➵I-3

1.1K 70 6
                                    

Seperti ada mentol yang muncul di atas kepalanya, dia lantas bersetuju. Dia memerlukan sekurang-kurangnya secebis informasi sebelum pulang ke pejabat. Dan pelawaan minum itu seperti mahu membantunya. "Air kosong sudah memadai, datin."

Seorang bibik yang kelihatan agak berumur sedang berjalan masuk ke ruang tamu kedua itu. Segelas ais kosong dibawa bersama piring kaca. Tiba di hadapannya, bibik berbaju kurung kedah dan berkain batik itu meletakkan gelas di atas meja.

"Jemput minum, tuan," pelawanya.

"Terima kasih. Boleh saya tahu nama bibik?" Isaac membiarkan air itu tidak disentuh. Cecair jernih itu hanyalah umpan untuk dia membeli sedikit masa.

"Panggil saya Bibik sahaja pun boleh. Nama saya memang Bibik Zainab," ujar Bibik ramah.

"Oh, pertama kali saya jumpa perempuan yang namanya Bibik. Sangat unik. Seperti empunya badannya jugak." Isaac menguntumkan senyuman. Jemari kedua-dua tangannya bertaut. Dia sudah sedia untuk mengajukan soalan pada wanita itu.

Bibik tersipu-sipu malu mendengar pujian Isaac. Tertunduk-tunduk wajahnya sambil tersenyum simpul.

"Kalau Bibik tak sibuk, boleh kita berbual sebentar?"

Ibarat pucuk dicita, ulam mendatang, Bibik memberikan jawapan yang positif. "Kalau Datin tak ada di rumah, Bibik memang tak sibuk."

"Dah lama Bibik bekerja di sini?" Soalan pertama ini penting baginya. Sama seperti kes pembunuhan ketika mana-mana Pakar Forensik ditanya mengenai pengalamannya bekerja. Semakin panjang tempoh pekerjaan seseorang, semakin tinggi kredibiliti dan kesahihan maklumat yang akan disampaikan. Dia perlu tahu sama ada Bibik merupakan pemberi informasi yang boleh dipercayai atau tidak.

"Lama jugak. Sebelum Cik Qistina lahir lagi, Bibik dah kerja dengan datin. Datin yang bawa Bibik ke sini."

Hati Isaac semakin senang. Bibik merupakan orang yang tepat untuk diwawancara.

"Wah, memang lama! Kalau macam tu, mesti Bibik kenal sahabat Cik Qistina iaitu Marshanda kan?"

"Marshanda? Mestilah kenal! Cik Qistina dan Marshanda berkawan baik. Kalau ada kelapangan, Marshanda akan bermalam di sini sekurang-kurangnya seminggu sekali. Sejak menetap dan bekerja di Malaysia, Marshanda memang rapat dengan keluarga ni."

"Bibik macam dah kenal lama dengan Marshanda," ulas Isaac.

"Ya, dah lama. Ibu Marshanda dan Bibik tinggal di kejiranan yang sama ketika berada di Jakarta. Sebaik saja Bibik dapat tahu mengenai Marshanda ditawarkan bekerja sebagai pramugari di syarikat penerbangan AirFly, Bibik bawa dia tinggal di sini dengan kebenaran Datin. Sejak itu Cik Qistina dan Marshanda berkawan baik." Keterujaan Bibik bercerita terserlah dari nada suara dan gaya percakapannya. Sudah lama dia tidak berbual sebegitu. Datin seorang yang pendiam. Tidak sama seperti arwah Datuk yang amat peramah.

"Bibik ada perasan apa-apa yang pelik pada Marshanda?" Nama Marshanda disebut sekali lagi.

"Pelik? Tak ada pula selain daripada gemar keluar malam. Kata datin, Marshanda selalu bersuka ria di kelab malam kalau tak terbang." Bibik cuba mengingat kembali cerita-cerita mengenai gadis itu. Walaupun sering dicop liar oleh datin, hatinya tetap baik. Bibik tahu Marshanda ke kelab malam hanya sekadar melepaskan tekanan. Gadis itu sendiri memberitahunya bahawa dia tidak pernah menyentuh arak.

"Cik Qistina pulak?"

"Datin kata Cik Qistina ada penyakit CD, CD macam tu. Tak pasti pula Bibik apa maksudnya."

