Episod 2: HANTU BONCENG

1.5K 202 33
                                    

Seperti episod-episod sebelumnya, episod di bawah ini juga based on my real experience. Paranormal experience!
Teruskan membaca:

Peristiwa ini berlaku masa aku masih di sekolah menengah dan tinggal di Seberang Perai, Pulau Pinang. Ketika itu keluarga kami semakin berkembang. Aku sudah mempunyai 5 orang adik, 3 perempuan dan 2 lelaki.

Suatu hari ketika hampir maghrib aku ke kedai yang terletak lebih kurang 1 kilometer dari kampung kami. Sebenarnya malas nak keluar rumah dekat-dekat maghribo macam tu. Tapi kerana pen untuk ke sekolah esok sudah kering dakwatnya dan baru tadi teringat pen sudah kering, terpaksalah juga ke kedai untuk beli pen.

Ku capai basikal dan terus memecut ke kedai.

Untuk ke kedai, kami penduduk kampung terpaksa melalui satu kawasan sawah yang agak luas. Begitulah aku pada hari itu terpaksa juga melalui kawasan sawah yang luas itu untuk ke kedai. Kerana ketika itu sudah hampir waktu maghrib, boleh dikatakan tiada kenderaan di jalanan yang ditemui.

Tiba-tiba ketika tiba betul-betul di tengah sawah, aku terlihat seorang kanak-kanak yang kelibatnya memang sangat ku kenali sedang berjalan di atas jalan.

"Oh, Abang Cik, buat apa di tengah bendang ni?," tegurku apabila melihat kanak-kanak itu ialah adik lelakiku yang kami panggil "Abang Cik". Abang Cik ketika itu berseluar cerah dan tak berbaju.

Tapi Abang Cik diam saja, tak menjawab apa-apa soalanku. Mungkin dia letih kot, maklumlah berjalan jauh merentasi kawasan sawah yang luas itu.

"Mai la naik basikal ni, kita ke pekan temankan abang," ajakku. Aku memberhentikan basikal dan Abang Cik terus memboncengku di belakang.

"Beratnya hang hari ni Abang Cik, hang makan apa?" tegurku kerana merasakan berat badan adikku itu agak berat dari biasa jika dia memboncengku.

Tapi Abang Cik tak bersuara, seperti sedang dilamun perasaan sendiri. Hairan juga, sebelum ini Abang Chik bukan budak pendiam sangat pun. Tapi tak apalah, dia keletihan kot, bisik hatiku.

Bila saja tiba di depan kedai hari telah beransur gelap. Sebaik saja aku memberhentikan basikal, aku terkejut besar kerana Abang Cik yang membonceng di sepanjang perjalanan tadi tidak ada di atas basikal. Aiit budak ni, kataku dalam hati, masa mana pula dia terjun dari basikal?

Selepas membeli pen dan sedikit gula-gula untuk adik-adik, aku terus balik ke rumah. Bila memasuki rumah, ternampak Abang Cik dekat dapur sedang minum air. Bajunya nampak basah kesan peluh.

"Haai... hang ni Abang Cik, tadi ikut abang ke kedai, lepas tu bila sampai di kedai hang hilang pula. Masa mana hang terjun dari basikal, buat orang terkejut saja?," tanyaku.

"Apaa..ikut abang naik basikal? Tak lah!! Mana ada ikut abang naik basikal. Tadi orang pi main bola laa...ni baru sampai ke rumah ni, pakaian pun belum salin. Mana pula orang ikut abang?" kata Abang Cik penuh hairan.

Abang Cik memang adik baik, dia tak pernah berbohong. Kalau buat salah pun dia akan mengaku kesalahannya. Tak mungkin dia berbohong denganku.

Ku amati wajah Abang Cik. Ketika itu dia pakai baju cerah dan berseluar gelap. Bajunya banyak kesan peluh, maklumlah baru lepas main bola. Seluar juga basah dan kotor, ada bekas rumput, mungkin Abang Cik jatuh masa main bola tadi kot.

Berbeza sekali pakaian Abang Cik dengan budak yang membonceng basikalku tadi. Budak yang membonceng basikalku tadi tak berbaju dan memakai seluar cerah, warna seperti putih bersih.

"Jadi sapa yang ikut abang naik basikal tadi?" tanyaku.

Abang Cik cuma ketawa, "Hantu kot yang ikut. Hari tu ayah Mat Hassan pun pernah jumpa ada budak dok main dalam bendang lepas maghrib" katanya.

Patutlah pembonceng basikalku itu diam saja sepanjang jalan. Agaknya dia makhluk tak bermulut kot?

Sampai sekarang aku masih tertanya-tanya: siapa makhluk yang mengikut aku ke kedai itu?

I ❤️ MY READERS
VOTE JIKA SUKA 😃
ABAIKAN JIKA BENCI 😭

Episod seterusnya:
HANTU TANGLONG -------->

Jangan Buka HijabkuWhere stories live. Discover now