BAB 4

103 19 1
                                    

JARI-JEMARI membuka butang baju kemeja yang tersarung di badan satu-persatu. Mata memerhatikan pantulan sendiri di cermin. Berbaki dua butang terakhir, perhatiannya terganggu. Pintu yang dibiarkan tak berkunci dikuak kasar dari luar, mendedahkan wajah pemuda bengis yang tak berpuas hati.

Menyedari itu hanya Nael, Nusayr kembali memandang pantulannya pada cermin dengan hujung bibir menjongket ke atas. Butang baju dibuka habis. Kemeja yang tersarung di tubuhnya ditanggalkan lagi dibaling masuk ke dalam bakul rotan yang kosong di sebelah pintu kamar mandi. Tak mengendahkan kehadiran Nael di situ.

"Apa motif kau sebenarnya?" Nael mengecilkan jarak di antara mereka.

"Aii? Kut ye pun tergesa-gesa nak tanya, bagilah konteks dulu." Balas Nusayr acuh tak acuh seraya melangkah masuk ke dalam walk-in closet miliknya, mencapai t-shirt putih polos tak berkolar.

"Apa motif kau pick-up Phia kat kampus? Siap minta izin dgn papa dia lagi."

Nusayr menyarungkan t-shirt putih ke tubuhnya. "Apa kaitannya dengan kau? Dia girlfriend kau ke?"

Soalan Nusayr membuatkan Nael terdiam sejenak. Seribu satu fikiran terlintas dalam kepala. Mendalamkan lagi senyuman Nusayr yang masih membelakangi adiknya itu.

"Dia kawan aku." Tutur Nael dengan gigi terkatup rapat. "Kau, dengan keluarga kau, should really learn not to take away what belongs to others."

Pintu di hempas kuat tetapi Nusayr sedikit pun tak melatah. Namun senyuman nakal yang bermain di bibirnya perlahan-lahan memudar. Kata-kata terakhir adiknya terngiang-ngiang di telinga.




CAHAYA rembulan malam yang lembut meresap masuk melalui langsir yang dihiasi dengan renda, menerangi kamar tidur yang malap. Sephia meniarap di atas selimutnya yang berwarna krim dan dengan bunga-bunga kecil. Tangannya mencatat sesuatu di dalam sebuah buku berwarna hijau pastel. Giat menulis informasi seseorang di dalam diari yang dia dedikasikan khas hanya untuk seseorang itu.

Puas hati dengan entrinya buat hari itu, dia bingkas bangun dari katil. Diari hijau pastel itu diletakkan ke atas meja riasnya. Di atas meja antik itu, ada sejambak bunga segar di dalam pasu kaca tinggi yang menghembuskan harum semerbak ke seluruh bilik. Cermin kaca berukuran besar dengan ukiran antik di sekelilingnya memantulkan bayangan gadis itu yang duduk di hadapannya, sambil tersenyum senyuman yang manis.

Alih-alih, matanya terpandang kardigan yang dia kenakan ketika dijemput pulang oleh Nusayr petang tadi. Tangan mencapai kardigan yang telah dilipat kemas itu. Wajah dibenamkan ke fabriknya yang lembut. Wangian kereta yang baunya seperti buah pic segar itu melebarkan senyumnya; telinga ke telinga, sampai ke mata. Cukup dengan melakukan itu saja, hatinya sudah berdegup kencang.

Ya, dia ada hati terhadap jejaka bernama Amar Nusayr itu sejak 7 tahun, 6 hari, 21 jam dan 2 minit yang lalu. Itu pun kalau hitungannya tak salah. Ah, tapi mana mungkin salah! Sephia tak pernah membiarkan walau sesaat pun berlalu tanpa perasaan suka itu merasuk segenap hatinya. Meskipun tak setiap hari dia dapat melihat Nusayr, dia tak pernah dan tak mungkin akan pernah mengabaikan perasaannya.

Hampir sewindu dia menanti untuk Nusayr memandang ke arahnya bukan atas alasan 'tak sengaja'. Bertahun-tahun dia berkata suka hanya bila Nusayr tak mendengar, akhirnya... hari-hari yang ditunggu telah tiba. Dia dan Nusayr... kini ada sesuatu di antara mereka. Kawan? Jiran? Atau... sekadar dua manusia yang meminati bidang yang sama? Apapun itu, dia gembira memegang apa saja peran dalam hidup Nusayr.

Nampaknya, keputusannya untuk menceburi bidang Environmental Science membuahkan hasil.




