EPISOD 7: PUAKA JAM 3.00 PAGI

743 124 21
                                    

Seperti episod-episod sebelumnya, episod di bawah ini juga based on my real experience. Paranormal experience!
Teruskan membaca:

Selepas beberapa bulan keputusan STPM diumumkan, suatu hari yang mendebarkan, UPU mengumumkan keputusan permohonan kemasukan pelajar ke IPTA. UPU mengumumkan aku berjaya melanjutkan pengajian di IPTA. Dan yang paling menggembirakan aku berjaya masuk ke universiti pilihan pertamaku: UM!

Bukan main seronok ayah aku anak sulungnya ditawarkan ke UM, universiti ranking nombor 1 Malaysia. Kerana terlalu seronok, ayah yang pendapatannya tak seberapa itu sanggup bersusah payah membeli segala-gala yang baru untukku: pakaian baru, beg baru, peralatan bilik air baru dan sebagainya yang semuanya baru walaupun aku memberitahunya cukuplah aku membawa apa saja yang ada di rumah untukku memulakan pengajian di UM nanti. Tak payahlah dibeli segala-gala yang baru untukku.

Maka pada suatu hari yang menyedihkan berangkatlah aku dari kampungku di Pulau Pinang ke KL. Aku pergi ke KL bersama seorang rakan sekampung yang telah dua tahun menuntut di UKM.

Selepas mendaftar diri di Dewan Tunku Chancellor, (DTC), aku diarahkan pergi ke kolej kediaman untuk pendaftaran masuk asrama pula. UM menawarkan aku kediaman di Kolej Kelima yang nama rasminya sekarang ialah Kolej Kediaman Dayasari.

Aku diberi bilik di tingkat bawah, bilik corner lot di hujung bangunan tidak jauh dari kantin kolej. Satu bilik strategik, cuma perlu buka pintu bilik, berjalan tidak berapa langkah, akan sampailah ke kantin. Cuma satu saja yang tidak seronok tentang bilik itu, ia agak bising kerana dekat dengan kantin.

Di belakang blok asrama aku tinggal itu ada sebuah bukit kecil. Nama pun bukit kecil, ia tidaklah tinggi mana sangat. Bagi budak kampung seperti aku yang sudah biasa mengharung sawah dan masuk hutan, bukit yang tak setinggi mana itu tidak menjadi masalah besar untukku mendaki. Kalau bas universiti lambat sampai, kadang-kadang kami grup budak-budak kampung yang tahan lasak ini akan memanjat bukit itu sebagai jalan pintas dan turun menembusi jalan betul-betul di depan DTC. Biar penat asal sampai cepat ke dewan kuliah.

Aku tidak pasti sekarang bukit itu masih wujud atau tidak. Atau ia sudah gondol ditarah rakus sang kapitalis atas nama pembangunan?

Kehidupan hari pertama di UM dimulai dengan majlis suaikenal selama seminggu. Perjalanan jauh dari Pulau Pinang pada waktu malam, sampai di KL waktu pagi, mendaftar diri dan kemudian dipaksa mengikuti pelbagai acara sempena minggu suaikenal sangat memenatkan. Acara suaikenal waktu malam dipenuhi pelbagai taklimat dan ceramah yang amat-amat memboringkan. Ramai pelajar termasuk aku yang banyak kali terlelap dan terbangun beberapa kali semasa mendengar taklimat dan ceramah.

Lepas saja majlis suaikenal malam itu selesai, aku bergegas balik ke bilik. Mata sudah tak tahan untuk berehat...

Malam itu aku hanya berseorangan di bilik yang sepatutnya berkongsi dua orang. Rakan sebilik hanya akan mendaftarkan diri esok kerana ada kematian saudara terdekat.

Ketika sampai ke bilik jam sudah pun menunjukkan angka hampir pukul 1.00 pagi. Pagi esok pukul 5.00 pagi dah kena bangun untuk solat dan kuliah subuh yang diwajibkan kepada semua pelajar Islam. Dah la badan letih, ada 3-4 jam saja untuk tidur, adooiiii...

Ketika hampir jam 3.00 pagi, tidurku yang singkat tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi ketukan lemah di pintu bilik. Kerana terlalu mengantuk aku abaikan bunyi ketukan itu. Mungkin pak warden nak buat inspection kot. Tapi pedulikan pak warden ke mak warden ke..mata yang terlalu mengantuk menghalangku untuk bangun dari katil.

Bila bunyi ketukan semakin kasar dan seperti ada suara mendehem, aku terlalu yakin ia adalah manusia yang mungkin warden. Atau mungkin juga rakan sebilikku yang baru tiba di pagi buta?

Bila aku membuka pintu bilik tidak kelihatan sesiapa. Yang ada cuma seperti satu gerakan objek yang terlalu pantas berlalu dari pintu bilik ke penjuru dinding bilik corner lot yang aku diami.

