Bab 4 : Guruh Berganti Pelangi

77 7 0
                                    

 Aku berasa beberapa titik air jatuh ke mukaku. Perlahan-perlahan dan setitik demi setitik. Aku mula panik. Badanku basah lencun. Tidak mungkin aku dibadai ombak lautan. Seingat aku, aku masih seronok dibuai mimpi.

 "Nenda?" Aku melihat Nenda bertungkus-lumus menjahit bajunya. Namun Nenda seakan-akan menghilang. Aku terasa jauh apabila aku cuba untuk mendekatinya.

 "Najmuddin, bangun. Subuh ni. Ayuh pergi ke surau!" Sayup-sayup kedengaran suara tua Nenda. Aku membuka mata dengan perlahan-lahan.  Wajah nenda semakin jelas pada penglihatanku. Aku bangun. Bajuku masih terasa lencun.

  "Nenda, tadi hujankah?" Aku melihat jendela kayu di kamarku. Basah dan lembap.

 "Ya, engkau ni Najmuddin. Rumah ini sudah lama, sekarang basah pula dimasuki air. Bagaimana kalau roboh? Bukankah Nenda suruh tutup jendela sebelum tidur?" lantang Nenda bercakap. Aku hanya mempamerkan sebaris gigi, tersengih malu.

   "Sudahlah. Ayuh ke surau. Nanti tidak sempat berjemaah. " Pantas sahaja Nenda mencapai telekung putihnya di atas meja.

  Selepas mengambil wudhu', aku berteleku di meja solek. Tiada siapa di rumah agamku mengajak aku solat subuh berjemaah. Ibu bapaku terlalu sibuk sehingga mereka selalu pulang pada awal pagi dan terus tidur.

 "Najmuddin!"

 "Ya!" Aku terkejut dengan jeritan nyaring Nenda. Segera aku mengambil kunci dan berjalan mengikuti Nenda dari belakang. Sedang asyik berjalan dalam keadaan mengantuk, Nenda mengejutkanku dengan pekikan yang bergena.

"Eh ya allah! Mawar! Ibu kamu di mana?" Nenda mengusap dadanya kerana terkejut. Apa tidaknya, Mawar sudah lengkap memakai telekung di kepala. Kalau aku berada di tempat Nenda, aku juga terkejut. Mawar muncul dalam kegelapan dengan  bertelekung putih.

 "Ibu tidak boleh berjemaah sekali, Nenda. Kaki ibu masih sakit. " Dalam samar-samar cahaya, dia tersenyum. Bibir aku mahu menguntum senyuman yang sama tetapi Nenda cepat sahaja mengerlingkan matanya ke arahku.

"Hah, ayuhlah sama-sama ke surau. Gelap lagi ni. Tidak elok kamu jalan seorang diri. " ujar Nenda. Aku membiarkan Mawar berjalan di sisi Nenda dan perlahan-lahan mengikuti mereka dari belakang.

 "Ini cucu Nenda. Namanya Najmuddin Haji Putera." Nenda memperkenalkan diriku kepada Mawar. Mawar merendahkan kepalanya sopan-santun.

  "Namaku Mawar. " ujarnya sebaris. Aku hanya mengganguk perlahan. Dia masih lagi tidak mahu memandangku. Namun begitu, di hadapan Nenda dia tidak memanggilku dengan gelaran Tuan.

"Salam perkenalan Mawar. " Aku menghulurkan tanganku kepadanya. Dia terhenti dan hanya melihat aku terkebil-kebil. Selang beberapa minit, Nenda menampar kuat tanganku.

 "Engkau ni Najmuddin! Engkau hendak batalkan wudhu' si Mawar ni?"

"Aduh! Sakit, nenda! Maafkan saya!" Aku memegang tangan Nenda yang giat memulas telingaku.  Nenda dan bonda suka sangat memulas telingaku. Boleh pekaklah aku begini!

  Nenda melepaskan telingaku. Geramnya masih lagi bersisa apabila dia mengeluh dengan karenahku. Aku menangkap ketawa Mawar. Bukan sahaja suaranya malah ketawanya juga membuatkan aku tak keruan. Aduhai, hati. Sabarlah dikau.

  Mawar menggelengkan kepalanya dengan senyuman. Dia kemudian mengikuti Nenda ke dalam surau di tempat bahagian wanita. Aku melihatnya pergi.

Mata kami terpaut kembali. Senyuman kami bersatu apabila dia menoleh ke belakang buat kali terakhir sebelum kelibatnya hilang di mataku.

  Bonda, tidak menyesal aku kembali ke Melaka!
                                  --

 Jarang sekali aku menunaikan ibadah ketika aku di bandar. Apatah lagi memuji kebesaran-Nya apabila Dia menunjukkan keindahan alam di bumi hijau ini. Aku terpaku melihat sinaran matahari yang menembusi dedaun hijau pokok-pokok sepanjang jalan. Burung-burung juga mula berkicauan. Aku menghirup udara segar dan nyaman. Bau bersih embun amat menyegarkanku di pagi hari.

Selaut KasihWhere stories live. Discover now