Bab 32: Cahaya Kasih

31 4 0
                                    

"Siapa kalah, belikan aku cendol di kedai Pak Kassim!" jerit Ilyas di tengah-tengah padang itu. Sayup-sayup kedengaran jeritannya diselangi dengan hilaian tawa anak-anak lelaki tyang bermain bola di padang ragut di belakang rumah.

Aku melihat Ali, dia juga tidak terkecuali. Sesekali Ilyas sengaja memberikan bola kepada budak kecil itu. Terkinja-kinja kakinya diregangkan untuk menyepak bola itu ke dalam gol dalam jarak yang dekat. Mereka bertepuk dan menjerit kemenangan tatkala anak kecil, yang masih menghisap puting itu menendang bola ke dalam gol. Aku yang melihat aksi itu dari jendela belakang rumah terkekek-kekek ketawa. Ali bertepukan dengan senyuman yang lebar, dia pasti berasa gembira dan bangga.

"Dahlia pasti tentang hal ini?" tanya Kak Mawar. Aku hanya mengangguk. Panas pipiku kemerahan kerana menahan malu. Kayu-kayu di jendela itu kupegang erat.

"Jadi bulan ini bolehlah kita buat persiapan. Lagi cepat lagi bagus. Tidak perlulah bertunang lagi, Dahlia. Masing-masing sudah kenal hati budi masing-masing." sambung Kak Mawar lagi. Dia meletakkan tangannya di atas bahuku, sesekali dia mengusap kepalaku.

"Bulan ini tak bolehlah, Kak Mawar. Nur Kasih mahu keluar ni. Riuh jadinya nanti jika Nur Kasih keluar waktu Dahlia berkahwin." ujarku sambil menepuk lembut perut Kak Mawar yang kian besar itu. Sudah cukup besar rasanya untuk Nur Kasih berpijak ke bumi ini.

Kak Mawar terhambur ketawa. Dia menggelengkan kepalanya sambil tersenyum.

"Sudah dua bulan, kak. Sudah dua bulan Najmuddin tidak mencari. Adakah Kak Mawar mahu juga meneruskan?" Aku bertanya sambil duduk di atas kerusi di meja makan. Tenang mukanya menjawab soalanku. Katanya kalau jodoh ada, maka mereka akan kembali bersua. Kalau tiada, dia sudah bersedia untuk membesarkan Nur Kasih dan Ilyas seorang diri.

Aku menolongnya untuk membersihkan pinggan. Mataku mengerling ke arahnya, mukanya bersahaja namun aku tahu mindanya kusut memikir. Aku tidak mahu dia terlalu tertekan.

"Kak Mawar masih boleh berjalankah?" tanyaku.

"Ini Kak Mawar sedang berjalanlah. Bukan merangkak."ujarnya sambil ketawa.

"Dahlia mahu ajak Kak Mawar ke pekan dengan Talib nanti. Mahu beli barang-barang sikit untuk persiapan. Kita buat ringkas-ringkas sahaja." kataku lagi.

"Wah! Boleh, boleh. Nanti lepas asar kita pergi ya? Tidak panas sangat." balasnya sambil tersenyum lebar. Terpancar riak kegembiraan di wajahnya. Aku turut senang, bolehlah aku biarkan kak Mawar berehat daripada memikirkan soal Najmuddin.

Tengah hari itu, kami menikmati juadah bersama-sama. Talib juga turut serta. Ibulah orang yang paling gembira sekali kerana aku tidak lagi keseorangan menjaga dan membesarkan Ali. Hati ibu juga turut tersentuh melihat perubahan Talib. Dia benar-benar ikhlas berubah. Keberadaan Talib di rumah ini sedikit sebanyak memainkan tanggungjawab Najmuddin dahulu. Mungkin Tuhan merancang kehidupan ini dengan sempurna, mungkin benar setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.

"Kamu mahu pakai baju apa perkahwinan nanti?" Soalan ibu memecahkan lamunanku. Aku mengangkat bahu, bibirku mencebik.

"Dahlia terserah tetapi teringin juga merasa pakaian songket." ujarku sambil menyuapkan nasi ke dalam mulut Ali.

"Songket mahallah, Dahlia. Pilihlah yang murah sedikit." sahut ibu lagi.

"Ibu tidak usah keluarkan duit. Duit Talib cukup sahaja untuk persiapan ini. Talib sudah lama menabung. Biar sahaja Dahlia memilih baju kesukaannya." balas Talib. Dia hanya mengangkat kening tatkala aku tersenyum, tersipu malu.

Usai makan, kami semua berehat di ruang tamu. Talib dan ibu sedang berbual-bual di dapur. Aku dan Kak Mawar pula berehat santai di ruang tamu manakala Ali dan Ilyas sudah kecundang, tertidur di atas tikar mengkuang itu.

"Waktu Dahlia mengandung dahulu, ada rasa pelik tak?" tanya Kak Mawar.

