➵III-6

666 54 1
                                    

Isaac menghentak stereng keretanya sekuat hati. Waktu ini, dia sedang berada di Lebuhraya Damansara-Puchong yang sesak dengan kemalangan jalan raya. Keretanya berada di lorong paling kanan. Langsung tidak boleh maju ke hadapan sama seperti kenderaan yang berada di lorong tengah dan paling kiri.

Pengguna jalan raya yang lain sudah mula keluar dari kenderaan masing-masing dan ingin mengintai perkara yang berlaku sehingga kenderaan mereka langsung tidak berpeluang untuk bergerak. Isaac yang sudah 10 minit terkandas di dalam kereta sedang gusar memikirkan Abir dan makan malam mereka. Dia akhirnya turut serta keluar dari keretanya dan menyertai pemandu-pemandu yang lain.

Selepas berjalan kira-kira 200 meter ke hadapan untuk melihat keadaan kemalangan yang berlaku, Isaac dapat melihat sebuah bas yang mempunyai corak bunga raya dan 'Mari Melawat Malaysia' terbalik ke kiri dan melintang di tengah-tengah jalan raya sehingga menghalang ketiga-tiga lorong LDP. Kebanyakan cermin tingkap sudah pecah dan kacanya berselerak di atas jalan raya. Bas berkenaan berkemungkinan besar telah berpusing beberapa kali sebelum berhenti pada bahagian kirinya.

"Apa yang dah jadi?"

"Macam mana kita nak lalu?"

"Hish, menyusahkan betul la kemalangan macam ni! Ini mesti pemandu bas memandu secara berbahaya ni."

Suara-suara nitizen singgah ke telinga Isaac. Dia dapat melihat salah seorang mangsa kemalangan yang badannya telah terkeluar separuh dari tingkap. Bahagian perut mangsa tertusuk pada sisa kaca yang ada pada tingkap. Kepalanya pula sudah pecah dan sedang mengeluarkan darah, membasahi bahagian belakang kereta dan membentuk kolam air pada jalan raya.

Pada bahagian hadapan bas, terdapat sebuah kereta sedan yang sudah terperosok ke pembahagi jalan. Bahagian kiri kereta sudah remuk, manakala pemandunya sedang bertarung dengan nyawa kerana tersepit di antara bas dan pembahagi jalan. Para pengguna jalan raya hanya mampu melihat kerana tangki minyak kereta sudah bocor dan membasahi jalan. Percikan api yang kecil mampu menyebabkan kebakaran yang dahsyat.

Kira-kira 10 meter dari bas, terdapat beberapa mayat yang bergelimpangan di atas jalan raya dengan pelbagai rupa. Seorang daripadanya tertiarap di atas kakinya yang sudah patah. Tulang peha kelihatan terkeluar dari posisi asalnya.

Melihat keadaan yang masih tidak diurus itu, Isaac dapat meneka bahawa kemalangan itu baru sahaja berlaku. Dia perlu menunggu sekurang-kurangnya satu atau dua jam untuk bomba, polis, serta ambulans tiba dan mengalihkan bas tersebut serta mangsa-mangsa kemalangan.

Dia mengeluh berat dan berjalan kembali ke kereta sambil memikirkan nasibnya. Pasti rajukan Abir akan diteruskan selama yang mungkin selepas kegagalannya kali ini.

"Hai, monyok nampak?" tegur satu suara.

Isaac melingas melihat keadaan di sekelilingnya. Dia ditegur seorang lelaki berkaca mata hitam yang sedang duduk bertenggek di atas pembahagi jalan. Bibirnya tersenyum sumbing dan mendekati lelaki tersebut. Tiada apa yang dia boleh lakukan melainkan bersabar dan mencari seseorang untuk diajak berbual. Sekurang-kurangnya dia mampu membunuh masa.

"Hm... macam mana tak monyok, bro. Aku ada dinner dengan kawan malam ni. Kalau macam ni gayanya, memang tak sempat la nampaknya." Isaac bertenggek sama di atas pembahagi jalan bersebelahan dengan lelaki yang tidak diketahui nama itu.

"Kawan? Oh, kiranya dinner dengan makwe la tu kan?" soalnya.

Isaac terdiam seketika. Makwe? Abir merupakan perempuan alaf 21 yang tipikal. Mahu mengukuhkan kerjaya terlebih dahulu baru berfikir tentang cinta. Mungkin dia dan Abir belum bersedia ke arah itu lagi. Lagi pun, Abir bukan sukakannya. "Makwe? Taklah. Kawan sekerja je. Saja ajak dia pergi dinner. Yang kau ni nampak relaks je, tak ada nak rush pergi mana-mana ke?"

💀 TrofiWhere stories live. Discover now