📌 Prolog

3K 116 9
                                    

  📩 OCD : Obsessive-Compulsive Disorder. Penyakit psikiatri di mana seseorang tidak boleh mengawal diri daripada berfikir tentang perkara yang menganggu secara berulang-ulang sehingga dia perlu melakukan sesuatu perbuatan untuk membuang perkara yang menganggunya.

Eg : Si A terganggu melihat buku tidak tersusun mengikut abjad, saiz, dan warna dan perlu menyusunnya berulang-ulang kali supaya dirinya berasa tenang


  💔 💔 💔    


24 Februari 2017

Muhammad Isaac bin John merupakan seorang graduan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang Dengan Kepujian di salah sebuah universiti tempatan terletak di Terengganu. Dia merupakan graduan kelas pertama yang menerima Anugerah Pelajaran DiRaja. Seorang jejaka kacak yang pintar dan berada dalam kelasnya yang tersendiri.

Hari ini merupakan hari dalam sejarah. Sekurang-kurangnya untuk dirinya. Sebelum azan Subuh berkumandang lagi dia sudah bangkit dari tidur dan bergegas ke bilik mandi untuk menyegarkan diri. Kedinginan air jernih yang meresap ke kulit hingga ke temulang tidak dihiraukan.

Mempunyai sifat separa OCD, pada malam sebelumnya dia sudah memastikan kemeja putih dan seluar slack hitam digosok sehingga licin. Tiada satu garis kedutan pun yang mampu dilihat oleh mata kasar manusia. Tali leher serta jam tangan pilihan pula sudah diatur di atas meja.

Usai berteleku di atas sejadah, kain pelikatnya ditanggalkan, dilipat dan digantung pada palang besi bertentangan dengan katil. Sejadah terlebih dahulu dikibas sebelum diletak pada tempat yang sama, betul-betul di atas kain pelikat tadi.

Kemudian, baju kemeja dan seluar slack yang tergantung pada palang besi kira-kira 1 meter jaraknya dari palang persinggahan kain pelikat dan sejadah dicapai dan dipakai. Butang kemeja disemat rapi pada rongga selari. Seluar slack pula disarung pantas. Dia memastikan hujung baju kemeja berada kemas dalam seluar sebelum mengenakan tali pinggang. Tali leher bermotif romboid dililit pada leher kemeja untuk melengkapkan gaya.

Gel rambut dicalit sedikit pada jari telunjuk dan tengah. Rambut tengahnya diramas untuk meratakan gel. Sikat bergigi jarang digunakan untuk membelah rambut di bahagian kiri sebelum disisir ke kanan. Gaya rambutnya tidak ubah seperti Justin Timberlake - disikat rapi dan dinipiskan bahagian kiri dan kanan rambut. Kumis sudah dicukur licin ketika mandi untuk kelihatan lebih kemas.

Jam sudah menunjukkan pukul 6.30 pagi. Dia mempunyai masa sebanyak satu jam untuk bersiap dan menenangkan diri. Memandangkan pemilihan lokasi rumah sewanya strategik, dia tidak perlu tergesa-gesa untuk ke destinasi yang dituju.

Lelaki yang mempunyai ketinggian 181 sentimeter itu kelihatan yakin dan bersemangat. Dia berdiri di hadapan cermin, meneliti dirinya dari hujung rambut hingga ke hujung kaki – kebiasaan yang dilakukan setiap kali dia perlu hadir ke mahkamah. Cuma bezanya kali ini, dia perlu berdiri di atas kakinya sendiri.

"Kau dah sedia?" Soalnya pada lelaki dalam cermin yang dilihat sedang memakai jam tangan berjenama Fossil. Kot hitam dicapai sebelum mematikan suis lampu dan penghawa dingin biliknya.

Nafasnya ditarik dalam-dalam sebelum dihembuskan perlahan-lahan. Perasaan gemuruh harus diketepikan. Ini merupakan waktu yang ditunggu-tunggu. Hari ini, dia akan melakar sejarah dalam kalendar hidupnya.

Dia sudah bersedia.

  💔 💔💔 

Seorang lelaki kelihatan sugul. Wajahnya ditunduk memandang lantai kayu yang tersusun rapi. Dia merapatkan kerusinya ke meja, meninggalkan ruang sempit antara dia dan objek kayu itu. Ruang yang hampir keseluruhannya dibuat daripada kayu terasa terlalu sunyi. Badannya turut sama membongkok manakala tangannya disilang memeluk tubuh kurus sendiri, menahan dirinya dari terus menerus menggigil. Kesejukan penghawa dingin menambah ketakutan yang sedang membaluti dirinya.

💀 TrofiWhere stories live. Discover now