baru bangun tidur macam ni. Dengan air liur basi melekat kat tepi bibir." Keluhnya seraya ibu jari naik mengesat air liur keringnya. "Phia... Phia..."

            Hampir saja dia terlupa, hari itu, dia terpaksa bersemuka dengan Nusayr lagi untuk sesi kelas tambahan. Dia hanya perlu ke kampus di petang hari untuk menghadiri kelas mandatorinya. Oleh kerana Nusayr sedikit lapang pagi itu, Nusayr pun mencadangkan mereka membuat kelas pagi itu saja. Katanya, nanti dia akan menjemput Sephia. Nampaknya... hari itu pun mereka akan ke kafe ala-ala Jepun milik Nusayr lagi.

            Tak berlengah lagi, Sephia berpaling dari cermin dan mencapai tualanya. Hampir sejam kemudian, dia akhirnya selesai mempersiapkan diri. T-shirt bercorak polka dot dipadankan dengan overall denim gelap. Stokin merah serona dengan corak bintik pada t-shirtnya dia sarung ke kaki kanan. Stokin kuning serona dengan latar belakang t-shirt pula dia sarung ke kaki kiri. Kasutnya pula serona dengan warna overallnya. Dari atas sampai bawah, semuanya berpasangan.

            Sephia mengatur langkah ke cermin tinggi di ceruk biliknya. Alih-alih, langkahnya terencat. Dia tertunduk, terkebil-kebil; dia tak mahu melihat penampilannya hari itu dan terus-menerus membandingkannya dengan penampilan semalam. Nanti dia juga yang patah hati. Sekali-sekala, apa salahnya berpura tak tahu saja?

            Sephia tersenyum kelat kepada diri sendiri. Buku dan beg di atas katil dia capai dan tanpa memeriksa pantulannya pada cermin buat kali terakhir sebelum pergi, dia mengucapkan selamat tinggal kepada orang tuanya yang sedang bersarapan pagi. Tak mahu berpergian begitu saja, Sephia sempat juga meneguk separuh gelas susu rendah lemak dan mencapai sekeping roti sebelum bergegas ke perkarangan rumah jirannya; Amar Nusayr.

            Tepat pada masanya, Nusayr juga baru saja meninggalkan rumah. Mereka saling berpandangan. Nusayr menguntum senyum sapaan selamat pagi tetapi Sephia malah menunduk. Mengunyah perlahan roti bakar dalam mulutnya. Akhirnya, Nusayr tersenyum sendirian.

            "Masuklah." Pelawa Nusayr setelah keretanya mengeluarkan bunyi perlahan, tanda kunci sudah dibuka.





SEPHIA JANE mengerutkan dahi. Rasanya, dia tahu jalan yang mereka selusuri menuju ke mana dan dia yakin, destinasi mereka bukan kafe ala Jepun yang sering mereka kunjungi untuk sesi kelas tambahan. Tapi... tak mungkinlah Nusayr mahu membawanya ke tempat yang ada dalam fikirannya saat itu. Walaupun Nusayr orang penting di situ, tak mungkin dia boleh sewenang-wenangnya membawa pelawat luar untuk masuk ke dalam.

            Setibanya di satu persimpangan, Nusayr memberi isyarat kepada kereta lain dan membelok ke kiri. Hanya beberapa ratus meter di hadapan, tempat yang bermain dalam fikiran Sephia menunjukkan dirinya. Berdiri di kawasan yang masih belum membangun sepenuhnya, masih dengan kehijauan yang tak jelak mata memandang. Kereta Nusayr memandu masuk bersama sapaan pengawal yang menjaga pagar.

            Kereta terus memandu, melepasi kawasan meletakkan kereta yang sedikit jauh daripada pintu masuk utama. Beberapa minit kemudian, kereta dihentikan di kotak putih yang dilabel dengan 'Wildlife Biologist', hanya beberapa puluh meter saja dari pintu masuk utama. Sephia melopong—tak sangka jawatan Nusayr sepenting itu sampaikan mereka menyediakan kotak meletakkan kenderaan peribadinya.

            "N-Nak ambil barang ke?" Tanya Sephia.

