➵III-4

688 49 0
                                    

12.00 p.m. Isaac

Abir, aku tak masuk pejabat hari ni.

Sorry tak beritahu awal-awal.

Jumpa kau petang nanti ok?

Abir tersenyum memandang mesej yang diterimanya tengahari tadi. Hari ini buat kali pertama, secara rasminya, dia dan Isaac akan duduk berdua, bertentangan mata antara satu sama lain dan menjamu juadah makan malam yang barangkali disertakan dengan mood romantis. Sebelum ini, kalau tidak makan bertiga, pasti akan makan bertemankan dokumen-dokumen kerja. Mungkin kerana itu persahabatan mereka berada di tahap plateau – mendatar dan tiada kemajuan.

Selama mereka berkawan, Isaac langsung tidak pernah menunjukkan minat yang istimewa pada dirinya. Kalau berbual sekali pun, berbual dengan nada dan gaya tubuh sebagai seorang kawan. Tidak pernah lebih dari itu. Namun, itu yang menjadikan dia lebih tertarik pada Isaac. Dia seorang lelaki yang pandai berkawan, bercita-cita tinggi dan lucu dalam masa yang sama. Sesiapa sahaja yang berada di sampingnya akan berasa selesa.

Kadang-kadang dia terfikir, adakah hanya dia yang mempunyai perasaan terhadap lelaki itu? Adakah hanya dia yang mahu mereka menjadi insan istimewa antara satu sama lain? Adakah hanya dia yang mengendong harapan yang sebegitu besar?

"Sudahlah, Abir!" marahnya pada diri sendiri kerana berfikiran terlalu negatif. Ini bukanlah masa yang sesuai untuk itu.

Cepat-cepat Abir menggelengkan kepalanya, tidak mahu anasir-anasir negatif menguasai minda dan hatinya pada hari ini. Dia perlu bersiap, mendandan dirinya, dan menemui Isaac dalam keadaan diri yang positif. Kata pakar psikologi, aura positif yang ditonjolkan mampu menarik perhatian seseorang.

Abir menolak pintu gelongsor almari, ke kiri dan ke kanan. Dia sedang mencari pakaian yang sesuai untuk dikenakan – yang sesuai dengan restoran yang menjadi tempat makan malam mereka. Baan Kun Ya merupakan restoran Thai yang eksklusif, berbeza dengan restoran Thai yang lain. Jadi, dia mungkin memerlukan pakaian yang tidak terlalu kasual dan dalam masa yang sama, tidak terlalu keterlaluan.

Baju panjang yang berwarna perak, diperbuat daripada fabrik jacquard dicapai. Potongan hourglass yang tidak terlalu ketat pada baju tersebut sangat sesuai dengan dirinya yang mahu kelihatan lebih langsing namun masih kelihatan sopan dengan imejnya yang bertudung. Belahan pada sisi baju yang bermula dari pinggulnya pula mampu menampakkan dia kelihatan lebih tinggi. Baju itu akan dikenakan bersama seluar palazzo hitam yang diperbuat daripada fabrik moss crepe dan juga tudung satin senada.

Kerana tidak mahu kelihatan pucat, Abir mengenakan solekan ringkas yang bertemakan no-makeup makeup-look – tema solekan yang sedang menular dalam kalangan wanita di abad 21 ini. Alis matanya dirapikan menggunakan gel maskara yang tidak berwarna dan dilukis sedikit menggunakan pensil bulu kening berwarna coklat gelap. Dia memastikan satu per empat bahagian kening hadapannya tidak dilukis keterlaluan supaya imej Shin Chan tidak membayangi keningnya.

Pembayang mata berwarna tanah pula disapu menggunakan berus ke atas kelopak matanya sehingga rata. Kemudian, dia mengenakan celak pada garisan bulu mata dan maskara supaya matanya tampak lebih galak.

Untuk pipinya pula, pembayang pipi berwarna peach keluaran Too Faced diambil sedikit menggunakan berus yang lebih besar dan disapu pada pipi dengan lembut. Dia tidak mahu pipinya kelihatan seperti badut jika terlebih kuantiti. Akhir sekali, dia mencalit gincu kod Stark Naked berjenama Urban Decay pada bibirnya dan mengetap bibirnya beberapa kali supaya kelihatan lebih natural dan sekata.

Abir sudah siap berdandan. Dia memandang dirinya yang kelihatan lain dari kebiasaannya di dalam cermin. Bibirnya mengukirkan senyuman bangga. Jam sudah menunjukkan pukul 8 malam dan dia sudah bersedia untuk menemui Isaac di Baan Kun Ya.

💀 TrofiOn viuen les histories. Descobreix ara