Episod 4: JALAN YANG HILANG

933 146 14
                                    

Seperti episod-episod sebelumnya, episod di bawah ini juga based on my real experience. Paranormal experience!
Teruskan membaca:

Suatu petang setengah jam sebelum maghrib, emak minta aku ke kedai yang letaknya satu kilometer dari rumah. Itu kedai terdekat dengan rumah zaman aku sekolah menengah dulu.

Hendak ke kedai kena melalui jalan kampung berliku yang dipayungi pohon rimbun dan sawah luas yang menyimpan seribu kisah misteri.

"Pi kedai lepas maghrib tak boleh ka mak?" cadang aku.

"Mak nak masak gulai ni, garam dah habis. Kena pi kedai la juga," kata ibu mengarah macam komander tentera. "Lagi pun kan ada setengah jam lagi, 10 minit pi, 10 minit balik, ada lagi 10 minit kat rumah sebelum maghrib"

Tanpa berlengah, aku capai basikal Raleigh made in England dan bagai Azizul Hasni aku terus memecut laju ke kedai. Sampai saja dekat jalan raya, nampak kereta bersusun atas jalan. Jem la pula! Pada hal pekan kecil kami jarang sangat jem.

Aku kayuh basikal di celah kereta yang beratur panjang. Tiba-tiba ternampak sekujur tubuh budak kecil atas jalan yang seperti separuh sedar. Tak jauh dari situ kelihatan sebuah motor bersama penunggangnya yang juga terbaring atas jalan. Terdengar juga suara esak wanita, mungkin ibu budak itu.

Ahh..kemalangan, patut la jalan jem!

Lama juga aku di kawasan kemalangan itu. Hanya jadi pemerhati sambil melihat drama orang ramai yang berpusu melihat apa yang terjadi.

Bila azan maghrib berkumandang di masjid barulah aku sedar rupanya sudah setengah jam aku terpacak di situ.

Cepat-cepat aku capai basikal ke kedai. Selepas membayar harga garam, ku pecut basikal untuk pulang ke rumah.

Ketika menghampiri rumah Tok Mid malam sudah kian gelap. Tiba-tiba aku ternampak dua ekor anjing dengan gaya agresif sedang menyalak atas jalan. Kalau aku ke depan pasti aku akan diserang mereka. Silap-silap kaki aku jadi lauk anjing-anjing itu malam ini.

Bagi mengelak bertembung dengan anjing-anjing itu, aku bawa basikal melalui jalan pintas di depan rumah Tok Mid.

Dari depan rumah Tok Mid aku memasuki semula jalan kecil untuk balik ke rumahku.

Tapi tak lama lepas itu aku dapati aku masih berada di tempat yang sama, aku masih di depan rumah Tok Mid!

Aku kayuh basikal ke depan lagi, keluar dari halaman rumah Tok Mid untuk balik ke rumah. Tapi anehnya tidak lama kemudian aku dapati aku masih berada di depan rumah Tok Mid juga!!

Apa dah jadi ni..lagi-lagi di depan rumah Tok Mid! Permainan gila apa ni?

Rasa macam sudah berpuluh kali aku cuba keluar dari halaman rumah Tok Mid untuk ke jalan kampung tapi aku masih di tempat yang sama. Letih dan penat asyik tawaf di keliling rumah Tok Mid tak usah cerita.

Ketika itu dunia seperti terhenti, biar berpusing berpuluh kali untuk keluar, aku masih di situ..di depan rumah Tok Mid.

Bila aku amati jalan di depan, tiba-tiba aku dapati cuma kegelapan di depan, gelap segelap-gelapnya.

Mana jalan di depan menghilang? Macam mana aku nak sampai ke rumah kalau jalan pun sudah hilang?

Aku sudah menggelabah. Peluh mula keluar mencurah. Jantung berdegup kuat. Ibu sedang menanti di rumah, menanti garam yang tak kunjung tiba. Kesian ibu, silap-silap kena marah dengan ayah yang sangat perongos itu.

Macam bermimpi pula, tiba- tiba jalan pun boleh hilang. Ia langsung tak kelakar!

Tiba-tiba terdengar pintu rumah terbuka. Bila aku toleh ke rumah Tok Mid, ternampak kelibat seorang lelaki berkain pelikat berbaju nipis cap pagoda sedang menuruni tangga rumah. Tok Mid rupanya!

"Hang mai mana Jeff malam-malam ni? Hang nak cari Keri ka?" tegur Tok Mid.

Keri ialah anak ketiga Tok Mid. Dia antara kawan baik aku.

"Saya baru balik pi beli barang di kedai laa Tok Mid. Tadi kena ligan anjing, saya masuk la jalan depan rumah Tok Mid ni. Tapi bila nak balik ke rumah jalan nak balik pula dah hilang. Tak nampak jalan nak balik, macam mana nak balik!" kataku sambil menunjuk ke arah jalan di depan yang cuma kelihatan hitam dan kelam.

"Hang ni merapu la Jeff. Ada pula jalan pun boleh hilang?" kata Tok Mid sambil tangannya menepuk bahuku, "Cuba hang tengok betoi-betoi di depan, tu bukan jalan ka?"

Bila mataku pandang ke depan, tiba-tiba jalan balik ke rumah yang tadi hilang sudah nampak semula.

Aku cepat-cepat balik ke rumah. Dalam hati dah agak mesti kena marah dengan ibu, garam yang dipesan terlewat sampai lebih sejam!

Setiba di rumah aroma kari masakan ibu semerbak menggoda hidung.

"Mak..ni garam" kataku sambil menghulur garam kepada ibu.

"Mak dah siap masak dah pun" kata ibu tersenyum. "Tunggu hang balik rumah lambat sangat, nasib baik cari punya cari, jumpa garam lama bawah pinggan tu. Yang hang lambat sangat balik hang pi mana? Hang pi buat garam ka?" sindir ibu.

Aku cerita kepada ibu apa yang terjadi. Ibu cuma tersenyum mendengar ceritaku. Walaupun berkali-kali bertanya ibu mengapa tiba-tiba jalan boleh hilang dari pandanganku tapi ibu cuma tersenyum dan menyuruh aku cepat-cepat solat kerana waktu maghrib sudah hampir habis.

Esoknya bila aku bertanya lagi kepada ibu barulah ibu bercerita. Kata ibu ramai orang kampung termasuk Tok Mid yang ada 'ilmu pemagar rumah'. Ada ritual tertentu yang perlu dipatuhi untuk memagar rumah dari diceroboh orang luar. Bagi rumah yang sudah 'dipagar', jika ada penceroboh yang cuba masuk, orang itu tak akan dapat keluar lagi hingga tuan rumah datang untuk memulihkannya.

Patutlah lepas bahuku ditepuk Tok Mid baru aku nampak semula jalan yang hilang. Rupanya itulah cara tuan rumah memulihkan penglihatan 'si-penceroboh' seperti aku..

I ❤️ MY READERS
VOTE JIKA SUKA 😃
ABAIKAN JIKA BENCI 😭

Episod seterusnya:
SPIRIT OF THE COIN 1 -------->

Jangan Buka HijabkuWhere stories live. Discover now