➵II-3

934 69 4
                                    

28 Mac 2017

Lif di hadapannya tidak ada tanda-tanda untuk terbuka. Simbol yang tertera pada lif tersebut pula masih lagi menunjukkan lif sedang menuju ke atas. Melihat peningkatan bilangan golongan yang berbaju kot putih labuh beserta galasan beg di bahu mereka, Abir mengambil keputusan untuk mengangkat bendera putih. Dia perlu mengalah dan menggunakan alternatif lain untuk ke aras bawah tanah.

Abir berpusing, menolak sebuah pintu berat yang berhadapan dengan lif dan mengorak langkah menuju ke tangga kecemasan. Dia hanya perlu menuruni dua set anak tangga sahaja untuk ke Jabatan Forensik. Jadi, tidak berbaloi jika dia mahu membiarkan jarum panjang jamnya melengkapi beberapa pusingan semata-mata mahu ke aras bawah tanah.

Gadis itu mengatur langkahnya dengan teliti. Sebaik sahaja tiba di aras yang ingin dituju, dia membelok ke kiri, mengikut penanda arah, melalui kawasan yang dirasakan terlalu sunyi untuk ke Jabatan Forensik. Tiada sesiapa yang berada atau sedang menuju ke situ. Tubuhnya terasa seram sejuk.

Cepat-cepat Abir menepis perasaan tidak enaknya dan membelok ke kanan. Dia sudah tiba di destinasi tujuannya. Tanpa teragak-agak, dia menolak pintu jabatan tersebut dan memboloskan dirinya.

"Cik, boleh saya bantu?" soal seorang lelaki yang sedang melalui kawasan tersebut. Pakaian seragam putihnya serta tag nama yang diklip pada poket baju menandakan dia seorang kakitangan perubatan di situ.

Abir mengukirkan senyuman. "Saya ada temujanji dengan Doktor Saleem. Boleh tunjukkan saya di mana bilik doktor?"

"Oh, patut la Doktor Saleem masuk pejabat hari ni! Boleh... Boleh... Mari saya tunjukkan di mana pejabat Doktor Saleem."

Jawapan yang diberikan Faisal melegakan hatinya. Dia tidak berada di tempat yang salah pada waktu yang salah. Seringkali dia mendengar pengalaman-pengalaman mistik rakan sejawatnya pabila ditugaskan untuk meneliti bahan bukti di Jabatan Forensik. Ada yang mengelilingi hospital sehari suntuk mencari jabatan itu, namun tidak berjumpa. Ada yang berhalusinasi, berasa dirinya telah berada di jabatan itu, bertemu dengan Pakar Forensik, dan berbual mengenai penemuan mereka. Padahal, dia sebenarnya sedang tersadai di alam lain berhari-hari lamanya.

Dan dia sedang bernasib baik.

"Terima kasih, Encik Faisal," ucap Abir seikhlas hatinya sebaik sahaja tiba di pejabat Doktor Saleem. Pejabat itu terletak betul-betul bersebelahan dengan ruang bedah siasat.

"Sama-sama, Cik. Saya pergi dulu."

Abir menghantar Faisal berlalu pergi dengan sekuntum senyuman yang manis. Dia mengetuk pintu pejabat Doktor Saleem dan menunggu respons diberikan. Selang beberapa saat, seorang lelaki menegurnya dari arah kiri.

"Puan Abir?"

"Cik Abir." Abir membetulkan panggilan namanya sambil tersenyum simpul. Bukannya dia tidak suka orang memanggilnya dengan gelaran puan. Dia seboleh-bolehnya mahu panggilan itu melekat di hadapan namanya. Tapi alangkah kecewanya pabila gerangan yang sepatutnya menjadikan dia puan masih lagi terlalu lurus untuk menilai bahasa tubuhnya.

"Maafkan saya, Cik Abir. Saya Doktor Saleem. Dah lama Cik Abir tunggu saya di sini?" soal Doktor Saleem ramah.

Seorang lelaki berkemeja putih berbelang biru cair melintang, bertali leher biru gelap, berseluar panjang hitam dan berkasut hitam sedang berdiri di kirinya dengan senyuman yang mesra. Kedatangannya disambut baik oleh Pakar Forensik tersebut. Pada pendapat Abir, doktor di hadapannya itu membawa imej yang sesuai bagi seorang yang berjawatan profesional. Segak, kemas, dan sedap mata memandang.

"Tak, doktor. Saya baru je sampai,"

"Baiklah. Kalau macam tu, kita terus ke bilik mayat ya? Ada beberapa perkara yang perlu saya jelaskan sebelum serahkan salinan laporan bedah siasat pada Cik Abir seperti yang diminta."

💀 TrofiWhere stories live. Discover now