"Biasa sahaja. Mengapa?" Aku perhatikannya lama. Aku perasan dadanya berombak, tidak semena-mena dia jatuh daripada kerusi.

"Ibu!!!" laungku kuat. Aku mengangkat Kak Mawar sekuat yang aku mampu. Ibu terkocoh-kocoh berlari mendapatkan Mawar. Ali dan Ilyas terbangun secara serentak.

"Cepat! Pergi panggil si Jongang!" jerit ibu sambil membaringkan Kak Mawar di tengah-tengah ruang tamu. Aku segera lari dan menuruni anak tangga rumah itu.

"Eh, ibu!" Larianku terhenti.

"Siapa si jongang?" tanyaku sambil menggarukan kepala.

"Ya Allah, bidan kampung kitalah! Cepat!" jerit ibu dari dalam rumah. Selepas beberapa minit, aku kembali dengan seorang makcik tua. Giginya jongang, kulitnya hitam seperti arang. Dia siap membawa sebaldi air dan beberapa kain.

Aku melihat Ali, Ilyas dan Talib berdiri di laman rumah, memberi ruang kepada kaum wanita untuk menguruskan Mawar. Jeritan Kak Mawar semakin kuat, bergema di dalam rumah itu. Seperti dia lahirkan Ilyas dahulu. Serta-merta kakiku terasa lembik namun kugagahkan jua untuk duduk di tepinya, memegang tangannya kuat.

"Najmuddin! Di mana Najmuddin?" tanya Kak Mawar sambil mengerang kesakitan. Aku hanya menangis, memegang tangannya erat. Soalannya dibiarkan hilang dalam jeritan. Aku tidak mahu menjawab apa-apa.

Jeritan demi jeritan, kesakitan yang tidak terhingga, tangisan demi tangisan akhirnya terhenti dengan nyaringan anak kecil menangis. Masing-masing memanjatkan kesyukuran kepada Allah selepas bidan itu mengeluarkan Nur Kasih. Kain basah yang dibasahi dengan haruman kasturi itu digunakan untuk mengelap badan anak kecil itu.

Dia menangis semahu-mahunya di dalam balutan tuala putih.

"Kak Mawar, Nur Kasih sudah sampai!" jeritku riang. Aku menangis, begitu juga Kak Mawar. Nur Kasih dirapatkan ke dadanya, kepalanya itu dicium bertalu-talu. Aku dan ibu menolong bidan itu membersihkan apa yang patut. Kain Kak Mawar ditukar, begitu juga tempat rehatnya. Nur Kasih leka disusui, nangisnya sudah terhenti. Perlahan-lahan aku meletakkannya di atas tilam bersebelahan Kak Mawar. Kak Mawar juga sudah hampir terlelap, air matanya menitis apabila kelopak matanya tertutup rapat.

Aku menutup kepala Mawar dengan kain batik apabila Talib membawa Illyas dan Ali naik ke atas.

"Ilyas, adik kamu sudah selamat dilahirkan."ujarku sambil tersenyum. Ilyas juga tersenyum gembira. Sesekali Nur Kasih merengek apabila Ilyas mencium kepala adiknya.

"Berbintikan Najmuddin?" tanya Ilyas. Aku mengusap kepalanya.

"Ya, sayang. Najmuddin bapa Ilyas, bukan?" jawabku.

"Tidak bolehkah berbintikan Abdullah sahaja? Ilyas sudah tiada bapa. Di mana bapa Ilyas saat Kasih dilahirkan?" ujar Ilyas selamba. Jarinya mengusap lembut tangan adiknya yang kecil itu. Aku dan Talib tergamam.

Hanya kesepian dapat menjawab soalannya.

                                                                                          ---

"Perlukah kita mahu ke pekan lagi hari ini?" tanyaku. Aku dan Talib memgambil masa berdua di pondok berhadapan dengan sawah padi. Dia membuang pandangan ke sawah padi yang menghijau itu.

"Bolehkah kita tangguhkan esok hari?" tanyanya, matanya redup memandang sawah itu.

"Engkau ada urusan lainkah, Talib?" tanyaku, cemas.

"Engkaulah urusan aku, Dahlia." Dia tersenyum apabila melihat wajahku yang ragu-ragu melepaskannyaa. Aku terlalu takut jika dia kembali seperti dirinya yang lama. Tidak bertanggungjawab.

"Janganlah engkau risau. Aku perlu pulang ke bandar atas urusan kerja. Aku kembali esok dan kita pergi membeli-belah, ya? Kita bawa Ali dan Ilyas sekali." Dia memegang bahuku erat, cuba untuk meyakinkan. Sedikit sebanyak aku berasa lega. Kami menikmati petang itu dengan kegembiraan sehingga siang hampir melabuhkan tirainya.

Sungguhpun begitu, seri hari ini tidak terpadam dengan kelahiran Nur Kasih.

Nur Kasih. Cahaya kasih yang akan sentiasa terpancar di dalam keluarga ini. 

Selaut KasihWhere stories live. Discover now