RAMBUT keriting yang diikat kuncir kuda berkembar melantun-lantun seiring dengan kaki yang meloncat riang menuruni anak tangga menuju ke dapur untuk mengisi perut yang berkeroncong seawal azan Subuh tadi. Mulutnya menyanyi kecil. Kepala digoyangkan ke kiri dan kanan dalam keriangan. Dia yakin, tiada apapun yang akan dapat merosakkan anginnya hari itu.

Bunyi lembut dari air yang mendidih dalam cerek menandakan bahawa sarapan sudah hampir siap. Bau harum kopi yang sedap berkemban di udara, membangkitkan selera dan semangat meskipun Sephia kurang gemar akan minum berkafein. Di sudut dapur, bunyi mesin pembakar roti berdering lembut, menghasilkan bau wangi roti yang baru dibakar.

"Selamat pagi ma—" Sephia hampir saja tergelincir bila menyedari manusia di dalam dapur bukanlah mamanya. "Kau buat apa kat sini?"

Amar Nael memindahkan dua keping roti bakar ke pingan di tangannya. Suis pembakar roti ditutup dan sekeping roti yang hangat digigit. Langsung tak terganggu oleh hangatnya yang membakar lidah. Malahan dia tersenyum telinga ke telinga melihat Sephia yang kelihatan bingung dengan dahi berkerut seribu.

"Eh, Phia dah bangun?" Puan Michie, seorang wanita berketurunan Baba dan Nyonya memunculkan diri dari dalam pantri bersama beberapa balang jem buah-buahan pelbagai perisa. "Nak roti bakar?"

"Apa budak ni buat kat sini?" Tanya Sephia, muncung sedepa. "Kau buat apa kat sini?" Ulangnya kepada Nael, lebih kasar berbanding nadanya yang tadi.

"Phia, be nice Sayang." Tegur Puan Michie dengan lembut. "Nael, nak makan roti bakar dengan jem ke?"

"Eh, tak apa, tak apa! Lagi suka makan roti kosong." Jawabnya dengan selamba, seolah-olah sedang berada di rumah sendiri.

"Tak malu betullah datang rumah orang pagi-pagi macam ni." Sephia meletakkan begnya ke atas kaunter dapur. "Mak kau tak masak ke?"

"Phia!" Puan Michie menjegilkan matanya.

Sephia meneguk liur. Tiba-tiba matanya melilar. Takut untuk memandang ke arah wanita yang rambutnya disanggul dan diselitkan pin rambut daripada batu jed itu. Dia terlepas pandang Nael yang kunyahannya semakin perlahan. Senyuman nakal di bibir berubah kelat sekelip mata. Wajah pula sedikit tertunduk, tak seriang tadi.

"Nael nak nasi goreng?" Tawar Puan Michie, memujuk jejaka yang baru berusia 21 tahun itu.

Perlahan-lahan, Sephia menalakan pandangannya ke arah Nael. Melihat jejaka itu menggeleng dan tak lagi menyentuh roti bakar di pinggannya membuatkan dia menggigit bibir. Nafas dihela perlahan, tak mahu Nael mendengarnya. Rasa bersalah mulalah menyerangnya bertubi-tubi.

"Kalau nak makan, datang jelah rumah ni." Sephia bersuara seraya membuka peti ais, membelakangi Nael. "Mama pun suka sangat masak banyak-banyak tapi bukannya boleh habis pun. Daripada membazir, baik bagi kau makan." Sambungnya, tak mahu rasa bersalahnya dilihat oleh Nael.

"Betul ni?" Nael menjongket sebelah kening.

"Datang je. Kalau Nael nak makan apa-apa, cakap je. Mama Michie masakkan." Puan Michie menepuk belakang Nael.

Senyuman lebar Nael kembali ke wajahnya. Sephia yang sedang membelek perisa jem yang ada sempat mencuri pandang ke jirannya yang terlebih peramah sampaikan sesuka hatinya memanggil Encik Sopian "Papa Pian" dan Puan Michie "Mama Michie" itu. Nael menggelar mereka dengan nama panggilan itu seawal usianya dan Sephia 12 tahun. Suami isteri itu pun langsung tak kisah Nael memanggil mereka dengan gelaran itu. Jadi, sampai ke dewasalah gelaran itu melekat.

Melihat Nael kembali tersenyum dan bergurau-senda dengan wanita bermata sepet dan bertubuh kurus keding itu, Sephia menghembus nafas lega. Nasib baiklah dia sempat menyelamatkan keadaan. Nael kalau merajuk, memang makan masa seribu tahun nak pujuk. Tup-tup, kena belikan spare parts motosikalnya pula nanti semata-mata nak pujuk.

*****

menepati janji utk publish 2 bab setiap minggu 🫡

OVERRATEDΌπου ζουν οι ιστορίες. Ανακάλυψε τώρα