Gerakan objek itu terlalu pantas hingga aku sendiri tak pasti apa sebenarnya benda yang bergerak sekencang itu. Mungkin kertas akhbar ditiup angin, mungkin tin coke ditiup angin, kata hatiku bersangka baik.

Tapi yang mengetuk pintu tu tadi sapa pula? Tak mungkin ia igauanku, kerana walau mengantuk aku dapat mendengar bunyi ketukan yang sangat jelas. Adakah ia kerja AJK minggu suikenal atau senior yang cuba menakut-nakutkan kami pelajar baru? Rakan sekampung aku di UKM yang dua tahun lebih tua dari aku pernah bercerita dia pernah ditakut-takutkan oleh senior yang berpakaian hantu ketika melalui minggu suaikenal di UKM dulu. Mungkin sandiwara bodoh yang sama sedang dipentaskan di sini?

Ketika aku nak menyambung tidur, terdengar bunyi seperti dinding belakang bilik aku dicakar-cakar. Bukan sekali tapi banyak kali. Tadi kacau di depan sekarang kacau di belakang pula? Mainan apakah ini wahai abang senior? Atau kucing pak cik kantin sedang mengasah kuku?

Kurang ajar betulll..maki aku dalam hati, orang dah laa baru terlelap, depa mai nak buat kacau pula! Kerja AJK atau kerja senior atau kerja kucing ni?

Aku bingkas bangun tanpa teringat untuk membuka lampu bilik. Aku selak sedikit tirai tingkap untuk melihat siapa yang sebenarnya di luar.

Dalam samar limpahan cahaya lampu jalan kelihatan suatu lembaga berpakaian labuh berwarna putih dan berambut sangat panjang sedang berdiri membongkok di tepi tingkap sambil menggoyang-goyangkan tubuhnya. Muka sebenar lembaga itu tidak jelas kerana dia menunduk dengan rambut panjang menutup mukanya.

Ketika aku bersedia untuk lari ke arah katil, lembaga putih itu tiba-tiba seperti roket meluncur laju ke arah bukit kecil di belakang blok kami. Ada seperti suara mengilai halus dibawa angin singgah ke telingaku.

Aku cuba sambung tidur dalam keadaan lampu bilik terpasang. Tapi aku tak dapat sambung tidur. Tubuhku menggeletar, jantung rasa macam nak luruh. Sampai azan Subuh dari surau kolej berkumandang, aku masih tidak dapat lelapkan mata.

Selepas solat Subuh berjemaah di surau selesai barulah jiwa aku rasa sedikit tenang. Masa itu baru datang rasa mengantuk yang teramat sangat. Tapi pukul 7.00 pagi kami perlu ada di dewan makan dan pukul 8.00 pula sudah wajib berada di dewan untuk hari kedua suaikenal.

Hari kedua minggu suaikenal itu adalah hari paling teruk dalam hidupku minggu tersebut. Dalam keadaan tidak cukup tidur ku gagahi bertahan mengikuti program suaikenal hingga ke malam.

Malam itu aku tidak sunyi lagi kerana rakan sebilikku Surat Singh sudah melaporkan diri di Kolej Kelima awal pagi tadi. Dan malam itu hingga ke pagi aku dapat tidur nyenyak tanpa gangguan...

Sebulan kemudian makin ramai penghuni kolej yang aku kenali. Suatu hari aku bertanya seorang senior yang menghuni tingkat bawah blok asrama yang sama denganku, sama ada dia pernah mendengar ada peristiwa pelik yang pernah berlaku di tingkat bawah blok kami.

"Peristiwa pelik..maksud kau peristiwa pelik di blok ni ke?", tanya senior itu minta kepastian.

Aku mengangguk kepala.

"Kalau blok ni tak adalah..Dah setahun lebih aku tinggal sini tak pernah pula dengar orang cerita pernah jumpa benda pelik ke, paranormal ke. Cerita-cerita nak menakut-nakutkan orang adalah..kononnya kawasan bukit tu "keras" ler apa ler. Tapi ye la kann..bukit tu banyak batu, mau tak kerasnya!" kata senior itu berjenaka.

Sampai aku keluar dari kolej kediaman itu pada tahun berikutnya, tidak pernah aku beritahu sesiapa apa yang pernah aku nampak hari pertama tinggal dibilik corner lot itu. Pertama, aku tak ingin menakutkan sesiapa. Kedua, kalau cerita pun tak akan ada sesiapa yang percaya!

Tapi jauh di sudut hati ada satu rasa sedih. Tuhan..ujian apakah ini maka aku kerap melihat sesuatu yang orang lain tidak nampak? Mengapa hijabku terbuka?

I ❤️ MY READERS
VOTE JIKA SUKA 😃
ABAIKAN JIKA BENCI 😭

Episod seterusnya:
THANKS MR GHOST! --------->

Jangan Buka HijabkuWhere stories live. Discover now