Bab 31: Pemergian yang Tak Diiringi

23 4 0
                                    

Malam ini aku sendiri. Sudah habis cerita yang berbaki dan akhirnya, aku di sini..menulis memo-memo yang tidak akan kulupa. Sudah berpuluh kenangan aku titipkan di atas kertas yang usang ini. Makin lusuh, selusuh memorinya. Makin hilang, sehilang cintanya. Aku hampa. Adakah cinta itu suatu kewajiban bagi kehidupan? Bahagianya hati dimiliki, sakitnya hati dicemuhi. Lagi dan lagi. Sehingga tidak habis tubuhku dimamah bumi, selagi itu cinta ini menghantui. Aku yang disakiti. Aku yang dilukai. Adakah dia mengerti? Sakit pipiku ditampar berulang kali, wajarkan diriku untuk berkata ini hanya adalah khayalan mimpi. Namun hari ini benar terjadi.

Aku merinduimu, setulus kasih. Seluas lautan kasih. Dengan nama Tuhan aku mencintaimu, menghargai sedikit perasaan cinta yang dipinjamkan...

Dan dengan nama Tuhan juga aku melepaskan, meredhai sebesar pemergian...

Selaut kasih kepada suamiku, Najmuddin.

Aku isterimu, Mawar.

Aku menutup buku kecilku, menyimpannya di dalam laci. Aku tersenyum melihat susunan almari-almari di dalam bilik ini. Masih sama. Bekas yang diisi dengan bunga kasturi itu kutaburkan di atas katil. Bauannya menyenangkan, menghapuskan sedikit rasa resah di dalam diriku.

Aku akan merindui bilik ini. Pelbagai memori telah tercipta. Katil yang empuk itu kuusap perlahan-lahan.

"Di sini..memori kami.." bisikku seorang diri. Bagaikan rakaman cerita, aku seolah-olah bisa melihat bayanganku dan Najmuddin di atas katil, bergelak ketawa, bergurau manja. Aku merindui Najmuddin, aku sangat merinduinya. Bilik yang tadinya sunyi kini dihiasi dengan sedu-sedan tangisanku. Makin lama, makin kuat.

Seolah-olah aku sahaja yang berada di dunia ini, mempunyai cerita yang menyakitkan.

"Maafkan bonda, sayang. Maafkan bonda..." ujarku lemah. Perutku diusap berkali-kali. Anak ini pasti mendengar setiap cacian yang dihamburkan kepadanya.

"Kita pulang ke Melaka, ya sayang? Kita tinggal dengan nenek. Di kampung, anak bonda akan jumpa ramai kawan. Ada abang Ilyas, ada abang Tuah, ada abang Ali. Kita semua main bersama-sama, ya?" Bibirku bergetar. Hatiku bagai dihentam guruh yang kuat. Aku tidak menyangka aku akan berkata-kata sebegini kepada anakku yang masih di dalam kandungan. Aku tidak menyangka hari kelahirannya yang semakin dekat ini disambut tanpa bapanya.

Telingaku menangkap beberapa ketukan kecil di pintu. Ibu menjengul ke dalam bilik, melihatku terduduk di atas katil.

"Ayuhlah." ujar ibu sepatah. Dia meninggalkanku keseorangan. Segala baju-baju di dalam almari sudah siap disimpan di dalam bagasi. Talib sudah menolongku untuk mengangkat bagasi-bagasi itu ke dalam kereta. Pintu bilik itu ditutup perlahan-lahan. Aku hanya mampu tersenyum dalam tangisan.

Saat aku berpaling ke hadapan, aku tergamam melihat Najmuddin yang baru sahaja keluar daripada biliknya. Lama mata kami berpandangan, seolah-olah ada sesuatu yang hendak dia luahkan. Matanya malap, tidak lagi bersinar. Mulutnya mendatar tanpa sebarang senyuman. Kami berdua terpaku.

"Najmuddin..." panggilku. Dia tidak menjawab malah hanya melihatku.

"Jika anak ini dilahirkan, nama apa yang harus aku berikan kepadanya?" tanyaku sambil mengusap perutku. Matanya sedikit terbuka. Bebola matanya perlahan-lahan menuruti tanganku.

"Kasih." jawabnya sepatah.

"Kasih?" tanyaku.

"Nur Kasih." jawabnya lagi. Sesekali dia melihat ke bawah, mungkin janggal menatap mukaku yang sudah hilang serinya.

"Jika anak ini seorang lelaki?" tanyaku lagi. Aku tersenyum.

Dia terdiam. Matanya meliau ke kiri dan ke kanan, mungkin sedang memikir.

Selaut KasihWhere stories live. Discover now