            "Nope." Jawab Nusayr lalu membuka dashboard kereta. Pas pelawat dikeluarkan lalu dihulur ke Sephia. "Kalau tak pakai, nanti tak boleh masuk." Katanya.

            Masih terpinga-pinga, Sephia cepat-cepat menyarungkan pas pelawat itu ke lehernya. Nusayr sudah meninggalkan perut kereta. Tak berlengah, Sephia pun bergegas keluar bersama buku dan begnya.

          Berbeza dengannya yang tangan penuh, kedua tangan Nusayr lapang. Bahkan pas pekerjanya juga tak kelihatan. Meskipun begitu, sebaik saja mereka melangkah masuk ke dalam ruang legar utama yang menempatkan kaunter informasi Wildlife Guardian, syarikat tempat Nusayr bekerja, kedua-dua gadis di kaunter informasi itu terus menyapanya ramah. Mereka juga menguntum senyum buat Sephia yang membuntuti Nusayr tanpa sebarang pertanyaan tentang hala tuju mereka.

          Semakin jauh mereka berjalan, semakin luas mulut Sephia melopong. Siapa sangka, bangunan yang kelihatan dingin dan suram dari luar itu, ternyata kelihatan ceria seperti tadika di dalamnya. Mural flora dan fauna kelihatan seluas mata memandang.

           Di ruang legar utama tadi, ada mural besar yang menggambarkan hutan tropika yang subur dengan pelbagai spesies haiwan dan tumbuhan yang dilindungi. Kaunter informasi tadi pula dikelilingi oleh tanaman hiasan yang segar dan alami. Di sekitar kaunter, ada rak-rak brosur dan maklumat mengenai projek-projek penyelamatan dan kegiatan pemuliharaan haiwan liar yang sedang dijalankan oleh syarikat gergasi itu.

           Tiba-tiba, Nusayr menghentikan langkah. Sephia pun sama. Punat lif jejaka itu tekan dan pintu lif terbuka luas. Rahang Sephia seakan-akan tinggal seinci saja sebelum menyentuh lantai. Bahkan di dalam kotak besi itu ada lukisan-lukisan mural tetapi menggambarkan kehidupan laut yang kaya dengan terumbu karang dan spesies ikan yang pelbagai.

           "C-Cerianya tempat ni." Komen Sephia setelah Nusayr menekan punat yang dilabel dengan nombor '3'.

           Nusayr tersenyum kecil kerana kalau hendak dibandingkan mural itu dengan apa yang menanti Sephia di Aras 3, rasanya... Sephia pasti terkejut beruk. Lif mengeluarkan suara, mengumumkan ketibaan mereka di Aras 3; kafeteria.

           Lif dibuka luas dan Sephia menekup mulut. Nusayr hampir saja tak dapat menahan tawanya. Mereka meninggalkan lif dan berjalan bahu ke bahu menuju ke kafeteria. Nusayr mencuri pandang gadis di sebelahnya sementara gadis itu, matanya melilar melihat hiasan sepanjang lorong menuju kafeteria.

            Sephia tak habis mengagumi replika-replika haiwan seperti gajah, harimau, dan burung helang di sepanjang lorong. Setibanya mereka di kafeteria, langkah Sephia terencat sepenuhnya. Matanya terbeliak, kakinya terpaku di tempat yang sama.

            "Selamat datang ke Kafeteria Wildlife Guardians." Pelawa Nusayr.

            Sephia meledakkan tawanya. "K-Kenapa awak bawa saya datang sini?"

            "Motivation to study." Nusayr menarik kerusi yang diperbuat daripada rotan. "Dan... sebab kopi kat sini sedap. Lagi-lagi waktu pagi. So please, have a sit Sephia Jane."

            Pipi Sephia bera. Terkebil-kebil menatap Nusayr dan kerusi yang ditarik buatnya bersilih ganti. Jangan-jangan... rancangan Izara dan Janice berjaya; akhirnya, Nusayr mahu memandangnya sebagai seorang wanita.

*****
sebab dah lama tak update, tadaaa 4 bab sekaligus

OVERRATEDWhere stories live. Discover now