Episod 3: HANTU TANGLONG

1.2K 167 31
                                    

Seperti episod-episod sebelumnya, episod di bawah ini juga based on my real experience. Paranormal experience!
Teruskan membaca:

Seperti yang aku ceritakan sebelum ini, kampung tempat aku tinggal masa kecil di Seberang Perai itu terletak di tepi kawasan bendang yang agak luas. Berpuluh kilometer jugalah keluasan bendangnya. Dulu masa kecil, di belakang bendang ada satu kawasan berbukit dan hutan. Sekarang ini bendang, bukit dan hutan itu sudah gondol menjadi kawasan perumahan.

Jika ada hujan pada waktu petang, satu fenomena biasa yang kerap berlaku pada waktu malam ialah kemunculan satu makhluk bernama tanglong. Ada yang panggil makhluk itu hantu tanglong, ada yang panggilnya hantu tengalong. Ada pula yang panggilnya penanggal.

Kononnya mengikut cerita orang tua-tua tanglong berasal dari wanita yang menuntut ilmu hitam untuk kecantikan diri. Pada waktu malam wanita itu akan menanggalkan kepala bersama perut untuk terbang. Bahagian pinggang hingga ke perut tanglong itu pula ditinggalkan di rumah. Dengan urat perut yang berjuntaian, wanita itu akan berterbangan sebagai hantu tanglong. Kerana kebolehan wanita itu menanggalkan separuh jasadnya untuk terbang, maka hantu tanglong juga dipanggil hantu penanggal.

Itu cerita orang tua-tua tentang asal usul hantu tanglong. Entah betul entah tidak tak taulah aku. Yang pastinya hantu tanglong memang wujud. Aku sendiri bukan sekali tapi berpuluh kali pernah melihatnya semasa kecil-kecil dulu.

Mengapa hantu tanglong kerap dijumpai pada waktu malam lepas hujan? Lepas hujan banyak katak muncul di bendang kerana biasanya katak-katak akan keluar untuk mengawan pada waktu itu. Hantu tanglong pula suka makan katak. Maka bila sebelah petang hujan turun, pada sebelah malamnya banyaklah tanglong akan berterbangan untuk memburu katak yang menjadi makanan utamanya.

Mudah sangat mengenali makhluk bernama tanglong itu yang bergerak secara solo dengan satu cahaya besar di kawasan bendang pada waktu malam. Mula-mula tanglong berada di paras tinggi melebihi paras pokok kelapa. Kemudian tanglong akan turun ke bawah untuk mendapatkan katak. Lepas beberapa ketika berada di dasar bendang memakan katak, makhluk bercahaya besar itu akan bergerak naik ke angkasa, menyelinap ke arah bukit dan kemudian hilang di celah kegelapan malam.

Bila makhluk itu muncul, kami adik beradik akan ramai-ramai keluar rumah untuk melihatnya. Walaupun kerap sangat muncul setiap kali waktu malam di musim hujan, tapi kami rasa macam tak jemu untuk melihatnya. Macam hantu itu satu terapi hiburan pula!

Malangnya pada zaman itu kami tidak ada kamera untuk merakam fenomena menarik itu sebab harga kamera sangat mahal hingga tak termampu kami rakyat marhaen memilikinya. Henset berkamera pun belum wujud di Malaysia pada tahun 1980an dan 1990an. Kalau tidak bolehlah agaknya ambil gambar dan kalau berani bolehlah juga berselfie dengan hantu yang kerap muncul lepas hujan itu!

Tapi hantu tanglong yang kami kerap nampak itu selalunya muncul dalam jarak yang agak jauh dari rumah. Walaupun rumah di tepi bendang tapi tanglong lebih suka berada di tengah bendang, kira-kira 300 meter dari rumah kerana mungkin katak banyak di tengah bendang. Jadi tidaklah dapat kami melihat wajah sebenar hantu itu sejelas-jelasnya. Apa yang kelihatan cuma satu bebola cahaya besar berterbangan, turun ke bawah seketika kononnya untuk mencari katak, kemudian terbang semula ke angkasa dan menghilangkan diri di celah bukit.

Cuma ada satu peristiwa aku berada paling hampir dengan hantu tanglong dalam jarak tak sampai 10 meter. Ia terjadi masa aku di sekolah menengah.

Ketika itu aku pergi mandi di sebuah telaga di hujung kampung kami lepas waktu maghrib. Telaga itu terletak di hujung kampung berdekatan bendang. Telaga berkenaan sebenarnya jarang-jarang digunakan, kecuali waktu-waktu kecemasan saja digunakan. Aku suka air telaga itu kerana airnya begitu sejuk dan nyaman.

Malam itu cuaca di luar begitu membahang. Di rumah pula adik sedang mandi di bilik air. Dan kerana cuaca terlalu panas aku memilih untuk mandi di telaga yang airnya sangat dingin itu.

Ketika sedang asyik menjirus air ke tubuh, aku terperasan seperti ada lampu besar di tepi jalan bergerak mendekatiku. Kerana telaga itu letaknya di tepi jalan masuk ke kampung kami, aku ingatkan ia lampu kereta yang memasuki kampung kami.

Aku biarkan saja lampu 'kereta' itu menyuluhku. Tapi kerana lampu 'kereta' itu semakin membesar dan nampak agak pelik pula cahayanya, aku berpaling ke belakang untuk melihat.

Tiba-tiba Ya Allah...terlihat satu cahaya seperti gumpalan bebola api sebesar 3 hingga 4 meter yang sangat terang berada di sebelahku. Jarak bebola api itu sangat dekat, lebih kurang 5-6 meter saja dari aku.

Aku sangat terkejut dan lari lintang pukang balik ke rumah. Mujur juga bebola api itu tidak pula mengejarku.

Walaupun berada dalam jarak yang agak dekat, tapi aku sendiri sejujurnya tak tahu bagaimana rupa sebenar tanglong. Apa yang aku nampak ketika itu cuma cahaya api terang yang sangat besar, itu saja. Tak nampak pula imej berkepala dan isi perut berjuntaian seperti yang selalu orang gambarkan tentang tanglong.

Menyesal juga mengapa tiada keberanian aku ketika itu untuk melihat tepat ke arahnya supaya dapatlah aku ceritakan kepada orang lain bentuk sebenar rupa hantu tanglong yang kisahnya popular hingga ke Thailand, Indonesia dan Eropah itu.

I ❤️ MY READERS
VOTE JIKA SUKA 😃
ABAIKAN JIKA BENCI 😭

Episod seterunya:
JALAN YANG HILANG -------->

Jangan Buka HijabkuWhere stories live. Discover now