➵I-2

1.3K 83 3
                                    

Mereka dibawa ke tingkat atas rumah teres itu. Ketika menaiki tangga kayu, Isaac memandang setiap anak tangga dengan teliti. Terdapat titisan-titisan darah yang sudah kering pada setiap anak tangga, bermula dari yang pertama. Titisan darah berkumpul menjadi kolam darah yang masih lagi basah pada anak tangga yang terakhir.

Di ruang kecil tingkat atas, tiada lagi titisan darah yang sama ditemui. Kawasan itu seolah-olah sudah dibersihkan. Persoalannya, mengapa dibiarkan darah menitis ke anak tangga jika dia mahu menghilangkan bukti pembunuhan pada aras atas rumah berkenaan? Apakah yang Shafique cuba lakukan?

"Mesti kau pelik dengan titisan darah yang ada atas tangga kan?" Soalan yang diajukan Alias meneka liku-liku fikiran kedua-dua timbalan pendakwa raya.

"Ha ah, memang pelik. Titisan darah terhenti pada anak tangga yang terakhir dan kuantitinya lagi banyak kat situ." Isaac bersetuju dengan soalan Alias.

"Cuba kau tengok atas." Jari telunjuk Alias ditunding ke siling.

"Marshanda digantung kat sini?!" Berkerut dahi Isaac tatkala melihat ada tali yang tergantung pada siling putih itu.

"Tepat sekali. Tali ini digunakan untuk menggantung Marshanda lepas dia mati. Mengikut perkiraan aku, leher Marshanda diikat terlebih dahulu sebelum tali ini melalui besi pada siling. Lepas tu, pembunuh menarik mangsa dari anak tangga pertama, menaikkan mangsa sampai siling sebelum ikat tali pada tombol pintu bilik utama.

Sebab tu titisan darah terhenti pada anak tangga terakhir. " Penjelasan panjang lebar Alias menjawab persoalan mereka.

Bilik utama yang dimaksudkan terletak betul-betul bertentangan dengan tangga. Menjadikan pintu bilik itu paling sesuai untuk menjadi pemberat yang menahan mangsa.

"Kenapa ada besi betul-betul di anak tangga yang terakhir?" kuiri Abir. Tidak mungkin besi ini dipasang oleh pembunuh dalam masa yang singkat.

"Menurut Qistina, Marshanda merupakan gadis yang percaya akan kebolehan dreamcatcher sebagai penangkap mimpi buruk dan menghapuskannya. So, dia upah seseorang untuk pasang besi pada siling supaya dia boleh gantung dreamcatcher pada besi ni. Sayangnya, mimpi paling ngeri pun tak dapat ditangkap oleh pencinta dreamcatcher."

Kepercayaan suku Ojibwe benar-benar sudah menular ke seluruh dunia.

"Malang memang tak berbau," ujar Abir perlahan.

"Oh ye, boleh aku tahu kat mana Qistina sekarang?" soal Isaac.

"Mungkin dekat rumah ibunya di Shah Alam. Kira-kira 30 kilometer dari sini."

"Kau ada nombor telefon Qistina? Hantarkan ke Whatsapp aku."

"Beres."

Isaac membuat keputusan untuk bertemu saksi utama kes pembunuhan Marshanda. Keterangan saksi perlu diambil untuk membolehkan dia membuka kes siasatan sebelum perbicaraan dijalankan. Dan dia suka melakukannya sendiri.

Ketika cuba untuk menghubungi Qistina, ibu gadis itu yang menjawab panggilannya. Mudah sahaja untuk dia mendapatkan kerjasama ibu Qistina. Dia sudah tahu lokasi rumah mereka. Rakan sejawatnya ditinggalkan bersama Alias untuk melihat bahan-bahan bukti dan meneliti lokasi pembunuhan.

Kereta dipandu menuju ke taman perumahan elit seperti yang dimaklumkan ibu Qistina. Tiba sahaja di kawasan taman perumahan, dia perlu menulis namanya, nombor rumah yang ingin diziarah serta masa ziarah dan mengambil pas pelawat sebelum dibenarkan masuk. Dia terfikir, jika kawalan kawasan perumahan Marshanda dikawal ketat sebegini, pasti siasatan pihak polis akan jadi lebih mudah.

💔💔💔

Banglo dua tingkat itu kelihatan lebih mewah jika dilihat dari dalam. Kebanyakan perabot dan hiasan dalaman mempunyai kemasan berwarna emas. Isaac sendiri pernah singgah ke salah sebuah kedai perabot yang menjual perabot sedemikian bersama ibunya. Harga sememangnya mahal seperti rupanya.

💀 TrofiWhere stories live. Discover now