➵I-1

2K 103 5
                                    


Satu bulan kemudian – 24 Mac 2017

Marshanda mengenakan anting-anting mutiara panjang. Rambutnya yang sudah disanggul menyerlahkan lehernya yang jinjang. Anting-anting yang dipakai pula kelihatan secocok dengan leher kurus itu.

Sebotol minyak wangi jenama Gucci diambil dan disembur ke udara. Dia menutup mata, membiarkan percikan aerosol mengenai seluruh tubuhnya. Aroma gabungan bunga jasmine dan kayu kayan lembut memenuhi segenap inci biliknya.

Marshanda amat menyukai aroma jasmine. Tumbuhan renek yang merayap dan menjalar itu hampir sama dengan sifatnya – kecil molek dan liar. Warnanya yang putih amat sinonim dengan minatnya akan perkara-perkara berwarna putih. Baginya, putih amat secocok dengan kulitnya yang berona putih kemerah-merahan.

Selepas selesai mendandan diri, Marshanda membuka laci meja solek. Seutas jam tangan bersadur emas tiruan yang bertatahkan kristal-kristal Swarovski diambil. Ianya disarung pada pergelangan tangannya sebagai perhiasan. Setelah itu, dia mundar mandir di dalam biliknya sambil menantikan seseorang.

Biliknya mempunyai keluasan yang sederhana. Perabot-perabot putih yang tersusun kemas dengan latar belakang putih itu menampakkan biliknya lebih luas, selesa, dan menenangkan. Suci, seperti kain putih yang sering digambarkan ketika bayi baru lahir. Tiada noda dan dosa. Langsung jauh jika hendak dibandingkan dengan sisi dirinya yang lagi satu.

Baginya, warna putih merupakan warna yang selamat untuk digunakan. Jika dijadikan warna rasmi bilik, ia akan memaksimakan pencahayaan, di samping memperlihatkan ruang itu lebih segar dan bersih. Warna putih pabila dikahwinkan dengan warna lembut seperti kuning pula akan menambah seri dan keceriaan. Marshanda sendiri membaca kajian tentang padanan warna itu. Ianya akan menolong penghuninya mendapat tidur yang mencukupi. Pabila bangkit sahaja dari tidur, semangat akan terus melonjak.

Marshanda juga bijak menggunakan relong kamarnya. Ruang kecil bersebelahan katil itu digunakan sebaik-baiknya dengan memuatkan rak kayu putih dan bertingkat-tingkat. Ada lima tingkat kesemuanya. Tingkat pertama dan kedua dari atas, dipenuhi dengan hiasan pasu-pasu kecil dan juga patung-patung bersaiz lebih kurang sama yang dibeli setiap kali menjelajah negara luar. Pada tingkat ketiga dan keempat, buku-buku yang baru dibeli atau yang masih belum habis dibaca, disusun rapi mengikut abjad.

Pada tingkat terakhir, dia menyusun barang-barang penting seperti jam loceng, nota pelekat dan juga mug seramik yang berisi beberapa batang pen.

Pandangannya dilempar pada luar jendela yang telah disingkap langsirnya. Gerangan yang ditunggu masih belum tiba. Dia melabuhkan punggung di birai katil. Telefon pintarnya dikeluarkan dari tas tangan. Salah satu nama dalam senarai panggilannya dipilih.

"Hello?"

"Oh ya? Kalau begitu, bilang saja yang aku perlu tunggu sampai langit runtuh baru kamu mahu tiba." Bibirnya dicebik, meluat dengan alasan yang sama.

Lelaki itu amat terkenal dengan sikap tidak menepati masanya. Suka-suka sahaja mahu biar dia menunggu lama, menghabiskan masa yang dilabel sebagai emas dengan perkara yang sia-sia. Selama dua tahun mereka bersama sebagai sepasang kekasih, selama dua tahun itu jugalah dia perlu menyumbat corong telinganya dengan fon telinga. Dirinya dihiburkan dengan mendengar lagu-lagu Korea untuk membunuh masa.

Perutnya sudah berkeroncong. Dia akan diserang gastrik jika tidak mengisi perutnya dengan sesuatu. Marshanda berdiri, mengambil fon telinga dan menyumbatnya ke telinga. Diriya diarah ke dapur.

Mahu makan apa ya? soalnya dalam hati.

Peti ais berpintu dua itu dihampiri. Pintu pertama dibuka. Marshanda mencari sesuatu di ruang bersuhu 4 darjah selsius itu. Sesuatu yang mudah untuk disediakan. Pantas dan mengenyangkan. Matanya tertancap pada bungkusan berwarna ungu. Dikeluarkan bungkusan itu dari ruang berkenaan.

💀 TrofiWhere stories live. Discover now