Episod 10: PEREMPUAN TANPA KEPALA

614 96 21
                                    

Seperti episod-episod sebelumnya, episod di bawah ini juga based on my real experience. Paranormal experience!
Teruskan membaca:

Kisah ini sudah bertahun berlaku. Ketika itu aku masih bertugas di NT, Penang. Masih tinggal di rumah yang sama - rumah yang aku dan Joe sering ditindih makhluk besar dan hitam ketika tidur di waktu malam.

Cuma selepas setahun tinggal di rumah yang sama, makhluk itu menjadi kian friendly. Dia cuma sesekali menjalankan operasi menindih. Mungkin dia menindih untuk menarik perhatian kami. Mungkin dia menindih sebagai cara untuk beritahu kami bahawa dia masih wujud, masih perhatikan kami dari atas siling rumah!

Dalam tempoh itu anggota rumah kami sudah bertambah menjadi tiga - aku, Joe dan Min. Min adalah anggota baru rumah banglo rekabentuk ala-British itu. Kami selalu gelar Min orang Berlin, walaupun sebenarnya dia orang Baling. Kan Baling dan Berlin bunyinya hampir sama?

Bertahun tinggal di situ, aku, Joe dan Min menjadi semakin 'mesra kubur'. Waktu malam bersembang tepi kubur dah jadi perkara biasa. Kalau rasa lapar waktu malam, malas nak pergi makan jauh-jauh, kami akan ikut jalan pintas menuruni jalan berbukit yang bersempadan dengan kubur lama itu.

Di pinggir kubur lama itu ada beberapa batang pokok durian. Di bawah salah satu pokok durian ada dua batu nisan - satu berukuran biasa, satu lagi bersaiz lebih rendah. Dua batu nisan itu tidak berada dalam kawasan kubur, ia terletak di luar kawasan perkuburan biasa. Entah mengapa dua mayat di dalamnya dikuburkan berasingan, terpisah dengan mayat-mayat lain yang terletak di dalam kawasan perkuburan lama.

Pada suatu musim durian, pokok durian di pinggir kuburan itu begitu menjadi sekali buahnya. Bila kami lalu waktu siang, memang sebiji dua durian kerap jumpa. Pokok durian itu sebenarnya masih di bawah tanah milik agensi tempat kami kerja. Sebab itu boss membenarkan kami mengambil hasilnya. Apa lagi, dengan menggunakan 'lesen' yang diberi boss itu, aku, Joe dan Min sering mengambil buah-buah durian yang begitu enak itu untuk dimakan dan dibahagi-bahagikan bersama rakan-rakan pejabat yang lain.

Tapi kami hanya dapat mengutip durian-durian itu pada waktu siang. Waktu malam iaitu waktu durian paling banyak luruh, ada mereka yang lebih "cekap" melarikan buah-buah durian itu. Kata boss kami, terdapat budak-budak nakal yang suka menceroboh dan mencuri durian untuk dijual keesokan harinya. Cilaka betul!

Kerana geram dengar durian dicuri budak-budak nakal, aku mengupah seorang India Muslim bernama Jalal yang kebetulan adalah tukang kebun boss kami untuk menjaga pokok-pokok durian itu di waktu malam. Selain dari memberinya sedikit upah, aku beritau Jalal untuk ambil seberapa banyak durian untuk dibawa balik ke rumahnya. Selebihnya, jika ada, baru beri kepada kami.

Malam pertama Jalal menjaga pokok-pokok durian itu, dia mendapat hasil yang sungguh lumayan. Pagi esoknya bila bangun kelihatan selonggok durian tersusun rapi di depan pintu rumah kami. Puaslah juga kami makan durian sambil sebahagiannya lagi dibahagi-bahagikan kepada rakan-rakan pejabat.

Begitulah juga hingga malam kedua, ketiga dan keempat, setiap pagi ada saja longgokan durian yang ditinggalkan Jalal di depan pintu rumah kami.

Tapi pada malam kelima, bila bangun pagi tiada lagi longgokan durian di depan pintu rumah kami seperti biasa. Aku, Joe dan Min tak berprasangka apa-apa terhadap Jalal. Mungkin malam itu durian tak luruh. Mungkin juga Jalal ada hal keluarga menyebabkan dia tidak dapat datang berjaga pada malam itu.

