➵I-11

1K 66 2
                                    

27 Mac 2017

Isaac berada di mejanya. Fikirannya menerawang jauh. Air kopi yang pada mulanya berasap mulai sejuk. Fail-fail dan bahan bukti kes pendakwaan Datin Maimun yang berselerak di atas meja tidak dihiraukan. Dia tidak mampu untuk fokus.

Keraguan yang bersarang di dalam hatinya semakin meninggi. Semakin dia menidakkan perkara itu, semakin hebat dirinya dihantui. Seperti seorang penjenayah yang dikejar oleh dosa silamnya, semakin dia lari, semakin dia dihimpit perasaan bersalah.

Benarkah dia yang bersalah?

Dia mengeluh perlahan. Cawan kertas berisi kopi yang sudah sejuk itu didekatkan pada bibir dan diminum sehingga habis. Ianya terasa lebih kelat dari biasa. Barangkali kerana aromanya sudah tersejat ke udara.

Dia bangkit dari kerusi dan berjalan mundar mandir. Mata-mata yang memerhati setiap gerak gerinya tidak dihiraukan. Isaac sedang tenggelam dalam dunianya sendiri.

Setelah beberapa minit, dia kembali duduk dan menarik laci meja. Kunci keretanya diambil. Isaac sudah membuat keputusan. Dia perlu ke sana untuk merungkai segala kebelengguan yang melanda fikirannya.

💔💔💔

Keretanya berhenti di hadapan sebuah rumah banglo satu tingkat. Rumah putih beratap oren kemerah-merahan itu ditatap dengan perasaan yang bercampur baur. Pagar rumah yang dihiasi dengan tumbuhan menjalar itu masih lagi terurus. Sama seperti yang dilihatnya dua minggu yang lalu. Bezanya, bunga berwarna ungu yang dilihatnya masih putik sudahpun mengembang.

Rumah itu terletak jauh daripada kesibukan kota. Puan Sarah, tuan empunya rumah menyukai suasana yang hening. Dia memilih kawasan itu supaya dapat menghirup udara yang lebih segar. Katanya, di situ udaranya lebih harum berbanding udara di bandar.

Kawasan itu masih lagi tidak diusik oleh arus kemodenan. Laluan untuk ke rumah itu agak sempit. Hanya mampu membolehkan kereta menyusurinya mengikut satu arah pada satu-satu masa. Jika ada dua kereta yang datang dari arah yang berlainan, salah satu daripadanya perlu mengalah dengan memarkir kenderaan di luar jalan. Kadang kala, ada yang perlu mengundurkan kenderaannya.

Di hadapan rumah terdapat satu kawasan lapang. Kecil-kecil dahulu, kawasan lapang itu merupakan tempatnya bermain. Tumbuhan serta semak samun dibersihkan supaya mudah untuk dia mengayuh basikal tiga rodanya. Puan Sarah tidak membenarkannya bermain di jalan raya kerana takut tubuh kecilnya bertembung dengan kereta.

Enjin keretanya dimatikan. Dia keluar dari kereta dan menekan loceng pintu rumah untuk memanggil penghuni rumah berkenaan. Selang beberapa saat, satu susuk wanita separuh abad tersua di hadapannya. Wanita itu mengukirkan senyuman mesra. Dia menekan alat kawalan jauh, membuka pagarnya secara automatik.

"Assalamualaikum, ibu..." Isaac menyalami wanita yang merupakan ibu kandungnya.

"Waalaikumsalam, Isaac. Kenapa balik tak beritahu ibu dulu?" Pipi kiri dan kanan Isaac dikucupnya. Hati tuanya berasa senang melihat kepulangan anaknya.

"Saja Isaac mahu berikan kejutan pada ibu." Isaac membalas kucupan ibunya. Dia memeluk tubuh kurus itu dengan penuh kasih sayang.

"Mari masuk," pelawa Puan Sarah. Mereka masuk ke rumah sambil berpimpin tangan.

Ruang tamu yang serba indah itu menggamit perasaan Isaac. Gambar graduasinya digantung betul-betul pada dinding yang bertentangan dengan pintu rumah. Di kiri dan kanan gambar itu, dua bingkai gambar dia dan Puan Sarah turut digantung sama. Salah satunya merupakan gambar ketika dia mendapat Anugerah Pelajar Cemerlang Peringkat Kebangsaan.

Hatinya tidak semena-mena senang kerana mampu membanggakan wanita itu.

"Duduk dulu. Ibu ke dapur buatkan air. Tadi ibu ada masak Nasi Goreng Kampung untuk sarapan. Nanti ibu panaskan."

💀 TrofiWo Geschichten leben. Entdecke jetzt