➵II-2

933 62 4
                                    

Alunan merdu violin berkumandang di sebuah ruang rahsia. Mr. K yang lengkap dengan sarung tangan getah, topeng muka, serta gaun plastik pakai buang, dilihat sedang menyusun satu persatu peralatannya di atas meja yang beralaskan plastik putih. Di atas meja yang sama, terdapat sebuah besen yang berisi cecair jernih. Ianya digunakan untuk merendam sebelum dibiarkan cecair pada peralatannya meruap ke udara.

Dia berada di bilik yang sudah diubahsuai untuk mempunyai dua ruang yang berbeza, seperti manusia yang mempunyai dua sisi berbeza, satunya seperti malaikat, dan satu lagi seperti iblis. Bahagian hadapan dijadikan pejabat, khas untuk pertemuannya dengan klien dan orang suruhannya. Ruang kedua merupakan ruang yang lebih luas, khas untuk melakukan kerja-kerja kotor.

Kedua-dua ruang dibahagikan dengan dinding kalis bunyi. Pintu ruang kedua pula dilengkapi dengan sensor retina.

Ding... Dong... Loceng di luar pejabatnya ditekan. Skrin LED menunjukkan seorang lelaki yang lengkap berkot hitam sedang berdiri di hadapan pejabatnya. Segala kerja-kerja sanitasi ditangguh sementara. Sarung tangan getah, topeng muka, dan gaun plastik pakai buang dibuka dan dibuang ke dalam tong berwarna kuning.

Dia keluar dari ruang itu dan mengunci pintunya. Langsir putih pekat yang menutupinya ditarik sehingga rapat sebelum menekan butang hijau dan membuka pintu utama pejabatnya.

Pejabat itu mempunyai dua bahagian utama. Di bahagian kiri, terdapat meja dan kerusi pejabat berwarna hitam. Manakala di bahagian kanan, dua buah sofa dua tempat duduk disusun bertentangan antara satu sama lain. Sebuah meja kopi pula diletakkan di tengah-tengah kedua-dua sofa.

Lelaki yang merupakan orang suruhannya berjalan masuk dan berhenti betul-betul di hadapan sofa di mana dia berada. Kedua-dua tangannya diletakkan di belakang badan dan wajahnya ditundukkan. Dia tidak berani memandang tuannya.

"Apa maklumat terbaru yang kau mahu sampaikan?" soal Mr. K. Dia sudah dapat membaca kedatangan lelaki itu ke pejabatnya.

"Dia dah berada di Terengganu, tuan" lapor lelaki itu.

Mr. K tersenyum sinis. "Aku tahu." Curut elektronik dikeluarkan dari poket bajunya. Butang 'buka' ditekan dan curut itu disedut dalam-dalam. Wap air dihembus ke udara kemudian menghilang tanpa sempat jarum panjang jam bertukar detik.

"Tuan nak aku selesaikan dia?" soal lelaki itu.

Jari telunjuknya diangkat dan digerakkan ke kiri dan kanan. "Tak perlu. Aku nak tengok sejauh mana dia mampu bertahan."

"Tuan tak takut kalau Zulkafli buka cerita?" duga orang suruhannya. Soalan itu juga berbaur amaran supaya dia lebih berhati-hati.

Mr. K membuat gaya tangan, memanggil orang suruhannya supaya menghampirinya. Kemudian, dia berbisik, "dia tak akan berani selagi nyawa isteri dan anaknya menjadi taruhan. Tugas kau untuk intipnya saja, Boy. Arahan seterusnya aku akan berikan."

"Baik, tuan," akur Boy.

💔💔💔

Isaac sudah tiba di destinasi yang ingin ditujunya. Pintu gerbang yang mempunyai penerapan seni bina atap Hsuan shan berkembar itu kelihatan gah berdiri. Sekali pandang, ianya kelihatan tidak ubah seperti struktur dua perahu yang bertindih antara satu sama lain. Papan tanda 'INSAFLAH' yang berada di bawah pintu gerbang itu pula seperti memberi amaran kepada sesiapa yang melihatnya.

Jam sudah menunjukkan pukul 3 petang. Dia tidak mempunyai banyak masa untuk dilengahkan. Jika tidak, kedatangannya diibaratkan menanam biji hampa. Keretanya dipandu melepasi pintu gerbang berkenaan dan berhenti di pondok pengawal.

💀 TrofiWhere stories live. Discover now