Bab 23 : Terpurut Rasa Cinta

26 4 0
                                    

"Ditikam berkali-kali, tidak akan putus air di lautan. Dicincang hati bertubi-tubi, termakan dalam satu perasaan"

Aku melihat Puteri di sisiku. Tanganku lembut mengusap rambutnya yang hitam pekat itu, dipadankan lagi dengan kulitnya yang putih kemerah-merahan. Aku tersenyum. Mandiku hanya untuk membolehkan aku solat subuh pada pagi ini. Diakhiri dengan doa, aku memuja Yang Maha Indah, berselangkan doa moga keluarga aku menjadi keluarga yang indah seindah apa yang dicipta-Nya.

Sudah seminggu aku dan Puteri bersekedudukan, cinta kami makin mekar dalam rumah ini. Menyerikan kembali setiap kekosongan dahulu. Mencerahkan kembali jiwaku yang kini terasa bungkam dan muram walhal aku tidak begitu pasti kenapa. Aku terdiam lama di atas sejadah sebelum aku mengaminkan doaku. Bunyi kayu kayu katil terus menghentikan lamunanku tidak berpenghujung.

Puteri sudah pun terbangun dari lenanya saat aku mengaminkan doa yang panjang itu. Mata kami berpautan, seperti senyuman yang tiada pengakhirannya. Dia bangun dan kembali tidur di atas ribaku.

"Najmuddin, kita pergi tengok rumah baharu, ya?" pujuknya sambil jari-jemari yang runcing itu bermain daguku. Aku mengangguk lemah sambil mengusap kepalanya.

"Ya, sayang. Ayuh makan dahulu. After that, kita pergi tengok rumah." Kataku dengan pandangan yang masih menari di atas mukanya yang cantik itu. Puteri bersorak kegirangan, tangannya ditepuk berkali-kali sebelum dia lari dan menuju ke bilik air. Kakiku sekali lagi menjamah rasa sejuk lantai tangga pada awal pagi.

Kedengaran bunyi pinggan mangkuk disusun di atas meja. Pinggang Puteri kurangkul kemas di saat kami tiba di meja makan. Mak Yam terdiam sejenak, tangannya kaku sambil melihat ke arah kami berdua.

"Kenapa Mak Yam?" tanyaku sambil melambaikan tanganku di depan matanya.

"Ah, tiada apalah Tuan Muda. Saya terlupa ambil pinggan. Pinggan tidak cukup." Ujar orang tua itu sambil memalingkan wajahnya daripada pandanganku. Puteri sudah pun mengambil tempat duduk. Kami bermesra-mesra di meja makan sebelum menanti bonda dan walid yang baru selesai mandi.

"Najmuddin, I rasa kita perlu beli rumah yang besar. Sebesar rumah ni." Ujarnya dengan kegembiraan. Tangannya didepakan seluas yang mampu.

"Kenapa pula? Bukankah rumah biasa cukup untuk kita berdua?"

"You ingat kita berdua sahajakah yang akan tinggal di rumah itu nanti?" ujar Puteri sambil mengerdipkan matanya. Comel. Aku mencuit pipinya yang sudah kemerah-merahan. Tanpa aku sedar, mata-mata tua dihadapanku sudah lama melihat kami berdua sedari tadi.

"Amboi, pengantin baharu sedang bermesra-mesra apa pagi-pagi ni?" sakat bonda. Aku hanya tersenyum dan membetulkan posturku yang sudah senget.

"Tiada apalah, bonda. Najmuddin dengan Puteri mahu pergi lihat-lihat rumah baharu petang ni." ujarnya sambil mencedokkan nasi ke dalam pingganku.

"Puteri kata dia mahu ada anak banyak-banyak. Jadi, dia inginkan rumah agam macam kita." Usikku lagi sambil mencubit pipinya.

"Baguslah." Ujar Walid sambil menghirup kopi panas. Kami sekeluarga berborak mengenai syarikat dan hal rumah tangga yang patut aku dan Puteri aturkan. Sesekali Puteri terjerit girang tatkala aku mengusiknya. Kakinya dihentak-hentak ke lantai seperti budak kecil. Comel sekali! Aku tenggelam dalam kesepian saat Puteri, bonda dan walid berborak mesra. Bibirku mengukir senyuman gembira. Ya, ini aku pinta. Bahagia.

Sementara matahari mula bercucuk tegak di atas bumi, aku dan Puteri bersiap-siap untuk meninjau rumah baharu. Kata bonda, dia telah mengaturkan segala kemudahan untuk kami berurusan dengan rakan niaganya yang bertugas untuk pemilikan rumah. Aku tunggu di dalam kereta. Aku membuang pandanganku ke arah taman yang terhias elok di hadapan aku.

Selaut KasihWhere stories live. Discover now