➵II-7

821 54 0
                                    

"Ini rumahnya, Inspektor," ujar Kamelia sebaik sahaja mereka tiba di Ampang, tempat tinggal Ukail, teman lelaki kepada Adeeva.

Alias menurunkan tingkap kereta, menjengah kepalanya keluar, mendongakkan kepalanya, dan memerhati bangunan 14 tingkat di hadapannya. Pangsapuri bercat putih itu sudah kelihatan agak usang dimamah usia. Dia tersenyum sinis tatkala membaca papan tanda 'Pangsapuri Taman Ampang Mewah'.

"Aku sudah nelefonnya dia. Dia bilang, dia ada di atas. Jangan risau, Ukail ga tahu aku atau polisi mahu ke rumahnya."

"Terima kasih, Kamelia. Wahab, kau ikut aku ke atas. Jonathan, kau tunggu di bawah dengan Kamelia. Kalau ada apa-apa terus roger aku." Alias memberi arahan.

"Baik, tuan!" ujar Sarjan Wahab dan Lans Koperal Jonathan serentak.

Alias dan Sarjan Wahab bergegas keluar dari kereta, berjalan menuju ke lif yang berada di tengah-tengah pangsapuri.

"Rosak?!" marah Alias pabila melihat salah satu lif pangsapuri itu rosak. Pintu lif ditepuk kuat. Dia mengerling pada lif yang masih berfungsi. Ianya berada di aras 3 dan sedang bergerak ke atas.

"Ya, lif di sini memang selalu rosak. Nampaknya, terpaksa la kita menapak hingga ke tingkat 5, tuan."

"Apa-apa je la. Jom!"

Kedua-dua polis lelaki berkenaan meniti 10 set anak tangga untuk menuju ke tingkat 5. Termengah-mengah Sarjan Wahab ketika mahu mengikuti rentak Alias. Tiba sahaja di tingkat 5, Alias membelok ke kiri di mana nombor rumahnya kelihatan semakin menurun. Dia sedang mencari rumah yang didiami Ukail.

"Itu dia, tuan!" beritahu Sarjan Wahab.

Alias memperlahankan langkahnya dan berhenti betul-betul di hadapan rumah yang bermula dengan nombor 5. Dia menarik gerigi besi rumah tersebut, mengetuk pintu rumah sebanyak tiga kali, dan menunggu pintu rumah tersebut dibuka.

"Ya, bentar!" laung satu suara garau dari dalam rumah.

Kemudian, bunyi selak dibuka kedengaran. Pintu itu dibuka perlahan-lahan. Seorang lelaki yang hanya berseluar pendek bermotif jalur melintang tanpa baju dapat dilihat oleh Alias dari bukaan pintu berkenaan.

"Cepatan benar kau...." Kata-kata lelaki yang berbadan kurus dan mempunyai ketinggian kira-kira 5 kaki 5 inci itu terhenti sebaik sahaja menyedari kehadiran dua orang pegawai polis di hadapannya.

Dia dengan segera cuba merapatkan kembali pintu rumah menggunakan berat badannya – menyendal bahu dan lututnya pada daun pintu supaya ianya tidak tertolak ke dalam. Nafasnya semakin laju kerana cemas. Ada sesuatu perkara yang sedang disembunyikannya. Ianya tidak boleh tiba ke pengetahuan pihak polis.

"Ukail, kami polis! Sila buka pintu ini!" arah Alias yang sedang menahan pintu tersebut daripada ditutup menggunakan sisi kanan badannya. Sarjan Wahab turut sama menolak pintu tersebut menggunakan kedua-dua telapak tangannya.

"Aku ga buat apa-apa salah pak polisi," ujar Ukail yang sedang menggelabah.

"Kalau tak buat salah, benarkan kami masuk!" jerit Alias.

Tidak mahu berlama-lamaan di situ, dia menggunakan seluruh tenaganya, menolak pintu tersebut sehingga menyebabkan Ukail terpelanting ke belakang. Punggung Ukail terhentak pada bucu sofa kayu. Lelaki itu jatuh terduduk dan mengerang kesakitan.

Alias memboloskan dirinya dan duduk mencangkung di sebelah kanan Ukail yang dahinya sedang berkerut-kerut menahan kesakitan. Dia tersenyum sinis melihat keadaan lelaki warga Indonesia itu.

💀 TrofiWhere stories live. Discover now