➵III-2

747 50 2
                                    

Penjara Marang

"Bro... Roti?" soal Banduan 32019821 pada Zulkafli sambil menghulurkan sebungkus roti bun berinti sardin. Dia digelar Pok Ti kerana terlalu gemar makan roti. Pok merupakan panggilan biasa bagi lelaki dewasa di Terengganu, manakala Ti diambil dari perkataan roti.

"Tak apa. Kau makan la," ujar Zulkafli membenarkan Pok Ti mengambil rotinya. Dia tahu benar soalan itu bukannya untuk mempelawa dia makan sekali. Itu hanyalah cara halus untuk meminta roti kepunyaannya.

"Trimas... Trimas... Budimu aku kenang sungguh-sungguh, Zul," ucapnya dalam loghat Terengganu. Plastik roti tersebut dikoyakkan. Roti bun yang gebu itu dikunyahnya dengan riang. Sekurang-kurangnya rindunya pada dunia luar terubat pabila dapat merasai nikmat makan di dalam penjara ini.

Zulkafli tersenyum nipis dan menganggukkan kepalanya.

"Zul, aku nok tanya sikek buleh dok?" soal Pok Ti dengan mulut yang masih dipenuhi roti.

"Tanyalah, Pok. Selama ni pun mana ada soalan yang kau tak pernah tanya aku kan?"

"Em... Lama doh aku nok tanya soalang ning. Tapi, aku dok berani. Kalu aku tanya, dok soh maroh ke aku deh." Dah lama aku nak tanya soalan ni. Tapu aku tak berani. Kalau aku tanya, tak payah marah aku okey.

"Tanya la, Pok. Dah ada dekat dalam, nak marah pun tak lalu."

"Okey. Okey. Aku dengor pegawai ghoyak mu mengaku saloh dulu. Bakpe?" Aku dengar pegawai bagitahu kau mengaku salah dulu. Kenapa?

"Entah la. Mungkin memang betul salah aku."

"Doh bakpe mungking pulok? Dok pahang aku." Dah kenapa mungkin pulak? Tak faham aku.

"Kadang-kadang bila kita pernah buat salah, ujian itu datang dalam bentuk yang kita tak pernah nak sangka. Sebagai contohnya, Tuhan hantar bala dekat orang yang kita sayang. Jadi, aku anggap hukuman aku dikira sebagai balasan aku atas dosa-dosa aku dulu."

"Doh anok bini mu gane?" Dah anak bini kau macam mana?

"Entahlah, Pok. Aku cuma boleh doa Tuhan tabahkan hati anak dan isteri aku."

Zulkafli memandang wajah Pok Ti yang sedang menguyah cebisan terakhir rotinya. Fikirannya teringat akan memori di mana dia dan isterinya pernah berada dalam kedaifan dan hanya mempunyai wang untuk membeli sebungkus roti bun yang perlu dikongsi bersama.

Siti Faiza merupakan gadis cantik yang menjadi kegilaan kampungnya. Dia mempunyai warna kulit kuning langsat, sesuai dengan wajahnya yang polos tanpa sebarang solekan. Keningnya yang terbentuk tanpa perlu dicukur atau dicabut, kelihatan sepadan dengan mata bundarnya. Wajahnya sentiasa manis dengan kehadiran bibir yang selalu menguntumkan senyuman. Segalanya sempurna bagi Zulkafli.

Bukan kecantikannya sahaja yang menjadi tarikan, otak Siti yang geliga juga sering mengusik perasaannya. Wanita itu petah berkata-kata, sepadan dengan ilmunya. Dia merupakan pelajar yang cemerlang dalam pelajarannya. Lihat sahaja vokal A yang menguasai keseluruhan mata pelajaran SPMnya.

Namun, sayang seribu kali sayang. Dia mengambil keputusan untuk tidak menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi kerana mahu menjaga kedua ibu bapanya yang sudah lemah dimamah usia. Anak solehah yang tidak pernah keluar dari rumah tanpa memakai kerudung di kepalanya itu memilih untuk menabur bakti kepada kedua ibu bapanya.

Zulkafli amat beruntung kerana menjadi satu-satunya lelaki yang berjaya mencuri hati Siti, seterusnya melamar gadis itu untuk menjadi suri hatinya. Dia sendiri tidak menyangka nelayan miskin sepertinya mampu memiliki gadis secantik dan segeliga Siti.

"Abang... Siti lapar," adu Siti pada satu petang yang mendung sambil menggosok perutnya. Ketika itu, mereka sedang bersidai di pondok kayu usang berhadapan dengan rumah kayu yang didiami mereka.

💀 TrofiWhere stories live. Discover now