OCD? Mungkin sebab itu Qistina menggantung lukisan yang membawa tema yang sama di rumah dia menetap.

"Oh, OCD! Qistina menghidap penyakit OCD? Sudah berapa lama?"

"Ha, betul la tu! Tak silap Bibik, dah lima tahun. Cik Qistina dirawat oleh pakar di HUKM sana." Kata-kata Bibik terputus. Dia sedang memikirkan sesuatu. "Hm... Boleh Bibik tahu kenapa tuan tanya soalan-soalan ni?"

"Maafkan saya, Bibik. Marshanda ditemui mati di rumah sewa mereka semalam. Dipercayai telah dibunuh."

Sebaik sahaja berita kematian Marshanda disampaikan, pembantu rumah itu menangis teresak-esak. Mulutnya tidak henti-henti memuji perihal baik Marshanda dan bertanya tentang sebab gadis Jakarta itu dibunuh. Setahu dia, Marshanda yang bersikap peramah dan petah berbicara tidak pernah mempunyai musuh. Dia mengesyaki pembunuh barangkali menyerang Marshanda ketika merompak wang dan perhiasannya. Dek kerana Marshanda berkeras untuk tidak menyerahkan hartanya, dia telah dibunuh.

"Sebab hakiki kenapa Marshanda dibunuh masih belum diketahui. Saya perlu dapatkan maklumat mengenai keluarganya di Jakarta. Berita ini perlu disampaikan pada mereka," ujar Isaac setelah melihat tangisan Bibik mulai reda.

Bibik menyeka air mata yang masih bersisa menggunakan hujung lengan baju kurung kedahnya. Dia kemudiannya mengangguk tanda mahu memberikan kerjasama. "Baiklah, tuan. Bibik pergi ambil telefon bimbit di bilik sebentar."

💔💔💔

Telefon pintar Isaac berbunyi dalam perjalanan pulangnya ke pejabat. Dia yang sememangnya seringkali bersedia dengan fon telinga bebas genggam, menjawab panggilan itu dengan pantas.

"Hello, Isaac. Aku Abir." Suara di talian itu memperkenalkan dirinya terlebih dahulu seperti mengetahui bahawa lelaki itu sedang memandu.

"Ha, Abir. Kenapa? Aku dalam perjalanan balik pejabat nak ambik beberapa dokumen sebelum ke balai polis."

"Kau nak soal siasat Shafique?"

"Ha ah. Nak ikut sekali?"

"Boleh jugak. Aku tunggu kau dekat pejabat. Ada perkara penting yang aku rasa kau perlu tahu. Mungkin kunci siasatan kes ini ada pada maklumat yang aku jumpa. See you, Isaac. Drive safely."

Talian dimatikan setelah dia membalas kata-kata Abir. Keretanya terlebih dahulu dibawa ke stesen minyak untuk mengisi petrol. Sebelum menuju ke kaunter pembayaran, dia agak terkejut melihat kotak harga pada pam bernombor 3.

"Eh, minyak dah naik?" Soalan yang sepatutnya ditanya di dalam hati terlepas dari bibirnya. Ia mendapat perhatian seseorang.

"Ha ah. Dah lama naik. Kau je yang tak perasan," jawab seorang lelaki yang sedang mengisi petrol di pam bernombor genap bersebelahan dengannya.

"Mungkin aku terlalu sibuk selama ni," ujar Isaac sambil tersenyum nipis.

Ah, tak mengapa. Bukannya hidup kau akan murung kalau kau tak tahu mengenai harga minyak semasa. Monolognya untuk menyedapkan hati. Minyak akan berubah harga pada tanggal 1 setiap bulan. Dan hanya dia yang tahu mengapa dirinya tidak peka akan perkara-perkara penting yang sudah semestinya tular di media sosial pada awal bulan dahulu.

☠️☠️☠️

Qistina ke yang bunuh Marshanda sebenarnya?

☠️☠️☠️

Tambahan : Untuk bacaan psiko-romantis sila baca #LaraQistina yang juga ditulis oleh @aensaari.

Tambahan : Untuk bacaan psiko-romantis sila baca #LaraQistina yang juga ditulis oleh @aensaari

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

Tata!

💀 TrofiWhere stories live. Discover now