Tapi bila tiga hari berturut-turut tiada lagi longgokan durian di depan pintu rumah, sedang musim durian masih belum berakhir, ia mula menjadi tanda tanya kami. Jalal sakit ke?

Bila aku bertanya kepada boss tentang Jalal, boss kata Jalal sihat dan bekerja seperti biasa membersihkan kawasan rumahnya.

Pada suatu petang, aku yang kebetulan hendak ke rumah boss di puncak bukit atas sesuatu urusan rasmi terjumpa Jalal.

"Jalal" sapa aku, "Awat dah tiga hari tak pi kutip durian. Jalal sibuk ka?"

Tapi Jalal cuma diam saja sambil tersengih.

"Malam ni Jalal mai ka tunggu durian?" desak aku.

Jalal seperti serba salah untuk menjawab soalan aku. Lama juga dia berfikir untuk menjawab sambil menggaru-garu kepala.

Selepas berfikir seketika baru Jalal menjawab:

"Sori encik...encik cari orang lainlah tunggu durian. Saya tak mau tunggu itu durian lagi" jawab Jalal dengan suara sedikit bergetar.

"Awat Jalal tak mau lagi tunggu durian?"

"Itu malam saya jumpa orang pelik la encik...saya takut!!!"

"Oooo...itu budak-budak jahat ada kacau Jalal ka?" aku cuba meneka.

"Bukan itu orang, encik...Bukan...bukan...tapi...." Jalal berhenti seketika sebelum menyambung, "Apa punya orang..saya tak pernah tengok macam itu punya orang..saya takut!!!"

"Awat Jalal takut...orang yang Jalal jumpa tu macam mana? Dia bawa senapang kacau Jalal ka?"

"Saya tak takut itu senapang, encik. Tapi itu orang saya jumpa, kepala pun tak dak encik!!! Apa punya orang, kepala pun tak dak??" kata Jalal sambil menggeleng-gelengkan kepalanya, "Saya takut, saya tak mau lagi jaga itu durian. Sori encik, saya banyak-banyak minta maaf"

Orang tak ada kepala?? Dah setahun kami tinggal di situ, tak tau pula di seberang pagar rumah kami menyimpan misteri lembaga tak berkepala!! Nasib baik juga berpuluh kali waktu malam kami jalan kaki ikut jalan itu tak diizinkan Allah untuk berjumpa dengan orang tak ada kepala!

Esoknya bila aku ceritakan hal itu di pejabat, seorang pekerja yang agak veteran akhirnya bercerita tentang misteri di sebalik orang tak ada kepala yang ditemui Jalal:

"Sebenarnya pada zaman Jepun dulu ada seorang pompuan Melayu yang cantik dan telah berkahwin diajak mengadakan hubungan intim oleh beberapa orang tentera Jepun. Tapi pompuan itu enggan menerima ajakan itu. Tentera-tentera Jepun yang marah telah memenggal kepala pompuan itu. Bukan saja pompuan itu yang terbunuh, anak di sebelahnya juga turut terbunuh.

"Pompuan yang sudah tidak berkepala tersebut dikebumikan bersama anaknya di tempat berhampiran pokok-pokok durian itu. Di bawah batu nisan yang bersaiz besar tertanam mayat pompuan tu, manakala batu nisan yang bersaiz kecik tertanam mayat anak dia. Sejak tu ramai orang, terutama pencuri durian pernah terjumpa lembaga tak berkepala, kadang-kadang bersendirian, kadang-kadang mendukung anaknya.."

Sejak mengetahui misteri batu nisan di bawah pokok durian itu, aku, Joe dan Min tidak pernah lagi menggunakan jalan pintas melalui kawasan perkuburan untuk ke kedai. Biarlah ikut jalan yang jauh sikit, asalkan selamat dari menemui perempuan tak berkepala!

I ❤️ MY READERS
VOTE JIKA SUKA 😃
ABAIKAN JIKA BENCI 😭

Episod seterusnya:
Iblis Dalam Almari ---->

Jangan Buka HijabkuWhere stories live. Discover now