Bab 1

201 12 0
                                    


Dua puluh tahun berlalu dan kisah serangan Puteri hanya menjadi secebis kisah dalam lipatan sejarah. Bandar Bintang yang hampir lumpuh selepas serangan itu telah membangun semula dengan pesat. Ia kini menjadi sebuah kota metropolitan yang menjadi tumpuan jutaan orang untuk pelbagai tujuan dan urusan daripada aktiviti ekonomi sehingga ke perlancongan. Infrastrukturnya dibangunkan dengan teknologi terkini. 

Pengangkutan awam berupa kapsul-kapsul yang menghubungkan daripada satu bangunan ke bangunan lain diperkasa dan menjadikan perjalanan dari satu tempat ke tempat yang lain menjadi lebih mudah.

Seperti bandar-bandar lain, rumah di Bandar Bintang dilengkapi dengan sistem pengurusan dengan kecerdasan buatan yang dikenali sebagai AIDA (Artificial Intelligent Domestic Aid). AIDA diprogram untuk mengawal selia semua perkakasan berupa robot kecil pembantu rumah dan juga menjaga keselamatan penghuninya. 

Demi kemudahan, ia diprogram supaya dapat mengecam suara pengguna dan menerima arahan suara sebelum diproses ke pangkalan datanya. Sesetengah versi yang terkini, turut dilengkapi sistem keselamatan yang mampu mengeluarkan renjatan elektrik ringan terhadap sesiapa yang disyaki sebagai penceroboh. AIDA biasanya diubahsuai mengikut citarasa pengguna dan diberikan nama unik sebagai pengenalan.

"Nina, saya mahu kamu turunkan sedikit suhu di bilik bacaan saya kepada 18˚ darjah," ujar Dato' Sofea sambil memperbetul-betulkan letak kaki. Sebuah buku motivasi pengurusan dibelek-belek kasar, sebelum diletakkan di meja kopi di sisi. 

Muzik Mozart Symphony 41 K 551 – Andate Cantabile yang dimainkan sebagai latar, tidak dapat mengurangkan kegelisahan yang terpancar di wajah wanita itu. Terdapat pelbagai jenis buku tersusun rapi di rak berhampiran dengan wanita itu, namun tiada satu pun yang berjaya menarik perhatian. Dato' Sofea mencebik apabila terpandang ke arah foto ahli keluarga yang tergantung di dinding. Arah Dato' Sofea lagi, "Nina, saya mahukan aroma lavender."

"Baik, Dato' Sofea."Serta-merta aroma lavender tersebar di seluruh bilik. Lavender itu bersifat menenangkan, namun Dato' Sofea masih jauh daripada perasaan itu.

"Nina, sudah berapa hari Lazim pergi dengan Sonia dan Salim?" Dato' Sofea gelisah di kerusi menanti jawapan Nina.

AIDA yang bernama Nina itu tidak menunggu lama untuk menjawab, "Dua minggu, Dato' Sofea."

Bingkai foto yang terletak berhampiran diambil, lalu direnung dalam-dalam. "Ah, biarkan mereka pergi. Kelak, mereka pasti akan sedar juga, apa yang mereka lakukan hari ini adalah salah. Ketika itu, mereka akan kembali melutut dan menyembah kepadaku." Nina yang hanya akan memberi tindakbalas apabila namanya disebut, mendiamkan diri seribu bahasa.

Wanita berusia lingkungan awal 40-an itu bangun menghadap cermin kaca yang terletak bersebelahan rak buku. Cermin itu berhias indah dengan ukiran kayu bermotif bunga. Dia tersenyum memandang pantulan wajah. "Barangkali Lazim terlupa dengan siapa dia berhadapan? Ini adalah Dato' Sofea, Pengarah Pusat Sekuriti Negara! Tiada siapa yang berani membangkang dan menaikkan suara kepada Dato' Sofea!" Dato' Sofea berdiri tegak, mendabik dada.  

"Lelaki itu kata, wanita ini terlalu angkuh!" Ujarnya kepada pantulan imej di cermin. "Wanita ini tidak sesuai untuk menjadi isteri dan ibu kepada anak-anaknya. Hah, dia sangka dia akan menang di mahkamah? Selama ini, siapakah yang menanggung semua keperluan? Rumah besar? Kenderaan yang hebat? Pakaian terbaik? Semuanya daripada titik peluh wanita ini juga! Akhirnya, anak-anak akan kembali kepada wanita bernama Dato' Sofea!" Wanita itu tertawa besar. 

Foto sang suami yang sedang memeluk ceria kedua-dua anak mereka itu hanya dipandang sinis. "Mereka akan kembali jua!" Suara Dato' Sofea kedengaran angkuh, namun terdapat nada sayu pada hujung kata-kata itu.

Virus L-2Where stories live. Discover now